Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Jumaat, 18 September 2026

Kelindan lori intai anak tiri mandi dipenjara setahun

Kelindan lori intai anak tiri mandi dipenjara setahun


Tindakan kelindan lori mengintai anak tiri perempuan sedang mandi mengundang padah apabila Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.


Majistret Mustakim Sukarno membuat keputusan itu terhadap tertuduh berusia 26 tahun selepas dia mengaku bersalah, dengan mengambil kira rayuan serta hujahan kedua-dua belah pihak.


"Mahkamah juga perlu mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman penjara setahun berkuat kuasa dari tarikh ditangkap (10 September lalu)," katanya.


Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa mengaibkan kehormatan dengan mengintai anak tirinya berusia 12 tahun yang sedang mandi dalam bilik air.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah ini pada 6.40 pagi, 9 September lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga ibu mangsa ketika itu di rumah, terpandang tertuduh mengintai anaknya sedang mandi di dalam bilik air, melalui celah lubang paip.


Sebaik menyedari perbuatan tertuduh, wanita itu kemudiannya menyergah dan bertanya kepada berbuat demikian.


Pengadu juga menyatakan kejadian sama pernah berlaku pada penghujung Julai tahun lalu terhadap mangsa.


Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh pada jam 5.47 petang keesokan hari.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Heng Eng Gee daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Khamis, 17 September 2026

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak


Pempengaruh, Papagomo kekal diperintah membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya, Clint Lim Way Chau dalam kes saman fitnah berkaitan dakwaan membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa pengisytiharan pada 2020.


Hakim, Roslan Mat Nor menolak permohonan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada dua beranak itu selaku plaintif.


Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Simon Murali yang mewakili Guan Eng, 66, dan Clint, 33, berkata keputusan itu dibuat selepas hakim mempertimbangkan asas dalam afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak.


"Mahkamah mendapati bahawa defendan tidak dapat menunjukkan keadaan istimewa bagi mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan menangguhkan pelaksanaan perintah yang sudah diberikan pada 19 Mei lalu.


"Berikutan itu, hakim memberitahu permohonan pihak defendan ditolak dengan kos RM5,000,” katanya.


Simon berkata, mahkamah turut mendapati alasan bahawa Wan Muhammad Azri mungkin berdepan tindakan pelaksanaan, termasuk prosiding kebankrapan sekiranya penangguhan tidak diberikan, bukan asas yang mencukupi.


Katanya, defendan turut berhujah bahawa plaintif tidak berupaya mengembalikan ganti rugi sekiranya pempengaruh itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.


"Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tiada sebarang keterangan dalam afidavit yang menunjukkan fakta-fakta tersebut bagi membantu mahkamah untuk mempertimbangkannya," kata peguam.


Dalam prosiding itu, kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir di mahkamah, sebaliknya diwakili peguam masing-masing. Wan Muhammad Azri diwakili peguam, Fazilah Jaafar.


Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM200,000 kepada Guan Eng, manakala Clint menerima RM80,000 selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan plaintif.


Saman berkenaan difailkan pada 19 April 2020, susulan dakwaan Wan Muhammad Azri menerusi Facebook menggunakan nama 'Papa Azri' bahawa Clint ditahan di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 29 Februari 2020 kerana membawa wang tunai berjumlah RM2 juta.


Guan Eng turut mendakwa hantaran itu memberi gambaran bahawa beliau pergi ke Singapura pada tarikh berkenaan selepas anaknya ditahan di lapangan terbang tersebut.


Kes itu asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 April 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mac 2021.


Pesuruhjaya Kehakiman, mendiang Eddie Yeo Soon Chye yang mendengar perbicaraan kes berkenaan pada 2024 meninggal dunia pada Februari tahun lalu.


Kes itu kemudiannya dikendalikan Roslan, dengan kedua-dua pihak bersetuju hakim baharu membuat keputusan berdasarkan nota prosiding sedia ada.

JAIM buru lelaki dikaitkan kegiatan pemujaan di Pulau Besar

JAIM buru lelaki dikaitkan kegiatan pemujaan di Pulau Besar


Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) masih mengesan lelaki yang dikaitkan dengan kegiatan pemujaan di Pulau Besar, Melaka dan siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.


EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Bahagian Penguatkuasaan JAIM sudah beberapa kali melakukan pemantauan berkala di Pulau Besar selepas menerima aduan.


"JAIM sentiasa melakukan pemantauan dan baru-baru ini pasukan penguat kuasa turut melakukan pemeriksaan di pulau itu, namun lelaki berkenaan tidak ditemui.


"Hasil maklumat yang diterima mendapati lelaki terbabit sudah tiada di situ sejak minggu lalu," katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, JAIM turut bekerjasama dengan polis dan nelayan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung lelaki berkenaan.


Menurutnya, siasatan turut dijalankan susulan video yang dimuat naik di TikTok memaparkan perdebatan antara lelaki berkenaan dengan seorang imam Surau Pulau Besar yang mengajaknya menunaikan solat Asar secara berjemaah.


Katanya, turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan berkaitan khurafat dan syirik, termasuk amalan yang mendakwa mampu memberikan kekayaan atau manfaat tertentu melalui tangkal dan ritual.


"Masyarakat diingatkan supaya mendapatkan rawatan dan bimbingan agama daripada pihak yang diiktiraf serta tidak terpengaruh dengan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 berkaitan kesalahan pemujaan," katanya.


Difahamkan semakan yang dilakukan JAIM mendapati lelaki berusia 44 tahun itu memeluk Islam pada 29 Jun 1994 dan pendaftarannya direkodkan pada 21 Januari 2025 di Kuala Lumpur.


Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, bayaran bagi 'tangkal kaya' yang dikenakan lelaki berkenaan bergantung kepada jenis atau tahap yang diminta pelanggannya, selain untuk mencari jodoh atau membuang sial.


"Ada mangsa yang mendakwa dikenakan bayaran sehingga lebih RM100 ketika bertemu dengannya berhampiran surau di Pulau Besar," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan mengenai seorang lelaki yang dikaitkan dengan kegiatan berkenaan di Pulau Besar, termasuk dakwaan menawarkan 'tangkal kaya' kepada individu tertentu.

Rabu, 16 September 2026

‘Tolong jangan tangkap saya, esok nak bawa isteri, anak jalan-jalan’

‘Tolong jangan tangkap saya, esok nak bawa isteri, anak jalan-jalan’


"Tolonglah jangan tangkap saya, esok saya dah janji dengan isteri dan anak-anak nak keluar jalan-jalan. Saya janji selepas ini saya akan berubah, saya dah insaf."


Demikian rayu seorang pemandu lori simen berusia 43 tahun yang ditahan selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah dalam Ops Khas Bersepadu Dadah Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra arah selatan, malam tadi.


Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia dalam perjalanan menghantar serbuk simen dari Perlis ke Perak sebelum ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di plaza tol tersebut.


"Saya ambil dadah bila badan rasa letih sangat, nak bagi bertenaga. Saya mengaku saya tersilap, saya tak akan buat dah. Isteri saya mesti marah sebab dia tak tahu saya ambil (dadah). Esok pula saya dah janji nak bawa isteri dan anak-anak mandi kolam dan jalan-jalan di Pulau Pinang, tolonglah encik jangan tangkap saya," rayunya lagi kepada pihak AADK dan JPJ.


Lelaki yang tinggal di Pendang itu mengakui telah mengambil dadah jenis methamphetamine sejak kira-kira 15 tahun lalu ketika bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah ditangkap sebelum ini.


"Saya cuba berhenti dan pernah tahan ketagihan sehingga dua minggu, memang boleh tahan tetapi tiga hari pertama itu badan jadi lemah dan lambat pick up," dakwanya.


Sementara itu, Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu yang didapati positif dalam saringan dadah dan dikenakan tindakan oleh AADK turut berdepan tindakan pentadbiran JPJ mengikut peruntukan yang sedang berkuat kuasa.


"Antara tindakan yang akan diambil adalah Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional akan ditahan sehingga siasatan serta tindakan oleh pihak AADK selesai.


"Lesen Vokasional juga akan digantung selama tempoh tiga bulan, tertakluk kepada peruntukan dan ketetapan yang berkuat kuasa. Tindakan ini membuktikan bahawa JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang mengambil risiko memandu selepas mengambil atau menyalahgunakan dadah," katanya.


Tambahnya, dalam operasi bersepadu itu yang antaranya turut melibatkan polis, pihak konsesi lebuh raya, dan Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 123 pemandu kenderaan telah diperiksa sejak 1 Julai lalu dengan enam daripadanya dikenakan tindakan, termasuk penggantungan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).


"Kita ingin menyeru kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Jangan sesekali memandu sekiranya berada di bawah pengaruh dadah, alkohol atau sebarang bahan yang boleh menjejaskan keupayaan untuk mengawal kenderaan.


"Kenderaan perdagangan adalah kenderaan berat dan besar. Kesilapan kecil boleh membawa kepada akibat yang besar, termasuk kehilangan nyawa," katanya.

Selasa, 15 September 2026

Rogol adik ipar hingga lahirkan anak, pemandu lori dipenjara sembilan tahun, 5 sebatan

Rogol adik ipar hingga lahirkan anak, pemandu lori dipenjara sembilan tahun, 5 sebatan


Seorang pemandu lori dipenjara sembilan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar, hari ini selepas mengaku bersalah merogol adik ipar perempuannya dua tahun lalu hingga melahirkan anak.


Tertuduh, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa sembilan anak didakwa merogol adik iparny berusia 16 tahun ketika kejadian di rumah di Batu Pahat pada jam 12.30 tengah malam, 27 hingga 28 Julai 2024.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa merogol dan melakukan serangan seksual terhadap adik ipar perempuannya ketika isterinya tiada di rumah.


Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila mangsa tidak datang haid dan mengalami sakit perut.


Ibu mangsa kemudiannya membawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan remaja terbabit hamil dua bulan ketika itu.


Susulan itu, mangsa ditemani ibunya membuat laporan polis dengan tertuduh ditahan pada 22 September 2024 bagi membantu siasatan. Mangsa melahirkan seorang bayi lelaki tahun lalu.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Syafie Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Selain hukuman penjara, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang dipenjara serta pengawasan polis selama setahun sebaik dibebaskan.

Kotak disangka bom di Sri Petaling rupanya berisi blok binaan berwarna-warni seperti Lego

Kotak disangka bom di Sri Petaling rupanya berisi blok binaan berwarna-warni seperti Lego


Orang ramai sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur, gempar susulan penemuan kotak plastik mencurigakan yang menghasilkan bacaan radiasi tinggi.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan kotak mencurigakan itu pada 12.57 tengah hari daripada seorang wanita berusia 33 tahun yang mendakwa objek ditinggalkan di hadapan sebuah kedai.


Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati objek berkenaan mengeluarkan bacaan radiasi yang agak tinggi, sekali gus mendorong bantuan unit pakar ke lokasi kejadian.


"Unit Pemusnah Bom Polis Kuala Lumpur, Unit Bahan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Bukit Aman, serta Agensi Nuklear Malaysia kemudiannya dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian lanjut.


"Unit Pemusnah Bom seterusnya menggunakan alat Recoilless Disruptor 5.0 untuk memusnahkan objek yang mencurigakan itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Beliau menjelaskan, susulan tindakan pemusnahan itu, beberapa kotak yang disyaki mengandungi blok binaan berwarna-warni ditemui di dalam kotak berkenaan.


Fadil berkata, pemeriksaan susulan oleh Jabatan Tenaga Atom kemudiannya mengesahkan tiada lagi sebarang bacaan radioaktif dikesan di lokasi itu.


"Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook tiba di lokasi kejadian sejurus selepas polis menerima maklumat mengenai insiden itu untuk memantau keadaan.


Terdahulu, video dan foto mengenai insiden berkenaan tular secara meluas di media sosial, memaparkan sebahagian kawasan komersial Sri Petaling yang sibuk, ditutup dengan pita polis.


Rakaman juga menunjukkan kenderaan polis serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berada di tempat kejadian, sementara orang awam menyaksikan operasi dari luar kawasan yang ditutup.


Hantaran di media sosial pada mulanya menyifatkan insiden itu sebagai ancaman bom, dengan seorang pengguna mendakwa Unit Pemusnah Bom berada di lokasi.


Satu lagi hantaran kemudian mendakwa objek itu telah diletupkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.


Fadil menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan ketakutan atau menggugat ketenteraman awam.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.


Sebuah kotak plastik mencurigakan yang mencetuskan tindak balas keselamatan besar-besaran di Sri Petaling, semalam, dan pada awalnya merekodkan bacaan radiasi tinggi, kemudian didapati mengandungi beberapa kotak blok binaan berwarna-warni seperti Lego.

Jumaat, 11 September 2026

Bekas penceramah didakwa miliki gambar bogel, video lucah dalam telefon bimbit

Bekas penceramah didakwa miliki gambar bogel, video lucah dalam telefon bimbit


Seorang bekas penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisteet Shah Alam, hari ini atas pertuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah dalam dua telefon bimbit, tahun lalu.


Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.


Bapa 11 anak itu didakwa memiliki gambar bogel dan video lucah dalam dua telefon bimbit di Pejabat Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, pada pukul 6.15 petang, 1 Julai 2025.


Sabit kesalahan lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.


Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni mencadangkan jaminan keseluruhan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, Peguam A. Naveenthiran memohon kadar minimum kerana anak guamnya hilang sumber pendapatan sejak siasatan kes tersebut bermula. Tertuduh juga tidak mempunyai risiko melarikan diri dan sentiasa berada bersama keluarga.


"Tertuduh memiliki 11 anak berusia dua bulan hingga 15 tahun selain menanggung dua isteri. Ini kali pertama (tertuduh) dituduh mahkamah dan tiada rekod jenayah lampau.


"Anak guam saya pun tidak pernah berhubung dan tidak mempunyai risiko mengganggu pengadu," ujarnya.


Mahkamah membenarkan Faridul Firdaus diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober ini.


Faridul Firdaus pernah didakwa sebanyak dua kali di Mahkamah Syariah tahun lalu bersabit kes mengajar tanpa tauliah dan didenda RM2,900, manakala bagi kesalahan gagal membayar hutang perkahwinan pula lelaki itu dihukum penjara 10 hari.


Media pada 5 Julai 2025 melaporkan, polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung kes penyebaran video seks isteri-isterinya.

Pengamal perubatan tradisional bebas tuduhan bunuh wanita, didapati tidak siuman ketika kejadian

Pengamal perubatan tradisional bebas tuduhan bunuh wanita, didapati tidak siuman ketika kejadian

(Gambar 4 tahun lalu)

Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini membebaskan seorang pengamal perubatan tradisional daripada tuduhan membunuh seorang wanita berusia 41 tahun yang mendapatkan rawatan daripadanya pada 2022. Ini selepas mendapati tertuduh wanita itu tidak siuman ketika kejadian berlaku.


Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim, di akhir kes pembelaan, mendapati Che Hong Chiew, 55, menghidap penyakit skizofrenia dan tidak memahami sifat serta akibat daripada tindakannya.


Suriyati memerintahkan Che ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak mengikut perkenan Sultan Selangor.


Che dituduh membunuh Lim Sin Hue, 41, di sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang, antara jam 4.45 petang dan 5 petang pada 27 Julai 2022.


Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.


Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.


Berdasarkan fakta kes, Lim yang mengalami sakit perut dan percaya terdapat bayi di dalam perutnya pergi ke rumah Che selepas diperkenalkan oleh seorang rakan untuk menjalani ritual selama seminggu.


Ibu Lim memberi keterangan bahawa dia melihat Che meniarap di atas anaknya, menumbuk dada, memijak perut dan meletakkan mangkuk yang panas dan berasap di atas leher serta mulut mangsa sambil membaca mantera.


Rawatan itu diulang menyebabkan Lim tidak dapat menjerit atau bergerak, namun Che memberi amaran kepada si ibu agar tidak masuk campur. Kira-kira jam 5 petang hari berkenaan, Che memberitahu ibu Lim bahawa anaknya telah meninggal dunia.


Dia meminta maaf atas apa yang berlaku dan berjanji akan menjaga ibu mangsa sepanjang hayatnya. Che kemudian menguruskan jenazah dan memakaikan baju kepada Lim serta memberitahu bahawa "sifu" (gurunya) dan pihak polis sedang dalam perjalanan.


Si ibu segera menghubungi pihak polis serta hospital dan pegawai perubatan mengesahkan Lim telah meninggal dunia. Keputusan bedah siasat mendapati Lim meninggal dunia akibat trauma daya tumpul.


Beliau mengalami pelbagai kesan lecet dan lebam pada bahagian muka, dada, abdomen serta anggota badan atas dan bawah, selain beberapa tulang rusuk yang patah.


Ibu mangsa memberi keterangan bahawa Che telah mengunci dirinya dan Lim di dalam rumah semasa ritual bagi mengelakkan ia terganggu.


Che mendakwa dia mahu menyelamatkan Lim daripada gangguan syaitan dan tindakan memukul itu adalah untuk mengeluarkan hantu di dalam perutnya.


Pihak pembelaan berhujah bahawa Che, seorang jurusolek bebas dan ibu kepada dua anak, mengalami tekanan emosi yang teruk selepas anak bongsunya meninggal dunia dalam satu kemalangan. Dia kemudian bercerai pada tahun 2018 dan mula memencilkan diri.


Menurut pihak pembelaan, Che mula meluangkan lebih banyak masa di sebuah tokong dan mendakwa dia boleh melihat serta mendengar suara arwah anaknya, malah percaya anak itu akan kembali kepadanya.


Kira-kira sebulan sebelum kejadian, Che percaya arwah anaknya telah merasuki badannya. Dia mendakwa boleh berkomunikasi dengan anaknya serta mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk halus dan membantu mereka yang dirasuki.


Che percaya Lim sedang diganggu oleh entiti halus di dalam badannya lalu merawat mangsa selama beberapa hari menggunakan mantera, doa, urutan herba Cina, bekam dan gua sha.


Dia mendakwa bahawa dua makhluk halus telah memasuki dan mengawal jasad serta fikirannya semasa dia merawat Lim.


Che berkata, dia kemudian menyedari secara tiba-tiba bahawa Lim sudah tidak lagi bergerak atau bernafas.


Pihak pembelaan menegaskan bahawa Che hanya berniat untuk mengeluarkan apa yang dipercayainya sebagai makhluk halus daripada badan Lim, dan tidak mempunyai niat untuk membunuh atau mencederakannya, mahupun menyedari bahawa tindakannya itu boleh membawa maut.


Pakar psikiatri, Dr Isabel Shamini David mendiagnosis Che menghidap skizofrenia dan mendapati dia tidak siuman semasa kejadian berlaku serta tidak menyedari sifat dan akibat daripada tindakannya, namun keadaannya boleh dikawal dengan ubat-ubatan dan rawatan.


Dalam alasan penghakimannya, Suriyati berkata, keterangan secara langsung dan berdasarkan keadaan membuktikan bahawa kematian Lim berpunca daripada tindakan Che ketika menjalankan ritual dan rawatan itu.


"Mahkamah ini mendapati keadaan mental Che pada masa kejadian adalah tidak stabil. Dia tidak memahami bahawa tindakannya adalah salah dan boleh menyebabkan kematian Lim.


"Keadaan mentalnya yang tidak stabil telah berlarutan dalam tempoh yang panjang, berpunca daripada kematian anak bongsunya yang menyebabkan kemurungan dan menyisihkan diri daripada masyarakat, selain diburukkan lagi dengan perceraian.


"Keadaan itu memberi tekanan emosi yang berat kepadanya, yang akhirnya membawa kepada diagnosis skizofrenia. Niatnya adalah untuk mengeluarkan apa yang dipercayainya sebagai hantu dari dalam perut Lim, bukannya untuk membunuhnya," katanya.


Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd Ali mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Jeremiah Anand mewakili Che.

Khamis, 10 September 2026

Wanita Indonesia bayar hingga RM250 dapatkan MyKad palsu demi cari kerja

Wanita Indonesia bayar hingga RM250 dapatkan MyKad palsu demi cari kerja


Dua wanita warga Indonesia mendakwa membayar antara RM200 hingga RM250 untuk mendapatkan salinan MyKad palsu bagi memudahkan mereka memperoleh pekerjaan selepas memasuki negara ini secara haram.


Kedua-dua wanita berusia 37 tahun itu adalah antara tiga warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau dokumen milik individu lain dalam 'Ops Layar' di sebuah kilang percetakan di Bandar Sultan Suleiman, Port Klang semalam.


Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Lifa dari Sulawesi, mendakwa membayar RM200 bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri berkenaan selepas memasuki Malaysia menerusi laluan tidak sah pada Jun lalu.


"Saya datang ke sini hanya untuk mencari rezeki. Saya tidak tahu perbuatan ini adalah satu kesalahan," katanya.


Lifa yang menerima upah secara tunai berkata, beliau menyerahkan gambarnya kepada individu yang menyediakan dokumen terbabit.


"Saya serahkan gambar saya kepada individu yang membuat dokumen itu, lalu mereka menggantikan gambar pada kad pengenalan berkenaan dengan gambar saya.


"Saya hanya dapatkan salinan kad pengenalan ini untuk mencari kerja. Saya cuma mahu cari wang dan tidak tahu apa yang saya buat ini melanggar undang-undang," katanya selepas operasi berkenaan.


Seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Rini dari Jawa Barat, mendakwa membayar kira-kira RM250 kepada kenalan yang diperkenalkan oleh rakan Indonesia untuk mendapatkan salinan kad pengenalan palsu.


Rini berkata, beliau menetap di Malaysia sejak 2022 selepas memasuki negara ini secara haram. Beliau sebelum ini bekerja di sebuah kedai runcit sebelum bertukar kerja ke kilang percetakan terbabit dengan dibayar upah kira-kira RM95 sehari.


"Saya pernah diusir dari Malaysia sebelum ini dan pasport saya disenaraihitamkan, tetapi saya masuk semula menerusi laluan haram selepas membayar kira-kira enam juta rupiah," katanya.


Beliau memberitahu pegawai bertugas bahawa salinan kad pengenalan palsu itu digunakan bagi memudahkan urusan mendapatkan pekerjaan.


Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz, berkata Ops Layar dijalankan susulan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki menyalahgunakan dokumen pengenalan diri.


Beliau berkata, seramai 67 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi itu, merangkumi 52 pegawai JPN dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, 10 pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya serta lima pegawai Jabatan Tenaga Kerja Selangor.


"Seramai 195 individu diperiksa, termasuk 63 warga tempatan yang mempunyai kad pengenalan sah.


"Tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun yang dipercayai warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk bekerja," katanya.


Mazhad berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).


Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


Mazhad berkata, JPN menjalankan 738 operasi penguatkuasaan antara Januari hingga 31 Ogos lalu, yang membawa kepada 365 kes tangkapan dan pendakwaan.


Daripada jumlah itu, 286 kes membabitkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 berkaitan penggunaan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.


Sebanyak 79 kes lagi membabitkan sijil kelahiran palsu di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).


Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen turut memeriksa 129 individu dan menahan enam daripadanya kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.


"Operasi hari ini menunjukkan keberkesanan tindakan kita. Kami agak lega apabila mendapati kadar kesalahan yang dikesan hari ini adalah rendah," katanya.


Ops Layar dilaksanakan selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Rabu, 9 September 2026

JIM tahan 1,155 pekerja PATI dalam Ops Sasar yang dijalankan di 40 lokasi

JIM tahan 1,155 pekerja PATI dalam Ops Sasar yang dijalankan di 40 lokasi


Seramai 1,155 pekerja warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan Ops Sasar yang dijalankan di 40 lokasi seluruh negara, hari ini.


Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya Datuk Basri Othman berkata, 2,254 individu termasuk warga tempatan diperiksa menerusi operasi besar-besaran itu dalam usaha membanteras isu pekerja PATI.


"Mereka yang ditahan terdiri daripada 907 lelaki dan 248 wanita berumur 21 hingga 58 tahun.


"Bagi JIM Putrajaya sahaja, kita melaksanakan pemeriksaan di sekitar Shah Alam dan Telok Panglima Garang, Klang pagi tadi.


"Di Shah Alam, kami memeriksa 227 individu dengan 117 daripadanya ditahan. Di Telok Panglima Garang pula 35 daripada 37 yang diperiksa ditahan," katanya pada sidang media di Shah Alam.


Mengulas serbuan di Telok Panglima Garang, beliau berkata, pihaknya menyerbu sebuah kilang dimiliki seorang individu warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).


Secara keseluruhan, Ops Sasar hari ini menahan 42 lelaki dan 42 wanita Indonesia, lelaki Bangladesh (400), wanita Bangladesh (seorang), lelaki India (121), wanita India (20), lelaki Myanmar (257), wanita Myanmar (178), lelaki Nepal (54), wanita Nepal (3), lelaki Pakistan (8) dan 29 lagi membabitkan lain-lain warganegara.


"Antara kesalahan dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa.


"Kesemua tahanan akan ditempatkan di depot tahanan berkaitan di seluruh negara dengan tangkapan oleh JIM Putrajaya dibawa ke Depoh Imigresen KLIA dan Semenyih.


"Ops Sasar pada kali ini memberi fokus kepada Ops Mahir iaitu lokasi-lokasi perindustrian atau komersial yang kerap menggajikan pekerja warga asing," katanya.


Menurut beliau, pihaknya menjalankan Ops Sasar sekali atau dua kali sebulan.


"Bagi warga asing, masih ada ruang untuk pulang ke negara asal dengan mengikuti Program Repatriasi Migran (PRM), mereka boleh pulang secara sukarela dan PRM ini dibuka sehingga tahun hadapan," katanya.

Selasa, 8 September 2026

Kerajaan Johor lancar operasi besar-besaran tangkap anjing liar di Batu Pahat

Kerajaan Johor lancar operasi besar-besaran tangkap anjing liar di Batu Pahat


Kerajaan Negeri Johor melaksanakan operasi besar-besaran bagi menangkap anjing liar susulan insiden seorang kanak-kanak perempuan diserang lima ekor haiwan itu di Kampung Tambak, Peserai, baru-baru ini.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah bersepadu itu dilaksanakan bagi memastikan anjing berkenaan bebas daripada jangkitan rabies, sekali gus meredakan kebimbangan keluarga serta pasukan perubatan.


"Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, kita mengarahkan operasi besar-besaran bagi menangkap anjing liar di kawasan tersebut, terutamanya bagi mengenal pasti kesemua anjing liar tersebut bebas daripada rabies bagi maksud keselamatan anak kita (mangsa) ini," katanya pada sidang media di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.


Beliau berkata Pejabat Daerah Batu Pahat telah memulakan operasi tangkapan susulan sejak semalam dengan kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Operasi susulan itu dibuat selepas tiga siri operasi MPBP bersama JPV pada 12, 26 dan 30 Ogos lepas yang berjaya menangkap 22 ekor anjing liar, namun populasi haiwan terbabit dikesan masih tinggi di kawasan berkenaan.


Bagi memastikan keberkesanan operasi, Mohd Fared berkata agensi terlibat digesa agar tidak hanya bergantung pada kaedah sedia ada, sebaliknya mempelbagaikan pendekatan yang dibenarkan undang-undang.


Beliau berkata tindakan tegas itu turut akan diperluas ke seluruh daerah di negeri ini susulan arahan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyegerakan operasi kawalan haiwan liar.


Sementara itu, bagi mengurangkan beban keluarga mangsa, Mohd Fared berkata Kerajaan Negeri Johor memberi komitmen penuh untuk menanggung keseluruhan kos perubatan dan rawatan susulan mangsa di HSA selain menyediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga terutamanya abang mangsa berusia 12 tahun yang menyaksikan kejadian berkenaan.


Mohd Fared berkata orang ramai juga diminta agar memadam dan menghentikan sebaran gambar mangsa di media sosial demi menjaga privasi keluarga, selain memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan hantaran berkaitan.


Terdahulu, beliau meluangkan masa menziarahi mangsa, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi, 2, dan keluarganya, selain mendapatkan perkembangan rawatan kanak-kanak itu di HSA.


Pada Ahad lepas, media melaporkan kejadian menyayat hati itu yang menyaksikan mangsa diserang sekumpulan haiwan liar berkenaan sehingga mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.


Dalam pada itu, ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata abang kepada Nur Haira Wafiqah mengalami trauma emosi selepas menyaksikan kejadian itu dan kini diberi pelepasan sekolah dua minggu untuk menjalani rawatan kaunseling.


Berkongsi mengenai keadaan Nur Haira Wafiqah, beliau berkata anak bongsunya itu masih ditidurkan dan sudah menjalani pembedahan pertama bagi merawat kecederaan yang dialami dan kini masih dalam pemantauan doktor.

Pempengaruh maut selepas lakukan suntikan pembesaran alat sulit

Pempengaruh maut selepas lakukan suntikan pembesaran alat sulit


Seorang ahli perniagaan dan pempengaruh media sosial Britain-Nigeria maut selepas menjalani prosedur suntikan pembesaran alat sulit di sebuah klinik di Bangkok, Thailand.


Igho ‘Tiny’ Ubiribo, 43, meninggal dunia pada awal pagi 6 Mac lalu, namun butiran mengenai kematiannya hanya didedahkan menerusi laporan media pada September susulan inkues di Mahkamah Koroner Inner West London.


Menurut laporan mengenai prosiding itu, kira-kira 40 mililiter asid hyaluronik dan lidokain digunakan sebagai bahan pengisi dalam prosedur suntikan pada zakar yang bertujuan meningkatkan ukur lilit.


Ubiribo dilaporkan menjalani prosedur tersebut pada 5 Mac sebelum pergi mendapatkan urutan bersama isterinya, Danielle Simba Allen.


Ketika sesi urutan, beliau mengadu mengalami sakit dada sebelum tidak sedarkan diri sebanyak dua kali. Ambulans kemudian membawanya ke Hospital Sukhumvit di Bangkok.


Ketika tiba di hospital, Ubiribo pada mulanya masih sedar dan mampu menjawab soalan, manakala isterinya memaklumkan doktor mengenai prosedur suntikan yang dilakukan sebelum itu.


Bagaimanapun, beliau sekali lagi tidak sedarkan diri sebelum imbasan tomografi berkomputer (CT) yang disyorkan sempat dilakukan.


Doktor kemudian mendiagnosis Ubiribo mengalami embolisme pulmonari, iaitu keadaan apabila saluran darah di paru-paru tersumbat, sebelum beliau dipindahkan ke unit rawatan rapi.


Pasukan perubatan melakukan bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama lebih 100 minit, namun gagal menyelamatkannya.


Pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan kemudian di Britain dilaporkan menemui bahan dalam paru-paru Ubiribo yang sepadan dengan asid hyaluronik digunakan dalam suntikan tersebut.


Pakar patologi, John du Parcq dilaporkan mendapati hasil pemeriksaan itu selaras dengan dapatan bedah siasat yang dilakukan di Thailand.


Doktor Ubiribo di London memaklumkan inkues bahawa mangsa pernah menjalani pembedahan sendi serta mempunyai pradiabetes dan gout, namun tidak mempunyai masalah kesihatan serius lain.


Penolong koroner, Jean Harkin akhirnya menyimpulkan prosedur kosmetik berkenaan menyebabkan embolisme pulmonari yang membawa kepada kematian Ubiribo.


Ubiribo yang turut dikenali sebagai Denisi atau Ego mempunyai kira-kira 185,000 pengikut di Instagram dan dikenali kerana sering berkongsi gaya hidup mewah di media sosial.


Beliau berkahwin dengan pereka fesyen dan sosialit, Danielle Simba Allen di Zimbabwe pada 2022.


Mendiang dikebumikan di London dalam keranda emas yang dilaporkan bernilai lebih RM3.1 juta.

Ahad, 6 September 2026

Nenek jadi mangsa hendak 'bank in' RM10,000 kepada scammer, nasib baik pemandu e-hailing sempat tahan

Nenek jadi mangsa hendak 'bank in' RM10,000 kepada scammer, nasib baik pemandu e-hailing sempat tahan


Rasa curiga pemandu e-hailing terhadap seorang pelanggan warga emas yang mahu ke sebuah bank berjaya menyelamatkan wanita itu memindahkan wang RM10,000 kepada individu yang disyaki love scam pada Khamis lalu.


Kata Noraini Othman, 61, selepas menghantar wanita itu ke sebuah bank, dia berada terlalu lama dalam premis itu membuatkan dia curiga dan mencarinya dalam premis itu sebelum dia sempat memindahkan sejumlah wang.


"Saya ambil dia dari rumah pukul 4.30 petang dia ada cakap hendak buat pemindahan wang, jadi saya tunggu di luar bank tetapi pelik kenapa lama sangat,” jelasnya.


Kata Noraini, ketika jumpa warga emas itu dalam bank, ada orang lain yang cuba membantunya memindahkan sejumlah wang berkenaan dan perkara itu sempat dihalangnya.


"Individu itu juga pelik warga emas itu mahu pindahkan sejumlah wang kepada akaun lain, jadi saya terus panggil polis dekat bank itu. Rupa-rupanya warga emas itu cakap ada peguam tampan (scammer) suruh dia masukkan wang berkenaan," jelasnya.


Tambahnya, warga emas itu mendakwa mengenali individu yang didakwa tampan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, tetapi tidak pernah berjumpa dengannya secara bersemuka.


"Dia tidak kenal orang itu pun. Tiba-tiba terima WhatsApp. Gambar profilnya pakai baju kot segak macam peguam," ujarnya.


Jelasnya, rupanya mangsa sudah pun mengeluarkan wang simpanannya dalam Tabung Haji terlebih dahulu untuk dipindahkan kepada individu menyamar peguam segak berkenaan.


Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika wanita Melayu berusia 71 tahun itu dihantar oleh pemandu e-hailing ke Bank Simpanan Nasional di Rembau.


"Pemandu wanita itu mengesyaki transaksi tersebut ada kaitan dengan love scam yang kemudian menghubungi Balai Polis Rembau," katanya.


Ooi Ming berkata, susulan maklumat itu, Timbalan Ketua Polis Balai Rembau bersama beberapa anggota polis bergegas ke bank berkenaan untuk pemeriksaan.


"Setibanya di lokasi, mangsa sedang cuba memasukkan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun berkenaan. Transaksi tersebut berjaya dihentikan dan wang RM10,000 itu dimasukkan semula ke dalam akaun BSN milik mangsa," jelasnya.

Sabtu, 5 September 2026

Ragut rantai ibu di rumah, pemuda dipenjara tujuh tahun, disebat lima kali

Ragut rantai ibu di rumah, pemuda dipenjara tujuh tahun, disebat lima kali

L


Tindakan seorang pemuda meragut rantai emas milik ibunya ketika berada di rumah membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuching, pada Selesa.


Stanley Wong, 26, mengaku bersalah di hadapan Hakim Musli Ab Hamid sebaik didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap ibunya, 45, dengan meragut rantai emas milik mangsa.


Kesalahan itu dilakukannya dalam satu kejadian pada 27 Ogos 2026, sekitar jam 10.20 pagi di kediaman mereka sekeluarga di Kampung Stutong Baru, Kuching.


Fakta kes mendedahkan mangsa sedang duduk di ruang tamu rumah apabila tertuduh datang dari arah belakang lalu menarik rantai emas yang dipakainya.


Tertuduh seterusnya melarikan diri membawa barang kemas berkenaan dan anggaran kerugian dilaporkan sekitar RM1,000. Berikutan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada hari sama.


Hasil siasatan mendapati kejadian rompak itu turut disaksikan oleh seorang anak perempuan mangsa berusia 14 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori autisme.


Siasatan lanjut mendapati tertuduh mengaku mengaku melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, selain turut memandu arah ke tempat dia menjual barang kemas tersebut.


Menurut tertuduh juga, perbuatan tersebut dilakukannya kerana berada di bawah pengaruh dadah.


Bagaimanapun semasa rayuan pengurangan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dan memberi alasan dia melakukan perbuatan berkenaan kerana memerlukan wang untuk membeli-belah.


Dalam pada itu difahamkan, hasil saringan awal air kencing tertuduh mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine.


Selain itu, difahamkan semakan polis turut mendapati tertuduh mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah, serta beberapa kesalahan lain.

Kerajaan siasat dakwaan baja subsidi Malaysia digunakan buat bom di selatan Thailand

Kerajaan siasat dakwaan baja subsidi Malaysia digunakan buat bom di selatan Thailand


Dakwaan baja subsidi di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dari Malaysia digunakan untuk menghasilkan alat letupan buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand perlu disiasat terlebih dahulu.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan media berhubung dakwaan itu tidak wajar dipandang ringan, kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan hubungan dua hala Malaysia-Thailand.


Menurutnya, pihak berkuasa kedua-dua negara mempunyai saluran sedia ada untuk meneliti sebarang dakwaan berkaitan keselamatan di kawasan sempadan, termasuk penggunaan bahan dari Malaysia yang dipercayai digunakan dalam pembuatan bom.


"Kalau ada dakwaan seperti itu, ia perlu disiasat. Kita ada mekanisme untuk membincangkan perkara seperti ini dengan pihak Thailand," katanya ketika sidang media pada Khamis.



Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali, Pasir Puteh.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.


Sebelum ini, media melaporkan baja subsidi di bawah SBPKP yang dibekalkan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikesan digunakan sebagai bahan menghasilkan IED oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.


Ia selepas pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 520 kilogram baja urea berkenaan dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai, selatan Thailand pada Jumaat lalu.


Saifuddin Nasution berkata, antara mekanisme yang boleh digunakan untuk membincangkan perkara itu ialah hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand, selain kerjasama polis dengan polis (P2P).


Katanya, mekanisme berkenaan membolehkan sebarang perkara yang menimbulkan kebimbangan antara kedua-dua negara dibawa ke meja perbincangan untuk tindakan lanjut.


"Kita tidak mahu melindungi apa-apa salah laku, tetapi dalam masa sama janganlah kita menambahkan bahang atau syak wasangka antara kedua-dua negara.


"Biarlah pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand menyiasat melalui mekanisme yang telah tersedia," katanya.

Khamis, 3 September 2026

123 tukang masak, tukang urut, pelayan warga asing ditahan Imigresen

123 tukang masak, tukang urut, pelayan warga asing ditahan Imigresen


Seramai 123 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan 48 jam di Johor bermula Selasa lalu.


Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata, turut ditahan enam rakyat Malaysia yang dipercayai pengurus premis kerana disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).


Beliau berkata, warga asing berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan, pas dan permit kerja yang sah, manakala rakyat Malaysia dipercayai melakukan kesalahan melindungi PATI.


Katanya, operasi dua hari itu menyasarkan pelbagai premis yang dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi berlaku pelanggaran peraturan imigresen, termasuk restoran, pusat servis kenderaan, kedai dobi, kedai aksesori kereta dan pusat refleksologi.



Beliau berkata, enam rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pengurus premis ditahan dalam serbuan berkenaan dan 29 saman turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.


"Kesemua mereka terdiri daripada 53 lelaki dan 70 wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.


"Mereka membabitkan 47 lelaki dan 27 wanita Myanmar, 24 warga Indonesia termasuk 14 wanita, enam lelaki Nepal, lima lelaki Bangladesh, lima lelaki Pakistan, lapan wanita dan seorang lelaki China serta seorang wanita Vietnam," katanya.


Mohd Rusdi berkata, warga asing terbabit dipercayai bekerja sebagai tukang masak, tukang urut dan pelayan, manakala sebahagian lagi adalah pelanggan di premis berkenaan.


Beliau berkata, kesemua 123 warga asing terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Katanya, mereka ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi membantu siasatan.

Selasa, 1 September 2026

Warga Myanmar seludup rakan senegara guna Toyota Alphard terbongkar, 13 ditahan

Warga Myanmar seludup rakan senegara guna Toyota Alphard terbongkar, 13 ditahan


Tindakan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard yang disewa untuk membawa masuk rakan senegaranya secara haram ke negara ini terbongkar selepas ditahan dalam Op Pintas di Changlun pertengahan Ogos lalu.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, dalam operasi jam 2 petang pada 14 Ogos lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu telah mengesan sebuah kenderaan mewah dalam keadaan mencurigakan.


Menurutnya, pasukan itu mengekori kenderaan berkenaan dari Pekan Changlun sehingga ke hadapan sebuah motel sebelum ditahan untuk diperiksa.


"Hasil temu bual awal mendapati kedua-dua wanita terbabit dipercayai baru memasuki Malaysia dan diambil dari kawasan Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam sebelum dibawa ke Changlun," katanya pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu pada Selasa.


Susulan maklumat yang diperoleh, pasukan polis kemudian menyerbu sebuah bilik di motel dan menahan enam lelaki serta dua wanita warga Myanmar.


Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik di Motel yang terletak bersebelahan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.


Mohd Radzi berkata, keseluruhannya seramai 13 warga Myanmar termasuk pemandu kenderaan berusia 20 hingga 35 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.


Dalam operasi sama, polis turut merampas Toyota Alphard yang dipercayai digunakan bagi tujuan mengambil dan menghantar migran yang baru memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.


Beliau berkata, siasatan mendapati kenderaan mewah tersebut disewa daripada sebuah syarikat kereta sewa yang berpangkalan di Kuala Lumpur sebelum digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran.


Berdasarkan modus operandi yang dikesan, migran dipercayai memasuki negara ini melalui lorong tikus di kawasan sempadan sebelum dibawa ke lokasi transit di sekitar Changlun.


"Kubang Pasu merupakan daerah yang bersempadan dengan Thailand dan sentiasa menjadi antara lokasi tumpuan sindiket penyeludupan migran melalui jalan darat.


"Polis akan terus mempergiat operasi serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pencerobohan sempadan negara," katanya.


Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Remaja maut terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang lampu di gelanggang futsal

Remaja maut terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang lampu di gelanggang futsal


Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Taman Pancaran, Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.32 malam.


"Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 15 tahun dikatakan sedang berehat dalam permainan futsal.


"Mangsa memegang tiang lampu disyaki mempunyai arus elektrik hingga menyebabkannya rebah di kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.


Azaharudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).


"Kes disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR)," katanya.


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Thiban Subbramaniam dalam hantaran di Facebook berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, adil dan menyeluruh.


"MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) turut digesa untuk menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya agar keluarga mangsa mendapat jawapan dan keadilan yang sewajarnya.


"Pada masa sama, saya menyeru MPKS dan semua agensi berkaitan supaya segera menjalankan pemeriksaan terhadap kemudahan awam khususnya tiang lampu dan sistem elektrik di kawasan rekreasi, gelanggang sukan serta lokasi awam lain," katanya.

Isnin, 31 Ogos 2026

Tak terus pulang, Anwar berjalan 500 meter santuni pengunjung, peserta persembahan

Tak terus pulang, Anwar berjalan 500 meter santuni pengunjung, peserta persembahan


Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila meluangkan masa berjalan sejauh kira-kira 500 meter (m) sambil menyantuni pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pagi ini.


Dalam suasana penuh meriah itu, Perdana Menteri meluangkan masa menyapa orang ramai yang berada di sepanjang laluan, selain melayan sapaan dan sambutan pengunjung yang tidak melepaskan peluang bertemu pemimpin nombor satu negara.


Sebelum itu, Anwar turut menyantuni kira-kira 1,500 peserta Grafik Manusia yang terbabit dalam persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini.


Perdana Menteri kemudian menunjukkan isyarat dua ibu jari sebagai tanda penghargaan kepada peserta selepas menyaksikan persembahan Grafik Manusia yang memukau dan mendapat sorakan orang ramai.


Aksi spontan itu menceriakan suasana apabila peserta turut menyambut penghargaan berkenaan, manakala orang ramai yang berada di sekitar lokasi terus memberikan sokongan terhadap persembahan yang ditampilkan.


Anwar ketika menyantuni peserta Grafik Manusia menyatakan penghargaan dengan setiap persembahan yang dipamerkan.


"Alhamdulillah, persembahan terbaik, amat-amat baik," katanya.


Kehadiran dan kesudian Perdana Menteri berjalan menyantuni pengunjung serta peserta Grafik Manusia menambah kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus memperlihatkan suasana mesra antara pemimpin dengan rakyat pada hari penuh bermakna itu.


Sambutan kali ini membabitkan seramai 10,819 peserta, 77 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam, 328 aset darat dan udara, serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan 11 kereta berhias yang turut disiarkan serta diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.


Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

Lelaki 'dikehendaki' ditahan selepas 30 minit dikejar, beberapa das tembakan turut dilepaskan

Lelaki 'dikehendaki' ditahan selepas 30 minit dikejar, beberapa das tembakan turut dilepaskan


Suspek curi kabel yang memiliki 37 rekod lampau ditahan selepas dikejar selama 30 minit dari Plaza Tol Awan Besar, di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hingga ke Sri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.


Suspek ditangkap selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas dan melanggar kereta lain sekitar Sungai Besi.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Peronda Lebuhraya Bukit Aman mengesan sebuah Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua individu di Lebuhraya KESAS.


Menurutnya, pihak polis mengarahkan suspek untuk berhenti bagi pemeriksaan, namun suspek terus memecut laju cuba melarikan diri.


"Suspek dikejar dari Plaza Tol Awan Besar arah Klang (Barat) sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling, Kuala Lumpur.


"Ketika kejadian, satu das tembakan dilepaskan ke bahagian tayar kenderaan suspek.


"Kenderaan suspek dikejar kira-kira 30 minit sebelum berhenti seketika di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bagaimanapun, katanya, suspek tetap enggan memberikan kerjasama, sebelum kembali memecut dan cuba melanggar anggota bertugas.


Katanya, keadaan itu memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah tayar belakang kenderaan suspek.


Katanya, kenderaan suspek hanya berhenti di di Jalan Hang Tuah 4, selepas Ford Ranger itu hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta Mazda.


"Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan manakala seorang lagi suspek lelaki yang juga pemandu berjaya melarikan diri.


"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan pelbagai barang dan alatan bagi tujuan mencuri kabel dan sejumlah kabel disyaki dicuri," katanya.


Fadil berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri, manakala permohonan reman suspek yang ditahan akan dibuat esok.


Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan/ Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987/ Seksyen 427 Kanun Keseksaan/ Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Katanya, semakan mendapati suspek yang ditangkap mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan berada dalam senarai sebagai 'orang dikehendaki'.


Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau mana-mana balai polis berhampiran anda.


Terdahulu beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan sebuah Ford Ranger berwarna hijau terbabas dan dikepung oleh pihak berkuasa.