Mana-mana pihak termasuk orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak sepatutnya menggunakan istilah 'kuil haram', 'tokong haram' atau sebarang label seumpamanya apabila merujuk kepada tempat ibadat di negeri ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman menegaskan, tempat ibadat bukan sekadar struktur fizikal, tetapi merupakan institusi mempunyai nilai keagamaan, sejarah serta makna yang amat mendalam kepada penganutnya.
Menurutnya, penggunaan istilah berunsur menghukum, merendahkan atau melabel secara negatif adalah tidak wajar, tidak menghormati sensitiviti agama, serta boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.
"Dalam sebuah negeri seperti Selangor yang dihuni rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian sosial adalah asas kestabilan dan kemajuan.
"Kenyataan atau label yang tidak bertanggungjawab, khususnya di media sosial, berpotensi mengeruhkan keadaan, membentuk persepsi salah serta menjejaskan hubungan antara komuniti yang telah lama hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.
"Sebarang isu berkaitan status, kedudukan atau urusan pentadbiran tempat ibadat adalah di bawah bidang kuasa kerajaan serta pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan agensi teknikal," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) memberitahu, setiap perkara diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang, dasar semasa dan pertimbangan sosial setempat.
Jelasnya, campur tangan pihak ketiga melalui spekulasi, tekanan terbuka atau pelabelan mengelirukan bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menyukarkan proses penyelesaian yang sedang diusahakan secara teratur.
"Perlu difahami bahawa kebanyakan kes melibatkan tempat ibadat mempunyai latar sejarah panjang dan kompleks, melibatkan pelbagai faktor termasuk pembangunan setempat, pertumbuhan komuniti serta isu pentadbiran tanah yang memerlukan penelitian menyeluruh.
"Oleh itu, pendekatan yang diambil mestilah berasaskan dialog, keadilan, toleransi dan penyelesaian secara harmoni, bukannya sentimen atau emosi," ulasnya.
Papparaidu turut berpendapat agar semua pihak memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan menyelesaikan perkara itu secara berhemah, profesional dan berpandukan undang-undang.
"Pada masa yang sama, orang awam dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, komen atau perkongsian di media sosial supaya tidak mencetuskan ketidaktenteraman awam atau menyentuh sensitiviti agama mana-mana pihak," katanya.

EmoticonEmoticon