Parti Progresif Penduduk (PPP) mendesak polis segera bertindak dengan menahan, menyiasat dan mendakwa pendakwah bebas, Zamri Vinoth serta Firdaus Wong atas tindakannya yang didakwa cuba menimbulkan ketakutan jenayah dalam masyarakat.
Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, pihaknya memberi tempoh singkat kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, namun jika gagal, mereka akan turun ke jalanan untuk mengadakan protes bantahan.
"Kita PPP membuat pendirian bahawa mereka ini bukan saja melibatkan diri dalam isu kuil haram, tapi juga menimbulkan ketakutan jenayah kepada masyarakat secara umumnya.
"Negara ini ada undang-undang. Ada pihak penguatkuasa polis dan juga kita ada sistem kehakiman.
"Oleh kerana mereka menimbulkan ketakutan jenayah, kita akan beri kerajaan masa untuk tangkap, siasat dan bawa mereka ke muka pengadilan.
"Jika ini tidak berlaku dalam masa singkat, maka PPP akan turun ke jalanan," katanya pada sidang media di Wisma PPP selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PPP, Kuala Lumpur hari ini.
Polis sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat satu catatan Facebook oleh Zamri susulan laporan dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang juga laporan keempatnya terhadap penceramah terbabit.
Laporan terbaru Rayer itu menyentuh catatan Zamri mengenai perhimpunan merobohkan sebuah kuil kecil Hindu yang terletak berhampiran pintu masuk Hospital Bukit Mertajam.
Bulan lalu, polis turut memaklumkan tiga kertas siasatan dibuka terhadap Zamri yang juga Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, termasuk di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Ia susulan penahanan seramai 19 individu yang menyertai himpunan berhampiran pusat membeli belah di ibu negara bulan lalu.
Mengulas lanjut, Loga Bala, berkata keputusan untuk turun ke jalanan dibuat demi memastikan tidak ada individu yang bebas bertindak termasuk dilihat cuba mengambil tindakan undang-undang sendiri.
"Ini satu keputusan yang paling serius kita buat. Saya ingin jelaskan juga bahawa kita tak terlibat dengan timbulnya isu kuil yang dibina tanpa izin. Itu bukan isu yang berkaitan dengan kami.
"Isu kami dengan Firdaus Wong dan Zamri Vinoth adalah atas menimbulkan isu-isu untuk menakutkan rakyat dengan mengambil undang-undang ditangannya sendiri," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persiapan Pilihan Raya Umum khususnya berkaitan agihan kerusi antara komponen Barisan Nasional (BN), Loga Bala berkata ia ada disentuh, namun tidak mendalam.
Katanya, soal agihan kerusi dan sebagainya hanya akan diperincikan bila sampai waktunya atau selepas BN membuat keputusan kelak.

EmoticonEmoticon