Ahad, 8 Mac 2026

Lelaki 'hantar' isteri ke hospital sakit jiwa selepas minta cerai, tangan dan kaki diikat pada katil



Tular satu video di TikTok dan Instagram memaparkan seorang wanita dengan pergelangan tangan diikat pada katil di sebuah hosiptal sakit jiwa di Jakarta Barat, dipercayai perbuatan suami yang berang isterinya menuntut untuk bercerai.


Konflik awal tercetus pada 27 Januari lalu apabila Erika Oktaviani bertengkar dengan suaminya, Anthony Hamonongan di pejabat sambil disaksikan ramai staf. Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Erika sempat meminta cerai daripada suaminya sebelum berlalu pergi.


Tanpa disangka-sangka, lelaki terbabit kemudiannya menghubungi hospital sakit jiwa dan mendakwa Erika sudah lama menghidap masalah tekanan mental.


Dia didakwa mengatur strategi untuk menempatkan Erika di sana selama setahun dan menyatakan kesanggupan membayar kos yang diperlukan.


Baru-baru ini, ibu kepada Erika merakam video anaknya berada di dalam rumah sakit jiwa dan mendakwa Anthony sengaja berbuat demikian walaupun wanita itu tidak menghidap masalah mental sama sekali.


"Kaki dan tangan semuanya diikat, dibikin gila oleh suaminya cuma kerana aset dan harta," kata ibu wanita itu yang memuat naik video tersebut di akaun media sosial Erika.


Dalam kenyataan Rumah Sakit Jiwa Soeharto Heerdjan pada Jumaat lalu, ibu wanita tersebut menjelaskan bahawa anaknya sempat bertengkar mulut dengan suami di pejabat.


"Pelaku (Anthony) maklum pada mentuanya mahu bawa Erika ke hospital untuk berubat. Rupa-rupanya, dibawa ke hospital sakit jiwa dengan keterangan palsu," katanya.


Turut tular tangkap layar yang didakwa perbualan Anthony dengan keluarganya, menunjukkan bahwa dia ingin memasukkan istrinya ke hospital sakit jiwa selama satu tahun.


Erika juga difahamkan sempat meminta bantuan kepada pengawal keselamatan hospital sakit jiwa itu dengan menulis surat kecil memohon supaya ibunya dihubungi.


Bagaimanapun, usahanya untuk menghubungi ahli keluarga gagal apabila pengawal tersebut menyerahkan surat tersebut kepada suami.


Susulan itu, Erika telah dimasukkan ke dalam sebuah bilik dengan tangan dan kaki terikat pada katil, termasuk diberikan ubat suntikan.


Tangkap layar rakaman CCTV Erika dan suaminya bergaduh di pejabat sebelum si suami bertindak nekad memasukkan isterinya ke rumah sakit jiwa.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon