Ahad, 8 Mac 2026

Konflik Asia Barat: MALBATT 850-13 kekal siap siaga misi pengaman di Lubnan


Anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan misi pengamanan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan berada dalam keadaan siap siaga dan berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan.


MALBATT 850-13 dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan tahap kesediaan anggota pasukan itu terus dipertingkatkan merangkumi aspek keselamatan, kesiagaan operasi, logistik serta koordinasi bersama pihak berkepentingan.


Menurut kenyataan itu, setiap anggota dilatih untuk bertindak secara profesional dan berdisiplin dalam apa jua situasi selaras dengan prinsip operasi pengaman di bawah panji UNIFIL.


"Persiapan ini bukan sahaja melibatkan aspek taktikal, malah turut merangkumi kesiapan mental, fizikal dan kerohanian anggota dalam menghadapi cabaran di medan misi," menurut kenyataan itu.


MALBATT 850-13 memaklumkan pendekatan tersebut mencerminkan komitmen pasukan itu dalam memastikan keselamatan anggota, melindungi komuniti setempat serta mengekalkan kestabilan di kawasan operasi.


"Persiapan kesiagaan yang merangkumi aspek Gerakan, Tadbir dan Logistik (G, A dan Q) dilaksanakan secara berkala oleh Timbalan Komander MALBATT 850-13 Lt Kol Zain Azrai Karia, Pegawai Staf 1 Gerak Lt Kol Mohd Farid Ahmad, Pegawai Staf 1 Latih Kdr Rusmanizam Ismail serta Pegawai Staf 1 Logistik Lt Kol Mohd Suhaimi Abdul Samat.


"Matlamat utama persiapan bagi memastikan semua warga MALBATT 850-13 sentiasa memahami dan mematuhi tindakan yang perlu dilaksanakan sekiranya berlaku sebarang kemungkinan selain membantu mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pasukan menghadapi situasi kecemasan sekali gus menyokong pelan kontingensi MALBATT 850-13," menurut kenyataan itu.


Sebelum ini, Bernama melaporkan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat kini menyebabkan gelombang baharu penduduk terpaksa berpindah, khususnya di Lubnan.


Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), lebih 90,000 penduduk di negara itu terpaksa meninggalkan kediaman mereka susulan arahan pemindahan dan tanda awal pergerakan penduduk sudah mula kelihatan di Lubnan termasuk merentasi sempadan ke Syria.


Ketegangan serantau meningkat akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lepas yang kemudian mencetuskan serangan balas Tehran terhadap Israel dan beberapa negara serantau. Israel juga turut memperluas serangan terhadap Hizbullah di Lubnan. - BERNAMA.


EmoticonEmoticon