Khamis, 5 November 2026

Dua anggota polis fail saman sivil terhadap ketua pengarah AKPS, Mohd Shuhaily


KUALA LUMPUR - Dua anggota polis yang mendakwa dikasari Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memfailkan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu berhubung dakwaan penahanan salah, serangan dan fitnah.


Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad selaku plaintif memfailkan writ saman serta pernyataan tuntutan menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.


Mohd Shuhaily dinamakan sebagai defendan tunggal dalam tindakan undang-undang berkenaan.


Peguam yang mewakili kedua-dua anggota itu, Kamal Hisham Ja'afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, saman berkenaan mengandungi empat kausa tindakan iaitu penahanan salah, serangan, bateri dan fitnah.


Menurut mereka, tindakan itu diambil kerana dakwaan perbuatan berkenaan dilakukan Mohd Shuhaily atas kapasiti peribadinya dan bukan membabitkan kerajaan Malaysia.


Mereka turut menyifatkan saman sivil itu sebagai saluran yang tepat untuk anak guam mendapatkan keadilan, selain menghargai pendirian kerajaan bahawa semua pihak tertakluk kepada undang-undang.


Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua anggota polis berkenaan.


Beliau didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Mohammad Faiz dan Muhammad Ekmal Sofwan antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, pada 28 September lalu, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


EmoticonEmoticon