ALOR SETAR - Seramai 16 wanita warga Indonesia dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Baiduri, Jalan Gangsa, di sini, malam tadi.
Kesemua wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun itu diselamatkan menerusi operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Ops Pintu yang dijalankan kira-kira jam 11.30 malam.
Operasi berkenaan dilaksanakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) bagi membanteras kegiatan pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.
Dalam serbuan itu, dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan pemerdagangan orang.
Menurut kenyataan Imigresen Kedah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Pihak berkuasa turut menyita dua kenderaan, iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota RAV4 dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.
Selain itu, sebanyak 33 pasport Indonesia serta wang tunai berjumlah RM122,598 turut disita dalam operasi berkenaan.
Kesemua 16 wanita terbabit kini diselamatkan untuk tindakan dan siasatan lanjut, manakala dua lelaki yang ditahan untuk membantu pihak berkuasa melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti peranan mereka serta kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kegiatan berkenaan.







