Khamis, 19 Februari 2026

3 warga Vietnam didenda RM128.9 juta simpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar tanpa permit


Tiga warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara antara 15 bulan hingga 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas 15 pertuduhan menyimpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar tanpa permit sah, tiga tahun lalu.


Hakim Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman itu terhadap Bui Thi Ngan, 56 dan adiknya, Bui Van Noi, 48, serta Bui Van Anh, 38 selepas mendapati ketiga-tiganya bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.


Maimoonah juga memerintahkan ketiga-tiga mereka dikenakan denda berjumlah RM128.9 juta dan penjara lapan tahun enam bulan jika gagal membayar denda itu.


Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap.


Ketiga-tiga tertuduh didapati menyimpan hampir 1,000 bahagian pelbagai spesies haiwan antaranya tenggiling, beruang matahari, harimau belang, harimau kumbang, harimau dahan, kambing gurun, kucing tulap, gajah Asia, babi bodoh, babi hutan, serigala, landak raya, kijang dan ular yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


Kesalahan dilakukan di sebuah premis kediaman di Jalan Sungai Lembing, Kampung Sungai Charu, Panching, Kuantan pada 7 malam, 15 Nov 2023.


Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta 716 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022, serta Seksyen 60(1)(b) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta sama.


Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Amanina Mohamad Anuar, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya kesalahan sama tidak berulang.


"Kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana melibatkan rampasan hampir ribuan bahagian hidupan liar pelbagai spesies yang menjadi khazanah tidak ternilai negara," katanya.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amanina Mohamad Anuar, manakala ketiga-tiga warga Vietnam itu diwakili Peguam, Datuk Zaharman Zainal Abdidin.


EmoticonEmoticon