Dua lelaki Rohingya yang tular selepas terbabit dalam beberapa siri kes pecah masuk kediaman dalam daerah ini dengan memakai topeng dan sarung tangan didakwa di Mahkamah Majistret Muar, hari ini.
Kedua-dua tertuduh, Jamal Hussin Jalal, 30, dan Ramzan Ali Ali, 31, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Muhammad Faizzudin Abd Rafik.
Jamal Hussin berhadapan tiga pertuduhan manakala Ramzan satu pertuduhan. Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Jamal Hussin didakwa bersama-sama dua rakan masih bebas menceroboh rumah milik tiga mangsa berusia 46, 57 dan 59 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di tiga rumah di Taman Sungai Abong Permai, Taman Temiang Jaya dan Taman Permata Indah di Muar, antara jam 11.11 malam hingga 3 pagi, 30 Mei, 19 dan 21 Julai lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Ramzan pula didapati secara tidak jujur menyimpan harta curi berupa seutas jam tangan dengan kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Peringgit Jaya, Melaka pada jam 1.30 pagi, 26 Julai lalu.
Kesalahan ini dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Kelvinder Singh Sidhu.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin; RM1,500, dua penjamin (pertuduhan kedua) dan RM2,500, dua penjamin (pertuduhan ketiga)
Sementara Ramzan dikenakan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin dan kesemua kes disebut semula pada 22 September ini untuk serahan dokumen.
Berdasarkan laporan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengesan video tular di media sosial memaparkan tiga individu memecah masuk sebuah rumah.
Susulan penularan video itu, polis mengesahkan laporan diterima berkaitan kejadian itu. Siasatan dijalankan membawa kepada penahanan tertuduh.


EmoticonEmoticon