Khamis, 19 November 2026

Dalang 22 kes jenayah rentas negeri maut ditembak di Ipoh, empat lagi ahli kumpulan diburu


IPOH - Lelaki berusia 39 tahun yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sini, awal pagi tadi, dipercayai menjadi dalang utama kumpulan penjenayah yang terbabit dalam kira-kira 22 kes samun, pecah rumah, mendatangkan kecederaan dan dadah di empat negeri sejak tahun lalu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan itu dipercayai aktif di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka dengan menyasarkan kediaman jenis banglo, rumah berkembar serta rumah teres secara rawak.


Menurutnya, kumpulan berkenaan mempunyai modus operandi tersendiri dengan melakukan pemantauan beberapa kali di kawasan sasaran sebelum memecah masuk rumah mangsa.


Mereka turut menyasarkan kediaman berhampiran lebuh raya bagi memudahkan pergerakan melarikan diri, selain memakai topeng ketika melakukan samun bagi mengelakkan identiti dikenal pasti.


Kumpulan itu lazimnya bergerak dalam kumpulan empat hingga lima orang dan dipercayai memiliki senjata api serta parang, selain tidak teragak-agak mencederakan mangsa.


Mengulas kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, Kumar berkata, sepasukan polis dari Bahagian D9 JSJ Bukit Aman dengan bantuan JSJ IPK Perak terserempak dengan sebuah Perodua Axia berwarna perak dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan pemantauan.


Suspek yang memandu bersendirian gagal mematuhi arahan berhenti, sebaliknya memecut sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.


Polis kemudian mengejar dan memintas kenderaan itu sebelum berlaku pelanggaran kecil yang menyebabkan kereta berkenaan berhenti.


Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis, menyebabkan anggota terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan keselamatan.


Pemeriksaan di lokasi menemukan sepucuk senjata api separa automatik, tiga butir peluru hidup, enam kelongsong peluru serta satu paket disyaki mengandungi dadah jenis syabu.



Pemeriksaan lanjut terhadap kereta milik isteri suspek turut menemukan tiga bilah parang, pemotong besi, dua topeng muka, dua pasang sarung tangan, dua kuku kambing, nombor pendaftaran kenderaan, pengikat kabel, kunci kereta dan beberapa paket disyaki dadah jenis syabu.


Menurut Kumar, suspek yang merupakan lelaki tempatan dan tidak mempunyai rekod pekerjaan itu mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, dadah, pecah rumah serta mendatangkan kecederaan.


Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2025 dan mempunyai hubungan antara satu sama lain, namun bukan ahli keluarga.


Berdasarkan barangan yang dirampas, polis percaya suspek mungkin dalam perjalanan untuk mengumpulkan ahli kumpulan lain ketika kejadian.


Dalam perkembangan sama, polis sudah mengenal pasti empat lagi ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan sedang diburu.


Seorang lagi anggota kumpulan itu ditahan kira-kira seminggu lalu berhubung kes samun di Tanjung Malim dan kini direman sehingga 22 November ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


EmoticonEmoticon