Khamis, 19 November 2026

UNHCR henti pendaftaran pelarian di Malaysia, kerajaan ambil alih urusan


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di Malaysia berkuat kuasa semalam.


Dalam kenyataan menerusi laman sesawang rasminya, UNHCR memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan langkah kerajaan Malaysia mengambil alih urusan pendaftaran dan pengurusan data komuniti berkenaan.


Menurut agensi itu, perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia sedang diteruskan bagi merangka pelan peralihan yang dapat memastikan kesinambungan perlindungan kepada pelarian dan pemohon suaka.


UNHCR turut menawarkan khidmat nasihat teknikal, perkongsian kepakaran serta kerjasama kepada kerajaan sepanjang proses berkenaan.


Bagaimanapun, agensi itu menegaskan penghentian aktiviti pendaftaran dan dokumentasi tidak bermakna operasinya di Malaysia ditutup sepenuhnya.


Sebaliknya, UNHCR bersama rakan kerjasama akan meneruskan aktiviti lain, termasuk urusan penempatan semula serta bantuan kepada pelarian dan pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak.


Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan menerusi Jabatan Imigresen akan mengambil alih tugas pendaftaran dan pengurusan data pelarian secara berperingkat.


Beliau sebelum ini menjelaskan pengambilalihan itu akan dilaksanakan melalui sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan memiliki rekod data yang lebih sahih dan menyeluruh tanpa bergantung kepada entiti luar.


Perkembangan itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya di platform Threads.


Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan keputusan UNHCR itu sebagai perkembangan yang sudah lama didesak oleh rakyat Malaysia.


Beliau bagaimanapun berpandangan usaha berhubung isu berkenaan tidak seharusnya terhenti setakat pengumuman itu sahaja.


Sementara itu, pengguna Threads @malayapulse membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan sistem DPP, termasuk aspek kelancaran proses pendaftaran, ketelusan serta sumber pembiayaan pelaksanaannya.


Seorang lagi pengguna, @hafizahradzi pula berpandangan pelaksanaan DPP mungkin hanya melibatkan pendaftaran pemegang kad sedia ada kerana rekod pelarian sebelum ini didakwa tidak dikongsi dengan pihak berkuasa tempatan.


Pengguna lain, @haz_zyi mempersoalkan jumlah keseluruhan pelarian di Malaysia serta nasib mereka yang tidak berdaftar, manakala @mrrrasyraf menggesa kawalan sempadan diperketat bagi mengekang kemasukan pencari suaka baharu atas faktor keselamatan dan kedaulatan negara. - Sumber Harian Metro.


EmoticonEmoticon