Memaparkan catatan dengan label Imigresen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Imigresen. Papar semua catatan

Ahad, 25 Oktober 2026

109 warga asing ditahan dalam Ops Gegar di Ipoh, lima majikan disaman

109 warga asing ditahan dalam Ops Gegar di Ipoh, lima majikan disaman


Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Gegar di sekitar bandar raya Ipoh, termasuk di Pasar Borong Ipoh, awal pagi hari ini.


Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 75 lelaki dan 34 wanita berusia antara 19 hingga 59 tahun.


Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di sekitar bandar raya Ipoh kira-kira jam 9 malam tadi, manakala operasi kedua di Pasar Borong Ipoh bermula jam 1.30 pagi.


"Ketika serbuan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri, namun hasil kecekapan pegawai dan anggota penguat kuasa, kesemua mereka berjaya ditahan.


"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Thailand, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh," katanya ketika ditemui selepas operasi di Pasar Borong Ipoh, hari ini.


Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan.


Semua tahanan dibawa ke pejabat JIM negeri untuk proses dokumentasi dan semakan lanjut sebelum ditempatkan di depoh tahanan imigresen.


Dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan lima saman terhadap majikan dan pemilik premis bagi membantu siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Dalam perkembangan lain, Lokman Effendi berkata, lebih 11,000 operasi penguatkuasaan dilaksanakan sejak 1 Januari lalu, membabitkan pemeriksaan terhadap hampir 150,000 warga asing.


Antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di Pasar Borong Ipo. - Foto NSTP.


Rabu, 21 Oktober 2026

Individu tiada MyKad, guna MyKid mohon kerja antara ditahan JPN di Johor Bahru

Individu tiada MyKad, guna MyKid mohon kerja antara ditahan JPN di Johor Bahru


"Memang ini sahaja dokumen pengenalan diri yang saya ada, majikan kata boleh guna saya ingat tak ada masalah," kata lelaki berusia 20 tahun yang hanya bergantung dengan kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) kerana mendakwa gagal dalam permohonan mendapatkan kad pengenalan (MyKad).


Dia mendakwa, permohonan membuat MyKad ketika usianya 12 tahun gagal akibat masalah dokumentasi dipercayai mengenai maklumat mengenai bapa kandungnya.


Pemuda yang mendakwa tinggal di Pasir Gudang bersama ibu saudaranya itu berkata, sekali lagi permohonannya beberapa tahun lalu gagal kerana menghadapi masalah dokumen pengangkatan anak angkat.


"Saya sekolah sampai Darjah Lima sahaja, sebab itu, saya tak berdepan sebarang masalah apabila tiada MyKad. Masa mohon kerja ini empat bulan lalu pun, majikan kata tiada masalah boleh guna MyKid sahaja, tetapi tak sangka pula ia satu kesalahan," katanya.


Tindakan lelaki itu menggunakan MyKid selama lapan tahun selepas berusia 12 tahun terhenti apabila akhirnya dikesan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu operasi, Ops Jejak 1.0 di sebuah kilang pencetakan kad permainan di Kawasan Perindustrian MIEL, Pasir Gudang di Johor Bahru, semalam.


Lelaki itu antara 234 individu yang diperiksa dalam operasi di kilang berkenaan dengan 137 daripadanya adalah warga tempatan.


Ketika operasi itu, pegawai JPN terpaksa menjalankan siasatan lanjut terhadap semua dakwaan lelaki berkenaan apabila dia gagal mengemukakan dokumen dikeluarkan JPN sebagai bukti ada membuat permohonan MyKad.


Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Sarinah Apisah berkata, kes seumpama itu dikategorikan sebagai kes yang meragukan berkemungkinan berkaitan maklumat ketika kelahiran.


"Kes seperti ini kadang-kadang memang mengambil masa untuk kita kesan saksi yang membuat pengesahan kelahiran dan sebagainya. Kadang-kala kita perlu kesan ibu bapa atau saudara mara untuk membolehkan kita mengesahkan sama ada betul atau tidak individu itu warganegara atau sebaliknya.


"Jika sudah di tahap ini, memang menjadi masalah dan ambil masa, kita cuba pelbagai cara sehingga akhirnya mungkin kesan adik beradik juga untuk jalankan ujian DNA," katanya yang ditemui ketika Ops Jejak 1.0 itu.


Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan berusaha menyegerakan kelulusan permohonan MyKad lelaki berkenaan jika maklumat diberikan adalah benar.


"Apa pun, kita tetap kena siasat. Kadang-kala mereka cakap macam-macam sedangkan mereka tahu maklumat diberikan tidak betul. Jika mereka betul, memang hak mereka untuk mendapat MyKad, kita segerakan, tetapi jika salah, kita akan dakwa nanti," jelasnya.


Sementara itu, dalam operasi berkenaan, 36 warga asing ditahan selepas disyaki menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk bekerja di Malaysia.


Sarinah berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 wanita dan lapan lelaki berusia antara 16 hingga 48 tahun yang disyaki berasal dari Filipina dan Indonesia.


"Kita sudah menjalankan risikan selama hampir sebulan yang bertujuan membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri khususnya bagi penggunaan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan milik orang lain," katanya.


Mengulas lanjut, Sarinah berkata, antara lain yang dikesan pihaknya dalam operasi itu adalah taktik seorang lelaki warga Filipina membayar RM100 untuk mendapatkan kad pengenalan bagi membolehkannya bekerja di kilang berkenaan.


"Dalam MyKad palsu itu dia guna nama orang lain, tetapi pakai gambar dia. Maklumat lanjut akan diperoleh menerusi sesi soal siasat bagi mengenal pasti asal-usul orang yang disyaki, termasuk sama ada benar-benar berasal dari Indonesia atau Filipina," katanya.


Sarinah berkata, JPN akan bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi meneliti peranan ejen serta majikan, termasuk bagaimana pekerja terbabit boleh menggunakan dokumen pengenalan diri yang disyaki tidak sah untuk mendapatkan pekerjaan.


Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 pindaan 2007 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.