Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Selasa, 10 November 2026

Bekas pengurus didakwa rancang rompakan pajak gadai, RM28.4 juta lesap

Bekas pengurus didakwa rancang rompakan pajak gadai, RM28.4 juta lesap


JOHOR BAHRU - Seorang bekas pengurus premis pajak gadai di Kota Tinggi dipercayai menjadi dalang kejadian pecah masuk premis berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian barang kemas dan wang tunai bernilai RM28.4 juta, Jumaat lalu.


Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian kira-kira jam 11.42 pagi itu dipercayai dilakukan suspek dengan memecah masuk melalui pintu hadapan sebelum melarikan barang kemas serta wang tunai melalui pintu belakang.


Bertindak atas maklumat, polis menahan tujuh individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 29 hingga 48 tahun. Mereka diberkas secara berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada 7 dan 8 November lalu.


Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai untuk menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah yang dilakukan bekas pengurus wanita berusia 44 tahun itu.


Lebih mengejutkan, kebanyakan barang kemas yang dilarikan dipercayai barang kemas palsu yang sebelum ini dipajak oleh rakan suspek menggunakan identiti pemajak tidak wujud bagi mendapatkan wang syarikat.


Polis turut merampas 2,891 barang kemas, wang tunai RM27,371, dua keping resit pajak gadai, dua rangkai kunci, dua beg silang dan sebuah telefon bimbit.


Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua mereka didapati negatif dadah.


Empat suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November, manakala tiga lagi direman sehingga Ahad bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Isnin, 9 November 2026

Menyamar anggota polis untuk peras ugut warga emas, pasangan suami isteri dicekup penduduk

Menyamar anggota polis untuk peras ugut warga emas, pasangan suami isteri dicekup penduduk

Gambar Hiasan

DUNGUN - Cubaan sepasang suami isteri menyamar sebagai anggota polis bagi memperdaya dan memeras ugut seorang wanita warga emas akhirnya terbongkar apabila mereka dikepung penduduk kampung di Felda Rasau Kerteh 3, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.


Mangsa, Mariani Ismail, 64, sebelum ini diperdaya menerusi panggilan video oleh seorang suspek yang memakai pakaian seragam pasukan keselamatan dengan latar belakang menyerupai IPD Kuantan.


Akibat ugutan dan dakwaan palsu yang menyebabkan mangsa panik, wanita itu menyerahkan tiga utas barang kemas bernilai ribuan ringgit pada 6 November lalu.


Bagaimanapun, pasangan terbabit kembali ke rumah mangsa semalam untuk menuntut wang tunai tambahan sebanyak RM50,000, tanpa menyedari keluarga dan penduduk kampung sudah bersiap sedia mengesan mereka.


Menyedari ditipu dalam insiden pertama, Mariani telah membuat laporan polis, sekali gus membolehkan ahli keluarga dan penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesan pergerakan suspek.


Suami mangsa, Zakaria Ibrahim berkata, suspek enggan masuk ke rumah sebaliknya meminta wang berkenaan diletakkan di dalam peti surat di hadapan kediaman mereka.


Beliau kemudian mengumpan pasangan itu dengan meminta mereka mengambil sendiri wang berkenaan dari dalam kereta.


Tindakan itu berjaya apabila kedua-dua suspek dikepung penduduk kampung yang menunggu di sekitar rumah sebelum diserahkan kepada polis.


Menurut Zakaria, dua suspek warga asing itu dipercayai telah menggadaikan barang kemas isterinya di sebuah kedai emas di Kuala Lumpur dengan nilai hampir RM13,000.


Kedua-duanya kemudian dibawa ke IPD Dungun untuk membantu siasatan dan dijangka direman di Mahkamah Majistret Dungun.

Ahad, 8 November 2026

Masuk Malaysia melalui laluan haram, PATI didakwa bayar sehingga RM15,000 kepada sindiket

Masuk Malaysia melalui laluan haram, PATI didakwa bayar sehingga RM15,000 kepada sindiket


KOTA BHARU - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram dan laluan laut didakwa perlu membayar antara RM5,000 hingga RM15,000 seorang kepada ejen atau sindiket bagi mengatur perjalanan mereka.


Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kadar bayaran itu berbeza mengikut kewarganegaraan, laluan kemasukan serta destinasi pekerjaan yang ditawarkan.


Menurutnya, berdasarkan risikan dan kes yang dikesan sepanjang tahun ini, terdapat PATI yang sanggup membayar jumlah berkenaan kepada ejen untuk memasuki negara ini secara tidak sah.


Bagaimanapun, katanya, bayaran itu bukan kadar tetap kerana ia bergantung kepada laluan digunakan dan perkhidmatan yang disediakan sindiket.


Beliau berkata, sekurang-kurangnya tujuh pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dikenal pasti menjadi antara laluan utama kegiatan penyeludupan PATI.


Antara lokasi berkenaan ialah Pangkalan Haram Azizah, Parking, Pak Antah, MCA, Kuala Senggeng, Kedap dan Perdah.


Menurut Ahmad Radzi, sindiket tidak bergantung kepada satu laluan sahaja, sebaliknya menggunakan beberapa pangkalan haram secara serentak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.


Katanya, apabila sesuatu laluan diperketatkan kawalan atau diserbu, mereka akan segera beralih ke laluan alternatif seperti lorong tikus, kawasan kebun, jalan kampung dan pesisir sungai.


Beliau menjelaskan, antara cabaran utama membanteras kegiatan itu ialah keadaan geografi sempadan yang luas dan kompleks, termasuk Sungai Golok yang panjang serta terbuka.


Kewujudan sungai kecil, kawasan hutan dan banyak laluan tidak sah turut menyukarkan pemantauan secara menyeluruh.


Malah, di sepanjang sempadan Kelantan sahaja terdapat ratusan pangkalan haram serta laluan alternatif yang perlu dipantau secara berterusan.


Ahmad Radzi berkata, modus operandi sindiket juga sentiasa berubah mengikut tahap kawalan keselamatan, termasuk menggunakan laluan laut dan sungai kecil bagi meneruskan kegiatan penyeludupan.


Sehubungan itu, pihak berkuasa terus mempergiat risikan dan pemantauan bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran serta memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara.

Jumaat, 6 November 2026

Kastam rampas jutaan batang rokok, sindiket didakwa bungkus semula produk tamat tempoh

Kastam rampas jutaan batang rokok, sindiket didakwa bungkus semula produk tamat tempoh


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi dua serbuan di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur, pada 26 Oktober lalu dengan nilai rampasan serta duti cukai berjumlah kira-kira RM2.56 juta.


Pengarah JKDM, Jamal Paiman berkata, operasi pertama kira-kira jam 3 petang membawa kepada penahanan sebuah van yang membawa 10,000 peket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup.


Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memandu van berkenaan turut ditahan untuk siasatan.


Dalam serbuan kedua kira-kira jam 4 petang di sebuah premis berhampiran, pihak kastam merampas 1,370 botol minuman keras, 4,824 tin bir, 244 kotak mengandungi lebih 2.8 juta batang rokok serta 221 unit barangan elektrik.


Turut dirampas sebuah mesin pembungkusan yang dipercayai digunakan sindiket untuk membungkus semula rokok yang sudah tamat tempoh sebelum dipasarkan semula.


Menurut Jamal, sindiket dipercayai menukar label dan pembungkusan bagi mengaburi status sebenar rokok sebelum menjualnya pada harga lebih rendah untuk menarik pembeli.


Nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua operasi dianggarkan RM359,271, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat mencecah kira-kira RM2.20 juta.


Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. JKDM turut menyiasat kemungkinan kedua-dua kegiatan berkenaan mempunyai kaitan.

Jumaat, 30 Oktober 2026

Pasangan kekasih dicekup dalam keadaan separuh berpakaian dalam kereta

Pasangan kekasih dicekup dalam keadaan separuh berpakaian dalam kereta

Gambar Ilustrasi

BATU PAHAT - Cubaan sepasang kekasih untuk berdua-duaan di dalam sebuah kereta di kawasan gelap terbongkar apabila mereka dicekup penguat kuasa agama dalam keadaan separuh berpakaian, malam tadi.


Pasangan berusia 17 dan 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.20 malam di tempat letak kenderaan Pura Kencana, Sri Gading, di sini, selepas menimbulkan syak anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang sedang melakukan rondaan.


Menurut JAINJ, anggota bertugas pada awalnya mengesan sebuah kereta dalam keadaan enjin masih hidup tetapi lampunya tidak dipasang di kawasan berkenaan.


Pemeriksaan menggunakan lampu suluh mendapati terdapat individu di dalam kenderaan itu. Ketika penguat kuasa mengetuk cermin, kereta berkenaan tiba-tiba mengundur sebelum berhenti apabila laluan dihalang van JAINJ.


Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berusia 21 tahun itu berada di tempat duduk pemandu tanpa memakai seluar, manakala remaja perempuan berusia 17 tahun ditemukan di tempat duduk belakang tanpa berbaju.


Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di Batu Pahat, manakala remaja perempuan berkenaan masih bersekolah.


Kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Khamis, 29 Oktober 2026

Ibu tunggal dipenjara 11 bulan, miliki RM347,800 wang hasil penipuan

Ibu tunggal dipenjara 11 bulan, miliki RM347,800 wang hasil penipuan

Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki wang RM347,800 yang diperoleh daripada kegiatan penipuan sembilan tahun lalu.


Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman terhadap Rosnani Shaikh Mahmud, 56, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh. Hukuman itu berkuat kuasa serta-merta.


Mengikut pertuduhan, Rosnani didapati memiliki wang RM347,800 milik Lim Chwee Hoon, 61, yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank miliknya antara 24 hingga 31 Oktober 2017.


Kesalahan itu dilakukan selepas tertuduh gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai sumber wang berkenaan.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Siasatan mendapati mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki warga Korea menggunakan nama Kenny Wang menerusi Facebook sebelum berhubung melalui WhatsApp.


Lelaki terbabit mendakwa menghantar bungkusan mengandungi wang tunai AS$100,000, iPad, beg tangan dan cincin kepada mangsa. Bagaimanapun, seorang individu yang mengaku sebagai ejen penghantaran meminta mangsa membuat bayaran bagi melancarkan penghantaran bungkusan itu.


Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi ke akaun berbeza, namun bungkusan yang dijanjikan tidak pernah diterima. Siasatan polis akhirnya mengesan RM347,800 daripada wang mangsa masuk ke akaun tertuduh.


Rosnani yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan berstatus ibu tunggal serta menghidap diabetes dan darah tinggi.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar memohon hukuman setimpal dengan menegaskan kepentingan awam perlu diutamakan, lebih-lebih lagi wang berkenaan masih belum dikembalikan kepada mangsa.

Ahad, 25 Oktober 2026

Sewa tayar RM100 hingga RM250 untuk 'lepas' pemeriksaan Puspakom

Sewa tayar RM100 hingga RM250 untuk 'lepas' pemeriksaan Puspakom


KUANTAN - Menyewa tayar lori pada kadar RM100 hingga RM250 semata-mata untuk melepasi pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dipercayai menjadi antara taktik segelintir pengusaha lori bagi mengelakkan kos penyelenggaraan yang tinggi.


Amalan itu dikatakan sudah lama berlaku dengan bantuan sesetengah bengkel atau kedai tayar yang menawarkan perkhidmatan sewaan tayar untuk digunakan ketika pemeriksaan.


Selepas pemeriksaan selesai, tayar sewaan bersama rim akan dipulangkan sebelum tayar lama yang tidak memenuhi syarat dipasang semula pada lori berkenaan.


Seorang pemilik lori yang enggan dikenali berkata, kos tayar baharu yang tinggi serta keadaan perniagaan tidak menentu menyebabkan segelintir pengusaha mengambil jalan mudah untuk menjimatkan perbelanjaan.


Katanya, ada lori yang jarang digunakan atau hanya melakukan kerja kampung, namun tetap perlu menjalani pemeriksaan berkala Puspakom.


Seorang lagi pemilik lori dikenali sebagai Bob berkata, perkhidmatan menyewa tayar itu mudah diperoleh dengan kadar sekitar RM200 bagi satu set tayar bersama rim, berbanding harga tayar baharu yang mencecah sekurang-kurangnya RM400 sebiji.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.


Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap sebuah premis tayar lori di kawasan Gebeng dan hasil awal mendapati terdapat maklumat mengenai perkhidmatan sewaan tayar bagi tujuan pemeriksaan Puspakom pada kadar RM100 hingga RM150 bagi sebuah lori.


Beliau menegaskan, JPJ Pahang akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan peraturan serta aspek keselamatan kenderaan berat.


Amalan berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana penggunaan tayar lama yang tidak memenuhi tahap keselamatan boleh meningkatkan risiko kemalangan, sekali gus mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.