Kementerian Pertahanan memaklumkan kehadiran dua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) iaitu USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara atau 'port of call' untuk urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia bukanlah satu perkara baharu dan menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa sejak sekian lama.
"Ini adalah sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan (confidence building) serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.
"Tujuan utama 'port of call' adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, kapal LCS milik Tentera Laut AS, USS Tulsa dan USS Santa Barbara dilaporkan berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.
Menurut portal berita pertahanan, The War Zone (TWZ), kedua-dua kapal yang digunakan bagi operasi penyapuan ranjau itu sebelum ini ditempatkan di Asia Barat selepas tiba di Bahrain sekitar tahun lalu.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut AS di perairan negara yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian Malaysia yang tidak terbabit dalam sebarang bentuk konflik antara kuasa besar.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai dua kapal berkenaan, Mohamed Khaled berkata negara ini mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.
"Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia.
"Port of call seperti ini juga berlaku secara berkala membabitkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan.
"Ia bertujuan untuk melaksanakan latihan dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan," katanya.
Tambahnya, sepanjang tahun lalu sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan termasuk Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan AS.


EmoticonEmoticon