Tindakan seorang lelaki dipercayai cuba mencuri kabel elektrik di Hospital Chonburi mengundang risiko besar apabila lima kabel bekalan kuasa utama yang disambungkan kepada penjana kecemasan hospital itu dipotong.
Perbuatan berkenaan berpotensi mengancam keselamatan ratusan pesakit yang bergantung kepada peralatan bantuan pernafasan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
Menurut laporan Khaosod English, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang pada 10 November lalu apabila seorang penceroboh memasuki kawasan hospital dipercayai untuk mencuri kabel berkenaan.
Bagaimanapun, kakitangan hospital yang mengesan pergerakan mencurigakan ketika melakukan pemeriksaan rutin menyebabkan suspek bertindak melarikan diri dengan terjun melalui tingkap tanpa sempat mengambil sebarang barangan.
Pemeriksaan lanjut mendapati lima kabel utama yang menghubungkan penjana kecemasan sudah dipotong, sekali gus menyebabkan sistem bekalan kuasa sokongan tidak dapat berfungsi untuk beberapa bangunan hospital.
Antara kawasan terjejas ialah bangunan Sor Kor, Chalatit dan Chonlathan serta pusat komputer hospital berkenaan.
Pihak hospital memaklumkan, bangunan terbabit menempatkan ratusan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan. Kerosakan itu dikhuatiri boleh menjejaskan operasi peralatan sokongan hayat sekiranya bekalan elektrik utama terputus.
Kos pembaikan kabel yang rosak dianggarkan mencecah 300,000 baht (kira-kira RM36,000).
Susulan kejadian itu, polis dari Balai Polis Mueang Chonburi berjaya menahan suspek kira-kira jam 6 petang pada hari sama, hanya sekitar tiga setengah jam selepas insiden dilaporkan.
Pihak hospital turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Balai Polis Mueang Chonburi, Pol Col Somchai Thiwongsa atas tindakan pantas menggerakkan pasukan penyiasat sehingga suspek berjaya diberkas.
Hospital menegaskan, kerugian akibat kerosakan kabel bukan sekadar melibatkan kos pembaikan, malah tindakan sedemikian boleh membawa akibat jauh lebih buruk sekiranya bekalan elektrik terputus dan menjejaskan pesakit yang bergantung kepada peralatan sokongan hayat.

EmoticonEmoticon