KUCHING - Dua lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah melakukan gaduh gempar di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam, minggu lalu.
Majistret Ling Hui Chuan turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara selama dua minggu sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh, Azizol Abu Bakar, 35, dan Shahziman Pathi, 42, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2 petang pada 30 Oktober 2026 di KTLD, Jalan Merbau, Pending Industrial Estate.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat orang awam mengenai pergaduhan itu sebelum mendapati Azizol dihantar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan luka panjang di belakang badan.
Azizol pada awalnya mendakwa dia diserang Shahziman menggunakan senjata tajam ketika berada di sebuah kedai, namun tidak mengetahui punca kejadian dan enggan membuat laporan polis.
Siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai perselisihan faham sejak sekian lama, malah pernah beberapa kali bergaduh sebelum saling memprovokasi dan bersetuju untuk bertemu bagi menyelesaikan masalah mereka.
Bagaimanapun, pertemuan tersebut berakhir dengan pergaduhan di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai.
Kedua-duanya ditahan pada hari kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 160 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

EmoticonEmoticon