BUKIT MERTAJAM - Seramai 114 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua premis hiburan sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Operasi hasil kerjasama JIM Ibu Pejabat dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang (JIMPP) itu dijalankan di dua lokasi berasingan, iaitu di Jalan Keranji, Taman Mutiara dan Jalan Kulim, Taman Machang Bubok.
Di lokasi pertama, seramai 64 individu ditahan, terdiri daripada 44 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal serta dua wanita transgender warga Laos.
Sementara itu, pemeriksaan di lokasi kedua membawa kepada penahanan 50 individu, membabitkan 29 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, seorang wanita warga Vietnam dan enam lelaki warga Myanmar.
Secara keseluruhan, warga Thailand mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 73 orang, diikuti warga Laos seramai 30 orang, Myanmar lapan orang, Bangladesh dan Nepal masing-masing seorang serta seorang warga Vietnam.
JIMPP dalam kenyataannya memaklumkan operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh penguatkuasaan melalui kerjasama strategik, perkongsian kepakaran dan tindakan menyeluruh.
Jabatan itu turut menegaskan akan meneruskan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen, selain menjaga kedaulatan dan keselamatan negara. - Sumber JIM Pulau Pinang.




EmoticonEmoticon