Memaparkan catatan dengan label Parti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parti. Papar semua catatan

Sabtu, 7 November 2026

114 warga asing dicekup dalam serbuan dua premis hiburan di Bukit Mertajam

114 warga asing dicekup dalam serbuan dua premis hiburan di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM - Seramai 114 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua premis hiburan sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang.


Operasi hasil kerjasama JIM Ibu Pejabat dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang (JIMPP) itu dijalankan di dua lokasi berasingan, iaitu di Jalan Keranji, Taman Mutiara dan Jalan Kulim, Taman Machang Bubok.


Di lokasi pertama, seramai 64 individu ditahan, terdiri daripada 44 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal serta dua wanita transgender warga Laos.


Sementara itu, pemeriksaan di lokasi kedua membawa kepada penahanan 50 individu, membabitkan 29 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, seorang wanita warga Vietnam dan enam lelaki warga Myanmar.



Secara keseluruhan, warga Thailand mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 73 orang, diikuti warga Laos seramai 30 orang, Myanmar lapan orang, Bangladesh dan Nepal masing-masing seorang serta seorang warga Vietnam.


JIMPP dalam kenyataannya memaklumkan operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh penguatkuasaan melalui kerjasama strategik, perkongsian kepakaran dan tindakan menyeluruh.


Jabatan itu turut menegaskan akan meneruskan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen, selain menjaga kedaulatan dan keselamatan negara. - Sumber JIM Pulau Pinang.



Rabu, 28 Oktober 2026

Alasan 'berehat' di kondominium mewah terbongkar, tiga lelaki dan dua remaja perempuan ditahan berkhalwat

Alasan 'berehat' di kondominium mewah terbongkar, tiga lelaki dan dua remaja perempuan ditahan berkhalwat

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Kononnya mahu mencari ketenangan dan berehat selepas penat bekerja, namun tindakan tiga lelaki bersama dua remaja perempuan menyewa sebuah kondominium mewah di bandar raya ini akhirnya terbongkar apabila diserbu penguat kuasa agama, pagi tadi.


Lebih mengejutkan, kumpulan berkenaan dipercayai bukan pertama kali menyewa penginapan seumpama itu, malah mengakui pernah berbuat demikian beberapa kali di lokasi berbeza sekitar daerah ini.


Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memaklumkan, serbuan kira-kira jam 9.35 pagi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 16 dan 23 tahun serta dua remaja perempuan berusia 16 dan 18 tahun.


Menurut kenyataan itu, sebaik tiba di unit kediaman di tingkat 11, penguat kuasa mengetuk pintu selama kira-kira lima minit sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian kasual.


Bagaimanapun, lelaki berkenaan tiba-tiba cuba menutup semula pintu sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, namun tindakannya berjaya dihalang.


Pemeriksaan lanjut mendapati individu terbabit bukan adik-beradik dan tidak mempunyai hubungan mahram.


Hasil soal siasat mendapati, ketiga-tiga lelaki berkenaan berkongsi wang untuk menyewa kondominium itu dan memasuki unit berkenaan pada petang sebelumnya selepas membuat bayaran secara dalam talian.


Mereka turut menggunakan kata laluan yang diberikan untuk mendapatkan kad akses di dalam peti surat tanpa perlu berurusan dengan kakitangan kaunter.


JAINJ berkata, kumpulan itu memberi alasan hanya mahu berseronok dan mencari ketenangan selepas penat bekerja.


Kesemua mereka ditahan atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Sabtu, 24 Oktober 2026

Serbuan pusat hiburan: 68 warga asing ditahan, selempang tawaran khidmat hingga RM3,000 ditemui

Serbuan pusat hiburan: 68 warga asing ditahan, selempang tawaran khidmat hingga RM3,000 ditemui


KUALA LUMPUR - Sebanyak 68 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, awal pagi tadi, yang turut menemukan beberapa selempang tertera kadar bayaran sehingga RM3,000 dipercayai berkaitan tawaran khidmat wanita.


Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, selempang berkenaan dipercayai memaparkan kadar bayaran bagi mendapatkan khidmat wanita, namun perkara itu masih dalam siasatan.


Operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu menahan 54 warga Thailand dan 14 warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 55 tahun.


Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk menyalahgunakan pas lawatan dan melanggar syarat pas kerja.


Serbuan itu dilaksanakan hasil risikan selama dua hingga tiga bulan susulan maklumat serta aduan orang awam dan agensi berkaitan.


Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.


Jabatan Imigresen Malaysia mengesan beberapa selempang yang tertera kadar bayaran sehingga RM3,000 dipercayai berkait dengan tawaran khidmat wanita. - Foto Astro AWANI.

Khamis, 22 Oktober 2026

Op Noda: 76 wanita warga asing ditahan di pusat hiburan tanpa lesen di Kuala Lumpur

Op Noda: 76 wanita warga asing ditahan di pusat hiburan tanpa lesen di Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR - Seramai 77 individu, termasuk 76 wanita warga asing, ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Perdana Barat 8, di sini, pada 21 Oktober lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Fadil bin Haji Marsus, berkata tangkapan turut membabitkan seorang lelaki warga tempatan, dengan semua individu berusia antara 19 hingga 45 tahun.


Pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan atau kelulusan pihak berkuasa untuk beroperasi, manakala wanita warga asing yang ditahan disyaki bertugas sebagai pelayan.


Polis turut merampas resit perniagaan, dua unit pembesar suara jenama ASL, sebuah mikrofon jenama BBS dan alat pengawal DJ jenama Pioneer.


Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992 serta beberapa peruntukan Akta Imigresen 1959/63, termasuk berkaitan kesalahan imigresen dan penggajian pekerja asing tanpa pas yang sah.


Kesemua individu dibawa untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.


Polis Kuala Lumpur menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang.


Rabu, 21 Oktober 2026

Dua pelanggan positif dadah ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Miri

Dua pelanggan positif dadah ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Miri


MIRI - Dua pelanggan sebuah pusat hiburan di Pekan Sepupok, Subis, ditahan selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing menerusi operasi yang dijalankan polis, baru-baru ini.


Operasi serbuan dan pemeriksaan itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di premis hiburan.


Dalam operasi berkenaan, seramai 10 individu terdiri daripada lelaki dan wanita diperiksa. Hasil saringan awal mendapati dua pelanggan positif dadah sebelum mereka ditahan untuk membantu siasatan.


Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menggunakan dadah.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama serta maklumat yang disalurkan sehingga membantu menjayakan operasi tersebut.


PDRM turut menegaskan komitmen untuk mempergiat pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa, khususnya di pusat hiburan yang berpotensi menjadi lokasi penyalahgunaan dadah.


Usaha berterusan itu bertujuan membanteras kegiatan dadah serta memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.


Isnin, 19 Oktober 2026

'Saya tahu SPM minggu depan…' Remaja tetap melepak hingga awal pagi

'Saya tahu SPM minggu depan…' Remaja tetap melepak hingga awal pagi


KUALA LUMPUR - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berlangsung minggu depan tidak menghalang segelintir remaja berusia 17 tahun daripada melepak bersama rakan hingga awal pagi.


Lebih membimbangkan, ada yang menunggang motosikal tanpa lesen sah, sekali gus mendedahkan diri dan pengguna jalan raya lain kepada risiko kemalangan.


Menerusi operasi samseng jalanan di Jalan Ampang, awal pagi Ahad, mendapati sebahagian remaja bawah umur masih berkeliaran walaupun peperiksaan penting itu semakin hampir.


Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari Pantai Dalam berkata, dia keluar kira-kira pukul 2 pagi untuk mencari makanan bersama rakan di Kampung Baru.


"Saya tahu SPM bulan ini, tapi hari ini saja keluar nak pergi makan dengan kawan-kawan. Lagipun, keluarga tahu saya keluar," katanya.


Pelajar itu turut mengakui menunggang motosikal milik rakannya walaupun tidak mempunyai lesen memandu.


Seorang lagi remaja perempuan berkata, dia sudah beberapa kali keluar rumah hingga lewat malam selepas memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya.


"Saya tahu SPM minggu depan. Mula-mula saya tak nak pergi, tetapi kawan pujuk untuk keluar juga," katanya.


Dalam operasi bermula kira-kira pukul 3 pagi itu, seramai 800 penunggang motosikal diperiksa, manakala 300 saman dikeluarkan dan 60 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kesalahan paling banyak dikesan ialah menunggang tanpa lesen sah, melibatkan individu berusia antara 16 hingga 30 tahun.


"Daripada pemerhatian kita, mereka bukannya tidak tahu, tetapi mengambil mudah perkara yang boleh mengancam nyawa sendiri serta membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.


Beliau menasihatkan ibu bapa supaya meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan anak-anak, khususnya pada waktu malam.


Remaja turut diingatkan agar tidak mengabaikan keselamatan diri dan persediaan akademik ketika SPM semakin hampir.

Sabtu, 17 Oktober 2026

Pusat hiburan diserbu, 190 warga asing ditahan, serbuk putih disyaki dadah ditemui

Pusat hiburan diserbu, 190 warga asing ditahan, serbuk putih disyaki dadah ditemui


KUALA LUMPUR - Seramai 190 warga asing dan dua lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara, awal pagi tadi.


Serbuan itu turut menemukan serbuk putih yang disyaki dadah di beberapa pinggan serta kondom di dalam bilik hiburan premis berkenaan.


Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Datuk Basri Othman berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada 99 lelaki dan 91 wanita berusia antara 20 hingga 41 tahun.


Menurutnya, 188 daripada mereka ialah warga Indonesia, manakala dua lagi masing-masing warga Bangladesh dan India. Dua lelaki tempatan yang dipercayai majikan serta penjaga premis turut ditahan.


Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, antara 50 hingga 60 individu berada di setiap bilik yang disediakan untuk berhibur.


Pemeriksaan mendapati antara kesalahan imigresen yang dikesan ialah tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.


Basri berkata, penemuan bahan disyaki dadah dan kondom turut mendorong siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan aktiviti lain di premis berkenaan.


Semua individu yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.


Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan JIM di sebuah pusat hiburan di ibu negara, awal pagi tadi. - Foto Buletin TV3.