Hasrat seorang penjawat awam menikmati khidmat urutan tidak kesampaian selepas wanita warga asing yang menawarkan perkhidmatan itu ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Bukit Bintang malam tadi.
Lelaki berusia 40-an itu berkata, dia berada di ibu kota untuk bermain golf sebelum menginap di salah sebuah hotel berhampiran kawasan tersebut.
"Ketika kejadian, saya keluar untuk membeli makanan sebelum terserempak dengan beberapa wanita iaitu tukang urut di premis berkenaan.
"Mereka tarik-tarik dan pujuk saya untuk urut badan. Mula-mula saya tak mahu, tapi mereka tarik-tarik. Kebetulan badan saya memang sakit selepas main golf," katanya.
Lelaki itu berkata, dia bersetuju untuk mendapatkan khidmat tersebut lalu membuat pembayaran sebanyak RM60 kepada seorang wanita warga Indonesia.
"Saya kemudian masuk ke tempat urut, tapi belum sempat diurut, jadi macam ini (serbuan)," katanya.
Premis tersebut merupakan salah satu daripada tiga premis yang diserbu JIM Kuala Lumpur pada jam 11 malam hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu.
Ketika serbuan itu, beberapa warga asing lari bertempiaran bagi mengelakkan diri daripada ditangkap.
Tinjauan di dalam premis urut terbabit juga mendapati majoriti pekerja adalah terdiri daripada warga Indonesia yang tidak mempunyai pasport serta permit kerja yang sah.
Salah seorang pekerja yang ditahan berasal dari Medan, Indonesia dikenali sebagai Lina, 35, berkata, dia datang ke Malaysia pada Julai tahun lalu dan mula bekerja sebagai tukang urut di premis tersebut.
Katanya, premis itu beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam dengan menawarkan khidmat urut serendah RM60 bagi durasi selama 40 minit.
"Gaji saya 50 peratus daripada bayaran pelanggan. Malam ini saya baru dapat dua (pelanggan). Malam-malam lain biasanya paling ramai lima orang.
"Kebanyakan pelanggan orang tempatan. Saya memang masuk kerja untuk urut. Pasport dan permit kerja ada sama bos," dakwanya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 30 individu ditahan dalam operasi di sekitar Bukit Bintang melibatkan beberapa premis urut yang diperiksa.
"Tangkapan membabitkan 11 warga Indonesia, 16 warga Kemboja, dua warga Thailand dan seorang warga China," katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur dan Depot Imigresen Bukit Jalil.
"Kesemua tahanan disiasat mengikut Peraturan 39(b) ( rumah urut), Seksyen 15 (1)(c) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002," katanya.


EmoticonEmoticon