Lelaki yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan membunuh seorang doktor disahkan mempunyai satu rekod jenayah lampau dan didapati positif ganja.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, selain suspek berusia 31 tahun itu, isterinya yang berusia 23 tahun turut disahkan positif ganja.
"Polis menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 3.43 pagi, 29 Disember lalu.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sehari lebih awal, kira-kira jam 11.30 malam, ketika mangsa bersama isterinya sedang memandu menuju ke arah Penang Sentral," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ketika tiba di Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Perai, kenderaan mangsa yang dipandu isterinya mengalami masalah di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) apabila palang tol gagal dibuka.
"Mangsa kemudian turun dari kenderaan untuk meminta pemandu sebuah kenderaan jenis Proton X50 yang berada di belakang supaya mengundurkan kenderaan bagi memberi ruang kepada mereka.
"Namun, suspek dipercayai bertindak menengking mangsa sebelum memecut kenderaannya lalu merempuh mangsa serta bahagian belakang kenderaan tersebut. Suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian," ujarnya.
Helmi menambah, akibat rempuhan itu, mangsa mengalami luka dan calar pada ibu jari kaki kanan serta sakit di beberapa bahagian badan.
"Mangsa telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bukit Mertajam.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah telah menahan pasangan suami isteri tersebut pada Isnin bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton X50 yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
"Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hukuman boleh meningkat kepada penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan," jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang peniaga telah direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang doktor yang cedera selepas dilanggar sebuah kereta di lorong RFID di Plaza Tol BORR, Perai.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret bersama isterinya pada pagi Selasa bagi permohonan perintah reman.
Pasangan itu hadir ke mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna ungu sambil diiringi anggota polis.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Savinder Singh, bermula Selasa hingga 3 Januari ini.


EmoticonEmoticon