Mendakwa bakal berkahwin beberapa minggu lagi, namun alasan itu tidak dapat menyelamatkan seorang lelaki dan wanita berusia 20-an daripada ditahan atas kesalahan berkhalwat.
Malah, ketika serbuan dibuat, lelaki bujang itu ditemukan bersembunyi di atas siling rumah dipercayai untuk menyelamatkan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bertindak menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah taman perumahan dekat daerah ini pada jam 2.30 pagi tadi.
"Seorang wanita berbaju 'kelawar' membuka pintu rumah dan terdapat seorang nenek tidur di atas katil dekat ruang tamu.
"Wanita itu mendakwa hanya dia dan neneknya sahaja di dalam rumah tanpa orang lain, namun pemeriksaan menemukan telefon dan dompet milik lelaki menyebabkan penguat kuasa mengesyaki ada orang lain di rumah berkenaan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Menurut JAINJ, penguat kuasa membuat keputusan memanjat siling rumah untuk pemeriksaan sebelum menemukan seorang lelaki mencangkung dan berpaut di kayu galang siling.
"Penguat kuasa mengarahkan lelaki itu turun dan hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri.
"Kedua-dua mereka masih bujang dengan lelaki itu bekerja di daerah ini, manakala wanita berniaga atas talian dan sambilan dari rumah," katanya.
JAINJ berkata, hasil siasatan, pasangan ini akan bernikah beberapa minggu lagi dan urusan di pejabat kadi sudah selesai.
Bagaimanapun, katanya, pasangan ini ditangkap khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

EmoticonEmoticon