Ahad, 7 Jun 2026

Tiada etnik Rohingya kerja punggah ikan di kompleks LKIM Pulau Kambing


Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS) menafikan pembabitan warga Rohingya memunggah ikan di dalam kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing, Kuala Terengganu.


Pengerusi PNKKTS, Mohd Razif Embong berkata, pihaknya tidak membenarkan warga asing memasuki kawasan kompleks untuk menjalankan aktiviti pemunggahan hasil laut.


Katanya, PNKKTS dengan kerjasama pengurusan LKIM turut melarang kemasukan warga asing membeli belah hasil laut di Pasar Nelayan di dalam kompleks LKIM Pulau Kambing.


"Saya menafikan sekerasnya pembabitan warga asing terutama etnik Rohingya di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing seperti diviralkan melalui laman sosial.


"Kita sudah melakukan siasatan dan mendapati gambar sekumpulan etnik Rohingya yang didakwa siap menangkap ikan untuk disimpan stok untuk mereka bukan berlaku di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing," katanya.


Beliau mengulas isu tular sekumpulan warga asing didakwa sedang menangkap ikan untuk simpanan stok bagi kegunaan mereka berhampiran tiga lori di kompleks LKIM Pulau Kambing.


Mengulas lanjut, Mohd Razif menegaskan gambar yang dimuatnaik itu bukan di kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing, sebaliknya di lokasi lain.


"Kita menegaskan semua warga asing termasuk etnik Rohingya tidak dibenarkan memasuki kawasan kompleks LKIM.


"Kita akan memberi kerjasama termasuk melaporkan kepada agensi penguat kuasa terutama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri jika terdapat warga asing memasuki kawasan kompleks," katanya.


EmoticonEmoticon