Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) kekal pendirian untuk bertanding solo meskipun berdepan risiko kehilangan deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata meskipun BERSAMA baru berusia tiga minggu, namun parti itu menetapkan pendirian bagi menawarkan pilihan alternatif kepada pengundi.
Justeru, beliau menegaskan BERSAMA tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti politik lain dan kekal dengan keputusan untuk bertanding secara solo.
"Parti yang dah lama pun ada bertanding dan hilang deposit, apatah lagi parti BERSAMA yang baharu ini.
"Jika tidak hilang deposit, maknanya benih yang kita tanam sudah mula tumbuh. Kalau hilang deposit pula, kita perlu bekerja lebih keras dan menilai semula kelemahan yang ada," katanya pada sidang media siri pertama Jelajah Kancil di Johor bertempat di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru malam tadi.
Rafizi berkata, sasaran jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN Johor dijangka diumumkan dalam tempoh seminggu lagi selepas parti itu meneliti sambutan akar umbi serta tahap kesiapsiagaan jentera di setiap kawasan.
"Kami sudah ada angka awal dan sudah mengenal pasti kerusi yang berpotensi ditandingi, tetapi perlu semak semula berdasarkan sambutan di bawah dan kesediaan jentera. Sama ada 10, 12 atau 20 kerusi, tunggu pengumuman rasmi nanti," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, pihaknya akan membuka sistem permohonan bagi mereka yang ingin menjadi calon parti itu bagi PRN Johor pada Isnin ini.
Katanya, parti itu tidak akan mengambil calon 'tangkap muat' sebaliknya setiap permohonan akan ditapis satu jawatankuasa khas.
"Calon kami akan terdiri daripada golongan tua dan muda bagi memenuhi aspirasi setiap golongan pengundi.
"Kita juga akan memberi tumpuan bagi calon daripada golongan muda seperti ahli-ahli ekonomi dan profesional kerana mereka inilah yang akan menerajui negara pada masa hadapan," katanya.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu turut memaklumkan parti itu sudah menerima hampir 24,000 ahli baharu setakat ini.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar PKR.
Rafizi dan Nik Nazmi kemudian mengumumkan mengambil alih BERSAMA, iaitu sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.
DUN Johor ke-15 dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan PRN.

EmoticonEmoticon