Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Selasa, 27 Oktober 2026

Kerajaan kaji semula keperluan UNHCR di Malaysia - Tok Mat

Kerajaan kaji semula keperluan UNHCR di Malaysia - Tok Mat


Kerajaan sedang mengkaji semula keperluan kehadiran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini susulan kegagalannya memainkan peranan dalam menempatkan semula pelarian ke negara ketiga.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UNHCR dilihat tidak lagi memainkan peranan seperti yang pernah dilaksanakan ketika menangani isu pelarian Vietnam antara tahun 1978 hingga 1990.


Katanya, keadaan itu membimbangkan apabila jumlah pelarian yang berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga hanya sekitar 5,000 orang dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.


"Majoriti pelarian Rohingya adalah pemegang kad UNHCR, kita minta UNHCR menghantar mereka ke negara ketiga, tetapi UNHCR gagal. Oleh sebab itu, kita mengkaji semula kehadiran UNHCR di negara ini.


"Sepatutnya UNHCR memainkan peranan mereka seperti yang mereka buat semasa pelarian Vietnam pada tahun 1970-an dahulu, tetapi sekarang tidak ada.


"Kadar kejayaan mereka hanya 5,000 lebih selama dua tiga tahun ini, itupun bukan pelarian Rohingya tetapi etnik lain daripada Myanmar," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, semalam.


Mohamad berkata, keadaan semakin mencabar apabila beberapa negara termasuk Australia, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menerima pelarian, kini mengetatkan dasar kemasukan golongan berkenaan, termasuk melaksanakan dasar antimigran.


Sehubungan itu, katanya, negara perlu mengadakan rundingan dan libat urus dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan, sekali gus mengelakkan Malaysia terus menanggung beban berkenaan.


"Ini masalahnya, kita akan terbeban. Kita perlu adakan libat urus bersama dengan kerajaan Myanmar. Kalau tidak, mahu buat apa... mereka lagi suka kalau kita tidak bertemu mereka.


"Mereka lagi suka jika dunia memulaukan mereka, asalkan negara-negara sahabat bersama-sama dan memberikan perlindungan. Ini yang sedang berlaku," katanya.

Rabu, 14 Oktober 2026

Najib akan habiskan baki hukuman penjara bersama keluarga di Langgak Duta - Peguam

Najib akan habiskan baki hukuman penjara bersama keluarga di Langgak Duta - Peguam


Pihak pembelaan mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.


Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya sudah menerima perintah berkenaan termasuk lampiran yang mengandungi syarat dan mekanisme pelaksanaannya.


"Datuk Seri Najib memang sudah diberikan perintah Yang di-Pertuan Agong dan perintah itu juga mempunyai lampiran berkenaan syarat serta terma pelaksanaan perintah itu, termasuk mekanismenya," katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, hari ini.


Bagaimanapun Najib tidak boleh mendedahkan kandungan perintah itu kerana beliau sudah dimaklumkan oleh pihak penjara bahawa perkara itu tidak boleh didedahkan.


"Ini kerana jika kandungannya didedahkan, orang ramai dan media akan mula membuat pelbagai spekulasi dan membincangkan perkara itu," katanya.


Ketika ditanya mengenai lokasi tahanan rumah berkenaan, Shafee mengesahkan ia adalah di kediaman Najib di Langgak Duta.


Terdahulu Najib gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sementara menunggu rayuannya.


Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas menolak permohonan Najib selain meneliti dan mendengar hujah secara lisan daripada kedua-dua pihak hari ini.

Anwar tidak lupa jasa pemandu teksi ketika detik sukar

Anwar tidak lupa jasa pemandu teksi ketika detik sukar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah melupakan jasa pemandu teksi yang disifatkannya antara penyokong paling tegar ketika beliau melalui detik sukar pada tahun 1998.


Perdana Menteri berkata, sokongan golongan itu ketika era Reformasi menjadi antara sebab beliau mahu memastikan kebajikan pemandu teksi terus diberikan perhatian selepas menerajui kerajaan.


"Masa saya susah, kena terajang, kena pukul, masuk lokap, orang ini yang bantu saya! Takkan bila dah jadi Perdana Menteri, orang (pemandu teksi) minta RM1,000 saya nak kata tak boleh?" katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan Kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Pemandu Bas Sekolah, di Putrajaya hari ini. Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, pemandu teksi berhak mendapat sokongan dan penghargaan kerana majoriti golongan itu bekerja keras mencari rezeki yang halal, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk persaingan dengan perkhidmatan e-panggilan.



Mengimbau pengalaman ketika berdepan kesukaran pada 1998, beliau berkata, pemandu teksi bukan sahaja membantu penyokongnya, malah turut menghulurkan sumbangan tanpa mengharapkan sebarang balasan.


Katanya, ketika beliau ditahan dan sebahagian penyokongnya dipenjarakan atau dipukul, perhimpunan diadakan setiap malam di kediamannya, manakala penjaja kecil di sekitar Kerinchi membantu menyediakan makanan untuk mereka yang bekerja dan keluarga.


"Siapa bawa? Teksi tolong hantar. Siapa bayar? Tak bayar. Teksi tolong hantar kuih ke rumah bagi orang-orang yang kerja dan keluarga makan," katanya.


Anwar turut berkongsi kisah seorang lelaki dari Nilai, Negeri Sembilan, yang pernah dibantunya membaiki rumah yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dengan kos kira-kira RM2,000 hingga RM3,000.


Beliau berkata, lelaki yang menjalankan perniagaan telur masin itu kemudian berhasrat menghantar telur masin ke rumahnya di Bukit Damansara sebagai tanda penghargaan atas bantuan yang pernah diterima.


Anwar berkata, pengalaman berkenaan antara kisah yang membuatkan beliau terus mengingati jasa pemandu teksi, khususnya ketika melalui tempoh sukar dalam perjuangan politiknya.


Beliau berkata, sumbangan golongan itu wajar dihargai kerana mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk keluarga, malah turut menunjukkan keprihatinan terhadap orang lain tanpa mengharapkan balasan.


Katanya, kerajaan perlu melihat kesusahan rakyat secara menyeluruh dan mencari jalan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan, termasuk pemandu teksi.


"Kerajaan tidak mampu menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata, namun pelbagai langkah boleh dilaksanakan bagi membantu golongan berkenaan.


"Jadi sebab itu, kita tengok semua aspek yang mampu kita lakukan. Orang tanya saya, sebab apa tak buat projek mega lagi? Saya kata, bila kita ambil alih, kita nak fikir wang untuk sekolah cukup ke tidak," katanya.


Anwar turut menegaskan bahawa sumbangan golongan bawahan tidak seharusnya dipandang ringan, sebaliknya perlu dihargai sebagaimana penghargaan diberikan kepada golongan profesional.


Katanya, semua golongan masyarakat memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.


"Ini komitmen Kerajaan MADANI," katanya.

Selasa, 13 Oktober 2026

Warga Myanmar ada rekod jenayah wajib jalani proses undang-undang sebelum dihantar pulang

Warga Myanmar ada rekod jenayah wajib jalani proses undang-undang sebelum dihantar pulang


Warga Myanmar yang mempunyai rekod jenayah di Malaysia perlu menjalani proses undang-undang negara ini terlebih dahulu sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara ketetapan dipersetujui kerajaan Myanmar dalam pertemuan dua hala baru-baru ini bagi memperjelaskan mekanisme penghantaran pulang rakyat negara berkenaan.


Beliau berkata, kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia selepas proses pemeriksaan dan pengesahan identiti dilakukan pihak berkuasa negara ini.


"Kerajaan Myanmar bersetuju menerima kembali rakyat mereka yang berada di tempat kita selepas melakukan proses yang ditetapkan melainkan ada garis merah iaitu mereka ada rekod jenayah.


"Kalau rekod kita dapati dia ada terbabit pelanggaran undang-undang, kita akan uruskan secara undang-undang terlebih dahulu, tidak segera menghantar pulang," katanya.


Beliau berkata demikian selepas Program Townhall MADANI bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Sungai Petani, hari ini.


Saifuddin berkata, dalam pertemuan itu, Presiden Myanmar Min Aung Hlaing turut memberikan jaminan keselamatan terhadap rakyat negara berkenaan termasuk etnik Rohingya yang dihantar pulang.


"Kementerian Dalam Negeri turut menyertai pertemuan baru-baru ini dan jaminan keselamatan itu diberikan sendiri oleh Presiden Myanmar.


"Jadi, kita ambil setakat itu dulu bahawa jaminan diberikan adalah jaminan keselamatan," katanya.


Beliau berkata, kerajaan Myanmar turut bersetuju supaya proses pemeriksaan dan pengesahan identiti dilakukan Malaysia sebelum senarai nama individu terbabit diserahkan kepada kerajaan negara itu untuk tindakan penghantaran pulang.


"Persetujuan itu menjadi panduan bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan mengikut prosedur yang dipersetujui kedua-dua negara.


"Malaysia sebelum ini mengenal pasti 5,000 warga Myanmar untuk dihantar pulang hasil rundingan Perdana Menteri, Menteri Luar dan Kementerian Dalam Negeri dengan pihak Myanmar sepanjang tahun lalu.


"Daripada jumlah 5,000 yang dikenal pasti itu, kita sudah memproses dan menghantar pulang 1,400 orang menggunakan kapal laut milik tentera laut Myanmar.


"Baki 3,600 lagi akan menyusul selepas ini secara berperingkat," katanya.


Pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Myanmar bersedia menerima penghantaran pulang antara 3,000 hingga 4,000 lagi rakyatnya yang kini berada di depot tahanan imigresen.


Perkara itu dimaklumkan Min Aung Hlaing dalam pertemuan dua hala bersama Anwar di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Selasa, 29 September 2026

Peletakan jawatan berkuat kuasa sebaik Najib jalani tahanan rumah, kata Loke

Peletakan jawatan berkuat kuasa sebaik Najib jalani tahanan rumah, kata Loke


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.


Beliau berkata, Anwar memintanya untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat masa ini, namun peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.


"Peletakan jawatan ini adalah keputusan parti berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak bersetuju," katanya selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026, hari ini.


Anthony berkata, surat berkenaan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri ketika kedua-duanya mengadakan perbincangan mengenai keputusannya untuk berundur daripada Jemaah Menteri.


Buat masa ini, beliau masih menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan dan belum ada pengganti dilantik bagi jawatan berkenaan. Anthony turut menegaskan keputusannya untuk berundur kekal selaras dengan pendirian DAP.


Pada 19 September lalu, Anthony menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.


Beliau berkata menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Jumaat, 18 September 2026

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.


Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.


Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.


Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Najib turut diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani tahanan di rumah.


"Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara," menurut kenyataan itu.


Keputusan itu menyusul selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.


Dalam mesyuarat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya.


Sebelum ini, Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Khamis, 17 September 2026

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak


Pempengaruh, Papagomo kekal diperintah membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya, Clint Lim Way Chau dalam kes saman fitnah berkaitan dakwaan membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa pengisytiharan pada 2020.


Hakim, Roslan Mat Nor menolak permohonan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada dua beranak itu selaku plaintif.


Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Simon Murali yang mewakili Guan Eng, 66, dan Clint, 33, berkata keputusan itu dibuat selepas hakim mempertimbangkan asas dalam afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak.


"Mahkamah mendapati bahawa defendan tidak dapat menunjukkan keadaan istimewa bagi mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan menangguhkan pelaksanaan perintah yang sudah diberikan pada 19 Mei lalu.


"Berikutan itu, hakim memberitahu permohonan pihak defendan ditolak dengan kos RM5,000,” katanya.


Simon berkata, mahkamah turut mendapati alasan bahawa Wan Muhammad Azri mungkin berdepan tindakan pelaksanaan, termasuk prosiding kebankrapan sekiranya penangguhan tidak diberikan, bukan asas yang mencukupi.


Katanya, defendan turut berhujah bahawa plaintif tidak berupaya mengembalikan ganti rugi sekiranya pempengaruh itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.


"Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tiada sebarang keterangan dalam afidavit yang menunjukkan fakta-fakta tersebut bagi membantu mahkamah untuk mempertimbangkannya," kata peguam.


Dalam prosiding itu, kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir di mahkamah, sebaliknya diwakili peguam masing-masing. Wan Muhammad Azri diwakili peguam, Fazilah Jaafar.


Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM200,000 kepada Guan Eng, manakala Clint menerima RM80,000 selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan plaintif.


Saman berkenaan difailkan pada 19 April 2020, susulan dakwaan Wan Muhammad Azri menerusi Facebook menggunakan nama 'Papa Azri' bahawa Clint ditahan di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 29 Februari 2020 kerana membawa wang tunai berjumlah RM2 juta.


Guan Eng turut mendakwa hantaran itu memberi gambaran bahawa beliau pergi ke Singapura pada tarikh berkenaan selepas anaknya ditahan di lapangan terbang tersebut.


Kes itu asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 April 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mac 2021.


Pesuruhjaya Kehakiman, mendiang Eddie Yeo Soon Chye yang mendengar perbicaraan kes berkenaan pada 2024 meninggal dunia pada Februari tahun lalu.


Kes itu kemudiannya dikendalikan Roslan, dengan kedua-dua pihak bersetuju hakim baharu membuat keputusan berdasarkan nota prosiding sedia ada.