Khamis, 19 Februari 2026

Mahkamah kurangkan bayaran saman Ustaz Abu Syafiq terhadap KJ kepada RM830,000


Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti ganti rugi RM2.5 juta yang diterima bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kepada RM830,000 dalam kes samannya terhadap pendakwah bebas, Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq.


Mahkamah membuat keputusan itu dengan mengambil maklum terdapat tempoh di mana mahkamah memberikan ganti rugi berjumlah jutaan ringgit dalam kes fitnah, dan menyatakan era itu sudah berakhir, serta ia tidak berhasrat melihatnya kembali.


Khairy, 50, memenangi kes saman itu pada 18 April tahun lalu, susulan dakwaan bahawa Mohd Rasyiq, 46, memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan berhubung vaksin COVID-19 yang dimuat naik di media sosial, empat tahun lalu.


Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang membenarkan rayuan Mohd Rasyiq, mengurangkan jumlah ganti rugi am daripada RM2 juta kepada RM500,000.


Panel bagaimanapun mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 yang diberikan Mahkamah Tinggi dan ganti rugi teladan daripada RM250,000 kepada RM80,000.


Mohamed Zaini bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahril Mohd Salleh


Mohamed Zaini yang membacakan penghakiman panel itu, berkata ganti rugi dalam kes fitnah adalah bertujuan sebagai pampasan dan bukan untuk memberikan keuntungan luar biasa.


Beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan fitnah itu adalah serius dan dakwaan berkenaan membayangkan ketidakjujuran, penipuan dan pemalsuan rekod vaksinasi terhadap responden (Khairy), yang pada masa berkaitan adalah Menteri Kesihatan.


Menurut Mohamed Zaini, panel juga mengiktiraf bahawa terdapat lapan penerbitan yang berasingan dan setiap satunya boleh diambil tindakan secara tersendiri.


Katanya, mereka berpendapat bahawa responden berhak menerima ganti rugi bagi setiap penerbitan, bagaimanapun dalam menilai kuantum, beberapa faktor perlu diselaraskan dengan teliti.


"Bagaimanapun, ganti rugi am dalam kes fitnah bertujuan memberi pampasan, bukan untuk memperkayakan. Walaupun tiada jumlah tetap bagi ganti rugi dalam kes fitnah, jumlah itu mestilah berkadar dan selaras dengan trend kehakiman semasa.


"Jumlah keseluruhan RM2.5 juta bagi ganti rugi am adalah tidak selaras dengan trend kehakiman semasa. Oleh itu, kami mengurangkan ganti rugi am kepada RM500,000," katanya.


Bagi ganti teruk dan teladan pula, Mohamed Zaini berkata fitnah oleh perayu bukan sahaja merosakkan reputasi Khairy, malah berpotensi memberi kesan kepada orang awam kerana kenyataan berkenaan mungkin menghalang sesetengah pihak daripada menerima vaksin.


Beliau berkata, tambahan pula, ganti rugi boleh meningkat apabila pembelaan justifikasi gagal, seperti yang berlaku dalam kes itu dan mendapati perayu tidak menunjukkan penyesalan yang sebenar kerana permohonan maaf yang dikemukakan seolah-olah bersifat sinis.


Katanya, atas dasar itu, panel bersetuju dan mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 yang diberikan Mahkamah Tinggi.


"Ganti rugi teladan bersifat menghukum dan sudah diputuskan bahawa ganti rugi sedemikian hanya wajar diberikan dalam keadaan yang jarang dan luar biasa.


"Ia hanya dibenarkan apabila bukti menunjukkan bahawa perlakuan salah defendan dirancang untuk memperoleh keuntungan material, contohnya apabila fitnah dilakukan dengan niat untuk mendapatkan faedah kewangan, kelebihan ekonomi atau keuntungan.


"Kami mengambil maklum secara kehakiman bahawa landskap fitnah telah berubah secara mendasar dengan kemunculan platform media sosial seperti Instagram dan Facebook, yang bukan lagi sekadar ruang untuk ekspresi santai, tetapi alat yang berkuasa untuk penyebaran segera dan meluas," katanya.


Hakim itu berkata, perayu yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pendakwah agama, tertakluk kepada standard penjagaan dan tanggungjawab yang lebih tinggi apabila membuat kenyataan awam.


Beliau berkata, masyarakat memberikan tahap kepercayaan, penghormatan dan pengiktirafan moral yang tinggi kepada individu yang mempunyai latar belakang keagamaan.


Katanya. ahli masyarakat, khususnya dalam kalangan pengikut perayu, secara semula jadi dan munasabah cenderung menerima kenyataan seorang pendakwah sebagai benar dan berasaskan moral.


"Disebabkan tahap kepercayaan yang tinggi ini, perayu mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, bukannya lebih rendah, untuk mengesahkan ketepatan kenyataannya sebelum menyebarkannya kepada orang lain.


"Oleh itu, kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa ganti rugi teladan wajar diberikan. Walau bagaimanapun, kami mengurangkan jumlah yang dianugerahkan kepada RM80,000," katanya.


Pada 25 Januari 2022, Khairy menyaman Mohd Rasyiq atas dakwaan memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram 'Ustaz Abu Syafiq' pada 20 Oktober 2021 serta pada 6 dan 10 Januari 2022.


Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.


Hakim Mahkamah Tinggi Raja Ahmad Mohzanuddin dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kenyataan yang disangkal itu, dalam maksud semula jadi dan biasa, mengaitkan kelakuan tidak bermaruah atau memburukkan nama serta kekurangan integriti kepada plaintif.


This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon