Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai terbesar dalam sejarah Sabah susulan rampasan lebih tiga tan dadah bernilai RM240 juta.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata rampasan itu dibuat menerusi dua operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah dan agensi penguatkuasaan lain dalam Op Coleoptera dan Op Bayu 2.
Katanya, ia membabitkan beberapa serbuan di sekitar ibu kota bandar raya Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar, serta operasi di Selangor, hasil risikan dijalankan.
Dalam Op Coleoptera, katanya PDRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Lembaga Pelabuhan Malaysia menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini.
"Operasi bersepadu ini membawa kepada rampasan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu dan Pelabuhan Klang, Selangor serta penahanan lapan suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun.
"Sindiket ini dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah merentasi Laut China Selatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas menerusi operasi itu membabitkan kuantiti yang amat besar dan membimbangkan, merangkumi 3,043.5 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, 102.5 kg ketamin, 90 kg pil ekstasi, empat kilogram cecair vape disyaki mengandungi kokain serta 2.6 kg pil Erimin 5.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah ini dianggarkan berjumlah ratusan jutaan ringgit dan sekiranya berjaya menembusi pasaran, ia berupaya memusnahkan kehidupan kira-kira 16 juta individu.
"Ia sekali gus mengancam keselamatan negara, meruntuhkan kesejahteraan sosial serta mencetuskan kesan jangka panjang yang serius terhadap generasi masa kini dan akan datang.
"Rampasan ini jelas membuktikan jenayah dadah adalah ancaman besar terhadap kestabilan dan masa depan negara, dan PDRM tidak akan berkompromi dalam memastikan rangkaian sindiket berbahaya seperti ini ditumpaskan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, Op Coleoptera bermula menerusi serbuan pertama pada 20 Januari lalu di sebuah rumah di Penampang yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan.
"Ia disusuli enam lagi serbuan di pelbagai lokasi sekitar Penampang dan Inanam, termasuk Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang, Selangor.
"Sindiket ini dipercayai menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan dan menjadikan kontena di premis logistik sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa dan dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu," katanya.
Mohd Khalid berkata, setakat ini, empat suspek sudah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala dua suspek lain telah diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan.
"Tindakan sitaan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan harta bernilai RM1 juta, merangkumi beberapa jenis kenderaan yang digunakan sindiket itu," katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata menerusi Op Bayu 2, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar yang dijalankan di Penampang.
Katanya, operasi dilaksanakan berpandukan maklumat risikan dan sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPK Sabah menjalankan pemantauan di sebuah tempat letak kenderaan di Penampang pada 5 Februari lalu.
"Hasil pemerhatian membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tanpa nombor pendaftaran dan kedua-dua suspek ditahan.
"Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan tiga kotak yang mengandungi 60 bungkusan dadah disyaki jenis Methamphetamine dengan anggaran berat kasar 101.7 kg dan nilai pasaran RM5.66 juta," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan kes pertama itu, membawa kepada lima siri tangkapan serta tindakan susulan di lokasi berasingan membabitkan pemeriksaan kenderaan dan serbuan ke atas beberapa premis kediaman di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
Antara rampasan adalah syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, jus ekstasi, ketamin dan Eramin 5, selain peralatan pembungkusan, mesin penimbang, wang tunai serta beberapa kenderaan dan telefon bimbit.
Katanya, jumlah dadah yang dirampas menerusi operasi itu ialah 111.3 kg syabu (RM5.66 juta), 419.62 kg serbuk Ekstasi (RM62.94 juta), 6.787 kg Pil Ekstasi (RM1.02 juta), 71.03 gram ketamin (RM14,206) dan 25.62 gram Eramin 5 (RM25,000) dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM69.65 juta.
"Op Cleoptera dan Op Bayu 2 mencerminkan komitmen PDRM dalam membanteras jenayah dadah secara menyeluruh tanpa sebarang berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah kerana mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, selain mencemarkan imej dan maruah negara.
"Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat," katanya.

EmoticonEmoticon