Khamis, 22 Januari 2026

Tiga kampung di Indonesia kini termasuk wilayah Malaysia


Tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara dilaporkan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.


Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman, dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di Kompleks Parlimen, Senayan pada Rabu.


Menurut beliau, perubahan tersebut berkait dengan penyelesaian beberapa Outstanding Boundary Problem (OBP) atau isu sempadan yang sebelum ini belum dimuktamadkan antara Indonesia dan Malaysia, khususnya melibatkan Pulau Sebatik yang terbahagi kepada dua pentadbiran negara.


Makhruzi menjelaskan, tiga OBP telah dipersetujui secara rasmi melalui pemeteraian memorandum persefahaman pada Mesyuarat Bersama Indonesia-Malaysia ke-45 yang berlangsung di Pulau Sebatik pada 18 Februari 2025.


"Perjanjian itu melibatkan titik sempadan B-2700, B-3000 serta kawasan Simantipal.


"Hasilnya, kira-kira 127 hektar di Pulau Sebatik disahkan kekal berada dalam wilayah Indonesia," katanya.


Beliau turut memaklumkan, masih terdapat empat segmen OBP di sektor barat Kalimantan Barat yang belum diselesaikan sepenuhnya, iaitu di D-400, Gunung Rayan, Sibuan dan Batu Aum.


Kesemua kawasan itu kini berada pada peringkat tinjauan lapangan secara unilateral oleh pasukan teknikal perundingan Indonesia serta proses pertukaran maklumat bagi membincangkan terma rujukan (TOR) dan prosedur operasi standard (SOP).


Dalam perkembangan berkaitan, Makhruzi mengesahkan, terdapat tiga kampung di kawasan bekas OBP Sinapat dan Kecamatan Lumbis Hulu, Kabupaten Nunukan, yang sebahagian wilayahnya kini berada di bawah pentadbiran Malaysia.


"Tiga kampung tersebut ialah Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas," jelasnya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Indonesia turut memperoleh tambahan keluasan wilayah hasil pelarasan sempadan berkenaan.


"Secara keseluruhan, Indonesia menerima tambahan kira-kira 5,207 hektar kawasan.


"Tanah ini sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia dan kini dicadangkan bagi menyokong pembangunan kawasan sempadan, termasuk sebagai kawasan gantian hutan untuk pembinaan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) serta pembangunan Zon Perdagangan Bebas," katanya.


Isu perubahan sempadan ini dijangka terus mendapat perhatian kedua-dua negara memandangkan ia melibatkan kepentingan kedaulatan, pentadbiran tempatan serta pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan sempadan.


Perubahan tersebut berkait dengan penyelesaian beberapa OBP atau isu sempadan yang sebelum ini belum dimuktamadkan antara Indonesia dan Malaysia. - Foto Agensi.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon