Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful atau Da'i Syed hari ini diperintahkan untuk dihantar ke Penjara Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara 10 tahun bersabit tuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak rayuan Da'i Syed untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos 2024, dan menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan.
Da'i Syed yang berada dalam kandang tertuduh, kelihatan sebak ketika Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan menolak rayuannya selepas mendapati sabitan dan hukuman seperti diputuskan Mahkamah Sesyen adalah selamat.
"Mahkamah menolak rayuan tertuduh dan rayuan pihak pendakwaan (bagi pemberatan hukuman). Keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati perayu bersalah dan disabitkan di bawah seksyen 376(1) Kanun Keseksaan adalah selamat dan dikekalkan.
"Hukuman penjara 10 tahun dan tiga kali sebatan rotan dikekalkan. Hukuman penjara bermula dari tarikh hari ini. Selepas mendengar hujahan, mahkamah tidak membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, kerana tiada keadaan khas yang menjustifikasikan penggantungan.
"Mahkamah mendapati kesalahan di bawah seksyen 376(1) adalah serius. Oleh kerana mahkamah ini mendapati sabitan dan hukuman adalah selamat. Mahkamah seterusnya mengarahkan hukuman bermula dari hari ini, tanpa penggantungan," katanya.
Adlin berkata, berdasarkan keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam dapatan hakim Mahkamah Sesyen bahawa pembelaan tertuduh tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau mendapati, hakim Mahkamah Sesyen mendapati pembelaan tertuduh pada dasarnya bersifat penafian, dan terdapat percanggahan dalam keterangan yang diberikan olehnya mengenai kejadian yang berlaku.
Katanya, secara amnya, dapatan hakim Mahkamah Sesyen mengenai pembelaan tertuduh adalah dapatan fakta yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen selepas meneliti keterangan, termasuk keterangan lisan oleh tertuduh sendiri.
"Mahkamah atasan tidak seharusnya mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh mahkamah bawahan, melainkan terdapat kesilapan yang jelas.
"Mengenai rayuan terhadap hukuman, secara amnya mahkamah atasan tidak akan mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh hakim perbicaraan, melainkan hukuman terlalu berlebihan atau terlalu tidak mencukupi atau tidak sah di sisi undang-undang.
"Mahkamah mendapati hukuman yang diberikan oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah munasabah. Walaupun mahkamah mendapati persetubuhan di antara tertuduh dan saksi pendakwaan pertama berlaku tanpa kerelaannya, namun tiada bukti bahawa terdapat kekasaran atau kekerasan yang berlebihan ketika kejadian," katanya.
Pada 10 Disember 2020, Da'i Syed didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan dia daripada pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan berkenaan dan tertuduh diperintahkan ke penjara pada hari sama.
Bagaimanapun, selepas 21 hari merengkuk di Penjara Kajang, dia dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sehingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.

EmoticonEmoticon