Jumaat, 23 Januari 2026

Kes Tan Sri: Bermula RM10 juta, siasatan SPRM dikejutkan penemuan penyelewengan lebih RM300 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan mula menyiasat seorang pakar pelaburan terkenal bergelar Tan Sri apabila mendapat maklumat penyelewengan berlaku sekitar RM10 juta sahaja.


Bagaimanapun, siasatan seterusnya mendapati penyelewengan itu berkemungkinan terlalu besar dan boleh mencecah sehingga ratusan juta ringgit.


Kata sumber, suspek mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak untuk membuat pelaburan itu dan ada mangsa yang membuat pelaburan yang cukup besar.


"Siasatan mendapati suspek yang juga bekas pengarah syarikat itu disyaki menyalah guna dana pelaburan berjumlah RM6 juta.


"Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat mendapati nilai dana yang diseleweng berkemungkinan mencecah ratusan juta ringgit. Ia diseleweng tanpa pengetahuan pelabur yang percaya akan mendapatkan pulangan yang lumayan," katanya hari ini.


Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, di satu acara di Kelantan mengesahkan, seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri disyaki menipu wang pelabur dipercayai mencecah jumlah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.


Beliau dipetik berkata suspek lelaki berusia 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam ditahan selepas tiba di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya, semalam.


Katanya, SPRM turut menahan seorang wanita yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kelmarin, untuk membantu siasatan kes sama.


"Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.


"Ramai pelabur dari serata negara dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit. Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu," katanya.


Individu bergelar Tan Sri itu direman selama empat hari sehingga Ahad ini, selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.


Azam juga mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


22 Jan - Seorang lelaki bergelar Tan Sri antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan berskala besar dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon