Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan tegas kepada semua hospital dan premis kerajaan supaya mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman bagi menangani masalah diabetes dan obesiti yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Menurutnya, amalan pengambilan gula berlebihan di negara ini berada antara yang tertinggi di Asia dan menjadi punca utama rakyat menghidap pelbagai penyakit.
"Kita tahu gula membawa penyakit. Minum sedikit tidak mengapa, tetapi penggunaan berlebihan memberi kesan serius kepada kesihatan rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar hospital dan klinik memaparkan poster kesedaran tentang pengurangan gula serta memastikan semua jamuan kerajaan disediakan dengan kandungan gula yang rendah.
"Arahan ini turut melibatkan semua jabatan kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri. Dengan semangat ini, kita boleh membangunkan program kesihatan dan kesejahteraan yang melibatkan seluruh masyarakat," katanya.
Katanya, fokus utama ialah dua perkara iaitu kurangkan gula dan elak makan berlebihan.
"Saya mahu poster-poster mengenai gula ini dipasang di semua hospital kita. Terangkan perkara ini dengan jelas. Di hospital, kuih atau makanan yang mengandungi gula berlebihan adalah dilarang.
"Semua jamuan kerajaan termasuk di Jabatan Perdana Menteri telah dikurangkan. Kita telah mengeluarkan arahan supaya makanan manis tidak disediakan.
"Walaupun ada yang masih mengambil gula berlebihan, secara umum arahan ini mesti dikuatkuasakan oleh setiap jabatan kerajaan," katanya.

EmoticonEmoticon