Seorang lelaki berstatus suami bukan saja disyaki berkhalwat dengan seorang janda, malah pasukan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) turut menjumpai kondom dan dua botol 'ubat kuat' dalam bilik penginapan mereka di sebuah hotel, di Batu Pahat lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam, lelaki berusia 30-an bersama pasangannya berumur 20-an mengaku sudah lama berkenalan.
Menurut JAINJ dalam satu kenyataan, hari ini, kedua-dua mereka didapati bekerja di daerah ini dengan lelaki itu mendakwa bahawa wanita berkenaan bantu membantu tugasannya.
Menurut JAINJ, sebelum tangkapan dibuat, penguat kuasanya mengetuk pintu bilik hotel itu selama kira-kira 10 minit sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya memakai tuala dan tidak berbaju.
Selepas memperkenalkan diri, katanya, penguat kuasa memasuki bilik hotel itu untuk membuat pemeriksaan.
"Penguat kuasa kemudian mendapati ada seseorang sedang bersembunyi dalam selimut di atas katil. Apabila dipanggil, seorang wanita berpakaian baju tidur bangun menunjukkan diri.
"Wajah pasangan terbabit seperti ketakutan apabila melihat kehadiran penguat kuasa, manakala keadaan katil didapati berkecamuk," katanya.
Menurut JAINJ, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sekeping kondom belum digunakan di bawah selimut dan lelaki itu mengaku membelinya di sebuah kedai runcit.
"Kondom itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes di Mahkamah Syariah kelak. Selain itu, penguat kuasa turut menjumpai dua botol 'ubat kuat' berlainan jenis di atas meja yang dikatakan dibeli melalui dalam talian.
"Hasil soal siasat mendapati lelaki itu sudah berkahwin, manakala pasangannya adalah seorang janda.
"Mereka berdua datang ke hotel dengan menaiki kereta dipandu lelaki terbabit dan mendaftar masuk kira-kira jam 10 malam.
"Ketika ditanya mengenai masa depan hubungan mereka pula, wanita itu memberitahu bahawa dia tidak mahu bernikah dengan lelaki berstatus suami orang," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pasangan itu kemudian diambil keterangan dan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.

EmoticonEmoticon