Seorang penuntut lelaki sebuah kolej di Selangor sanggup meredah perjalanan selama empat jam dengan menunggang motosikal semata-mata mahu bertemu kekasihnya sebelum dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Bukit Gambir, Tangkak, semalam.
Penuntut berusia belasan tahun itu ditahan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana berdua-duaan dengan wanita itu yang juga penuntut sebuah kolej di Pagoh, Muar pada jam 11.45 malam.
JAINJ berkata, menerusi pemeriksaan berkala, penguat kuasa menjalankan operasi sebelum mengetuk pintu bilik hotel didiami pasangan ini.
"Kira-kira lima minit kemudian, seorang lelaki memakai seluar panjang dan baju T membukanya.
"Penguat kuasa memperkenalkan diri sambil menunjukkan kad kuasa dan masuk ke dalam bilik untuk pemeriksaan. Keadaan bilik ketika itu gelap sebelum penguat kuasa membuka suis lampu.
"Penguat kuasa bertanya lelaki itu tinggal dengan siapa namun dia menjawab berseorangan, tetapi pintu dan lampu tandas tertutup. Selepas diketuk, keluar seorang wanita memakai baju T dan seluar panjang.
"Pemeriksaan menemukan pakaian dalam dan tudung wanita di atas katil manakala beg mereka di atas meja dan kerusi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, apabila disoal siasat, pasangan ini mengaku mereka tidak mempunyai sebarang ikatan dan kedua-duanya berasal dari Selangor.
"Mereka mengaku sudah berkenalan sejak di bangku sekolah namun terpaksa berjauhan kerana melanjutkan pelajaran. Mereka sebelum itu berjanji bertemu pada hari cuti untuk melepaskan rindu di hotel," katanya.
JAINJ berkata, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana berkhalwat.

EmoticonEmoticon