Selasa, 22 September 2026

Polis buka siasatan video tular lelaki kasari wanita, hambur kata-kata kesat


Polis membuka kertas siasatan berhubung satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki mengasari seorang wanita di Felda Kledang, Gugusan Adela, Kota Tinggi.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya mengesan video berkenaan selepas ia dimuat naik di Facebook pada jam 9.30 pagi, hari ini.


Menurutnya, video berdurasi 44 saat itu menunjukkan seorang lelaki bertindak menolak dan menendang seorang wanita.


"Laporan polis berhubung kejadian itu dibuat seorang wanita yang juga individu merakam kejadian berkenaan.


"Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.


Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu melengkapkan siasatan.


Dalam video berkenaan, ketika mengasari wanita terbabit, lelaki itu turut memarahinya dan menghamburkan kata-kata kesat.


Tindakannya itu dilihat cuba dihalang dan ditenangkan beberapa individu dipercayai ahli keluarganya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon