Tindakan dua lelaki memukul petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang bertugas membaca meter elektrik mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Batu 9, Cheras, Kajang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penahanan kedua-dua suspek warga tempatan berusia 28 dan 35 tahun itu dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 1.01 tengah hari.
Katanya, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pada 4.05 petang semalam berhubung kejadian di Taman Bukit Segar, Cheras pada 10.40 pagi hari sama.
"Siasatan awal mendapati ketika mangsa sedang membaca meter elektrik, pengadu yang juga rakan sekerjanya kebetulan ternampak dan memanggil nama mangsa.
"Bagaimanapun, tindakan pengadu memanggil rakannya itu didakwa menyebabkan bising, sebelum berlaku perselisihan faham dan tercetusnya pergaduhan dengan dua suspek terbabit.
"Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan serta patah gigi, sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Naazron berkata, polis turut merampas barang kes yang digunakan suspek untuk mencederakan mangsa.
"Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik. Ujian saringan air kencing mereka negatif dadah," katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

EmoticonEmoticon