Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Ahad, 3 Mei 2026

Kerajaan Madani lebih lantang, tegas perkukuh agenda bumiputera

Kerajaan Madani lebih lantang, tegas perkukuh agenda bumiputera


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan kepentingan Bumiputera, sebaliknya terus memperkukuh agenda pemerkasaan golongan itu secara lebih lantang, tegas dan berani berbanding sebelum ini.


Anwar berkata, sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, tidak ada ruang bagi fahaman elitisme yang meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sesetengah pihak.


Tegasnya, prinsip utama kerajaan adalah memastikan keadilan sosial dilaksanakan secara saksama dengan memberi peluang lebih besar kepada masyarakat yang terpinggir, tanpa menafikan hak kaum lain.


"Sebab itu dalam gagasan kita, saya nak sebut dalam Kerajaan Madani, tidak ada sama sekali pandangan mendukung elitisme semata-mata atau meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sebahagian orang.


"Malah saya nak tekankan, saksinya Datuk Seri Zahid Hamidi, tiga tahun Kerajaan Madani, program Bumiputera itu lebih lantang, lebih tegas, lebih berani daripada sebelumnya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.


Mengulas mengenai kerangka pemikiran besar kerajaan, Anwar berkata sokongan terhadap aspek kecemerlangan (merit) tidak bermakna peluang untuk Bumiputera dikurangkan.


Beliau memberi contoh keputusan kerajaan baru-baru ini yang memberikan tempat automatik di universiti kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas, tanpa mengira latar belakang.


"Tetapi dalam masa yang sama 90 peratus anak bumiputera itu diberikan kesempatan untuk program matrikulasi. Jadi jangan bila dalam perbahasan, jangan pilih satu (aspek) sahaja," katanya.


Dalam masa sama, Anwar turut menegur segelintir pihak termasuk golongan profesor dan akademik yang disifatkan tidak berlaku adil apabila hanya menonjolkan sebahagian fakta berhubung kuota pendidikan sehingga mencetuskan persepsi mengelirukan.


Beliau mengingatkan bahawa Program Matrikulasi pada asalnya diwujudkan 100 peratus untuk Bumiputera, sebelum kerajaan membuka ruang 10 peratus bagi membantu anak-anak bukan Melayu yang miskin dan terpinggir.


Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pihak agar melihat dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak mencetuskan persepsi 'zero-sum game' yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Khamis, 30 April 2026

CCTV pintar AI bantu selesaikan 50 peratus kes jenayah di KL

CCTV pintar AI bantu selesaikan 50 peratus kes jenayah di KL


Sistem kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu berskala besar dilengkapi perisian kecerdasan buatan AI membantu menyelesaikan 50 peratus kes jenayah di ibu negara sejak penggunaannya bermula tahun 2020.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kos pengoperasian terkumpul sejak pemasangan 10,000 kamera di seluruh ibu negara setakat ini mencecah RM500 juta yang dioperasikan menerusi Pusat Kawalan dan Operasi Kuala Lumpur (KLCCC).


"Mesej yang kita mahu sampaikan hari ini bahawa koordinasi mantap antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perkongsian maklumat bagi membanteras jenayah.


"Paling utama kita mahukan Kuala Lumpur yang selamat bagi kanak-kanak, kaum wanita malah semua pengunjung selamat untuk ke mana sahaja di ibu negara," katanya pada sidang media di Menara 1 DBKL, hari ini.


Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus sebagai pengguna akhir sistem CCTV lengkap keupayaan AI itu.


Fadil berkata penggunaan sistem pintar itu membantu PDRM menjejaki pergerakan penjenayah menerusi kebolehan pengencaman wajah dan kenderaan menggunakan kamera beresolusi tinggi.


"Ini sebuah inisiatif terbaik. Degan 10,000 CCTV lengkap sistem AI kita percaya bahawa ianya amat membantu kepada PDRM.


Kita akan berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjaga keselamatan Bandar Raya Kuala Lumpur secara keseluruhannya.


"Ianya membantu dari segi siasatan seperti mana kebolehan pengecaman wajah, sistem amaran tingkah laku (mencurigakan), ini semuanya akan membantu kepada siasatan pihak polis.


"PDRM kita mengharapkan bahawa sistem ini akan ditambah baik dari sudut pengendaliannya, dari sudut teknologinya hingga membolehkan kita mengawal lalu lintas menggunakan sistem yang ada," katanya.


Fadil berkata, masalah lalu lintas pada waktu puncak merupakan antara masalah utama dihadapi warga kota dan ketika ini PDRM hanya bergantung kepada polis trafik untuk mengendalikan lalu lintas secara manual.


Katanya, beliau berharap sistem CCTV bersepadu itu mampu mengesan kesesakan seterusnya menguruskan lalu lintas secara automatik sebagai contoh menggunakan teknologi AI untuk mengawal lampu isyarat berdasarkan jumlah kenderaan masa kini.


Sementara itu Fadlun berkata, DBKL dan Polis Kuala Lumpur akan terus bekerja sama dengan lebih efisien bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan pantas kepada warga kota serta pengunjungnya.


"DBKL memperkukuhkan penyelarasan dengan pihak PDRM demi keselamatan bandar. Pelaksanaan sistem CCTV bersepadu berskala besar yang menghubungkan keupayaan pemantauan, penguatkuasaan dan pengurusan bandar.


"10,000 kamera dipasang dan diintegrasikan di lokasi strategik termasuk jalan utama, persimpangan, kawasan awam dan pusat komersial.


"Sistem ini bukan sekadar merakam sebaliknya ia mengesan, menganalisis dan mencetuskan tindakan secara masa nyata, membolehkan respons antara agensi dibuat dengan lebih pantas dan selaras," katanya.


Beliau berkata maklumat antara agensi sering terputus sebelum ini mengakibatkan masa tindak balas yang perlahan serta koordinasi atur gerak yang kurang efisien justeru jurang komunikasi itu ditutup menggunakan sistem bersepadu pintar ini.


Katanya, pelbagai insiden seperti kemalangan jalan raya, banjir, kesesakan lalu lintas dapat dikesan lebih awal sekaligus menghasilkan masa respon yang lebih singkat dan berkesan.


Mengulas lanjut Hannah berkata pelaksanaan sistem CCTV secara meluas dilihat tidak melanggar hak privasi mana-mana pihak berikutan ianya dipasang di kawasan awam sahaja.

Semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan kekal bersama Kerajaan Perpaduan

Semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan kekal bersama Kerajaan Perpaduan


Semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Presiden UMNO itu berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dalam pertemuannya bersama semua wakil rakyat terbabit hari ini.


"Saya mengadakan perbincangan dengan semua 14 ADUN itu untuk melihat semula bahawa dengan tidak berhajat untuk kita 'retract' (langkah dibuat ADUN terbabit), tetapi kita mahu membetulkan persepsi bahawa mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang.


"Parti di peringkat nasional dan juga semua ADUN yang saya temui bersetuju supaya kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan supaya tidak berlaku sebarang penggugatan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian dan Menyaksikan Majlis Pertukaran MoU Antara MyDigital ID Sdn Bhd dan Rakan Kerjasama Strategik di Putrajaya hari ini.


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, langkah yang diambil semua 14 ADUN terbabit sebenarnya berniat baik bagi mempertahankan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan, dihormati dan didukung semua rakyat.


"Kita tahu negara sedang menghadapi permasalahan ekonomi global dan kita harus bersatu hati untuk bersama-sama bukan hanya menangani, tetapi bersama untuk mendukung seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.


"Ini bagi mewujudkan kestabilan politik demi untuk kita bersama-sama menghadapi yang disebut sebagai krisis global ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.


Ditanya sama ada langkah menarik sokongan terhadap Menteri Besar, namun masih menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebagai tindakan untuk menukar Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, sebarang permasalahan atau pertikaian harus didepani secara bersama.


"Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai perjanjian yang kita panggil sebagai Perjanjian 18 perkara. Di antara perjanjian itu jika ada dispute (pertikaian) atau ada permasalahan yang harus kita sama-sama depani, maka kita kembali ke meja perbincangan untuk membincangkan apakah duduk perkara yang boleh sama-sama kita mencapai penyelesaiannya.


"Dan pada hemat saya, Perdana Menteri selaku Pengerusi PH sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat jika ada perkara-perkara secara perinciannya boleh kita selesaikan cara bersama," katanya.

Isnin, 27 April 2026

Bilal Erdogan seru negara Islam contohi kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam

Bilal Erdogan seru negara Islam contohi kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam


Negara-negara Islam diseru supaya mencontohi sektor kewangan Islam Malaysia dalam usaha membangunkan sistem kewangan yang kurang bergantung kepada rangkaian kewangan Barat, kata Necmeddin Bilal Erdogan.


Bercakap sebagai seorang daripada ahli panel di Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri Ke-11, beliau yang berasal dari Turkiye itu berkata kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam boleh dijadikan pelan praktikal untuk kerjasama serantau.


"Malaysia mempunyai kekuatan dalam kewangan Islam, yang boleh dipelajari oleh negara Islam lain serta dilaksanakan melalui kerjasama dalam membangunkan sistem kewangan supaya kita tidak bergantung kepada rangkaian kewangan Barat," katanya.


Erdogan, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun berkata dunia Islam masih terlalu terikat dan dibayangi oleh pengaruh lama Eropah dan Amerika Syarikat, justeru memerlukan keyakinan baharu dalam menghadapi perubahan global.


"Kita semua masih dibayangi pengaruh lama itu. Saya fikir kita boleh membina semula keyakinan diri berdasarkan perkembangan dunia semasa, dan ini akan merapatkan hubungan antara kita.


"Kini kita melihat bahawa tamadun Barat yang sebelum ini mendakwa membawa kestabilan, kemajuan, keamanan, kebebasan, demokrasi dan nilai liberal tidak lagi memberi keutamaan kepada nilai-nilai tersebut. Nilai itu hanya dianggap relevan selagi ia selari dengan kepentingan Barat," katanya.


Dalam masa sama, Erdogan turut menekankan kepentingan hubungan institusi yang lebih kukuh, khususnya dalam bidang pendidikan, dengan mencadangkan lebih banyak program pertukaran pelajar dan pensyarah antara Malaysia dan Turkiye.


"Jika kita melabur dalam mengeratkan hubungan pelajar sekolah menengah dan pelajar universiti supaya menjadi rakan, kita sebenarnya sedang membina sesuatu yang nyata dan bernilai untuk beberapa dekad akan datang," katanya.


Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR) Sharif Hasan Al-Banna yang turut menjadi ahli panel, berkata negara-negara Islam perlu memperkukuh perdagangan dua hala serta membentuk blok perdagangan intra-Islam bagi mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan luar.


Beliau berkata integrasi ekonomi merupakan antara empat laluan ke arah perpaduan yang praktikal dunia Islam, di samping kerjasama, kebebasan intelektual dan pakatan strategik.


Bertemakan "Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis", forum itu menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku moderator.

Jumaat, 10 April 2026

Keuntungan PETRONAS tak cukup tampung lonjakan subsidi bahan api

Keuntungan PETRONAS tak cukup tampung lonjakan subsidi bahan api


Keuntungan tambahan kepada syarikat pengeluar minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hasil lonjakan harga minyak dunia ketika ini tidak mampu menampung kenaikan mendadak kos subsidi bahan api.


Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Idris Jala, berkata biarpun harga minyak setong yang tinggi bermaksud PETRONAS akan mendapat keuntungan lebih banyak dan mampu memberi dividen yang besar kepada kerajaan, negara berdepan dengan masalah pemberian subsidi yang besar kepada rakyat.


Beliau berkata, pemberian subsidi itu bagi memastikan harga minyak di pam masih lagi rendah untuk rakyat Malaysia.


"Walaupun ada peningkatan keuntungan tetapi kerana kita (kerajaan) membayar banyak untuk subsidi, kesan sebenarnya adalah negatif bagi Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian melalui satu episod audiosiar 'Game of Impossible' bersama anaknya Leon Jala, yang disiarkan semalam.


Pada masa sama, Idris berkata, pengeluaran minyak negara juga sudah berkurangan iaitu setakat 520,000 tong setara sehari berdasarkan rekod tahun lalu, berbanding 900,000 tong setara pada zaman kemuncaknya.


Beliau berkata, penyusutan pengeluaran hasil minyak dan gas itu berikutan kebanyakan telaga minyak sudah mencapai tempoh matang.


Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah keseluruhan penggunaan bahan api dalam negara sudah mencecah sebanyak 720,000 tong setara sehari, mencerminkan permintaan melebihi pengeluaran.


"Walaupun Malaysia menjadi antara pengeksport terbesar gas asli ke Korea, Taiwan dan Jepun yang menyumbang kepada keuntungan tambahan, negara juga mengeksport minyak mentah likat untuk diproses bagi kegunaan kerana telaga negara menghasilkan minyak mentah yang berkelikatan rendah," katanya.


Idris kemudian berkongsi perkiraan keuntungan hasil pengeluaran minyak negara berbanding subsidi yang ditanggung kerajaan berdasarkan kepada tiga senario harga minyak di pasaran dunia.


"Jika harga minyak pada AS$120 setong dengan jumlah subsidi yang perlu dibayar adalah sebanyak RM5 bilion hingga RM6 bilion sebulan, ia menyumbang kepada jumlah yang ketara iaitu melonjak kepada antara RM60 bilion hingga RM70 bilion setahun.


"Seperti saya katakan tadi, harga minyak dunia yang tinggi boleh memberi manfaat kepada PETRONAS dan pendapatan diterima lebih tinggi, tetapi hanya AS$18 bilion hingga AS$22 bilion.


"Jika anda katakan, PETRONAS untung besar tetapi jumlah subsidi melonjak antara RM60 bilion hingga RM70 bilion," katanya.


Rabu lalu, Bank Dunia mencadangkan supaya harga petrol RON95 dinaikkan daripada RM1.99 kepada RM2.05 bagi mengurangkan beban subsidi kerajaan yang semakin meningkat.


Ketua ekonominya di Malaysia, Apurva Sanghi, dilaporkan berkata tindakan mengekalkan harga petrol pada paras rendah secara buatan akan menambah tekanan kewangan kerajaan, lebih-lebih lagi apabila harga minyak dunia kekal melebihi AS$100 setong.


Idris juga melontarkan persoalan sama ada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengambil tindakan terhadap situasi semasa supaya ia boleh menjadi peluang yang membawa kepada perubahan ketara kepada negara, seperti yang dilakukan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ketika krisis minyak pada 1973.


Beliau berkata, ketika itu harga minyak setong melonjak daripada AS$3 kepada AS$12, iaitu peningkatan empat kali ganda.


"Pujian harus diberikan kepada Tun Razak yang melihat krisis pada 1973 itu dengan tindakan yang tenang dan berasaskan fakta. Beliau melihat krisis yang berlalu ketika itu dan menghasilkan strategi yang membawa perubahan ketara di Malaysia.


"Pada tahun berikutnya kerajaan membentangkan Akta Pembangunan Petroleum dan menubuhkan PETRONAS pada tahun sama," katanya.


Sebelum penubuhan PETRONAS, Idris berkata, semua penerokaan minyak di Malaysia dilaksanakan syarikat asing.


Malah, beliau berkata, tindakan Abdul Razak itu juga dilakukan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, yang membeli syarikat minyak, membuka kilang penyulingan dan kompleks petrokimia biarpun negara itu tidak mempunyai sumber minyak dan gas asli.

Rabu, 8 April 2026

Pembenihan awan berjaya, hujan lebat isi empangan Perlis dan Kedah

Pembenihan awan berjaya, hujan lebat isi empangan Perlis dan Kedah


Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di Perlis dan Kedah semalam disahkan berjaya apabila menghasilkan taburan hujan signifikan di kawasan tadahan empangan utama.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi yang digerakkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) itu menyasarkan kawasan Empangan Muda, Pedu dan Ahning di Kedah serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.


"Operasi bermula pada pukul 3 petang di Kedah sebelum diteruskan di Timah Tasoh pada pukul 3.40 petang menggunakan pesawat C130-Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).Berita Malaysia


"Teknik yang digunakan ialah semburan larutan garam ke dalam awan kumulus menara dan keadaan atmosfera ketika itu amat sesuai dengan kehadiran awan konvektif aktif serta kelembapan tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Hasil cerapan radar cuaca menunjukkan hujan mula dikesan di Empangan Timah Tasoh seawal pukul 5 petang, manakala di Empangan Ahning hujan turun sekitar pukul 7.30 malam hingga 9 malam.


Menurut beliau, data stesen cerapan dan sistem MyRAE MET Malaysia merekodkan taburan hujan antara 10 hingga 45 milimeter di Perlis (7 hingga 8 malam), manakala Kedah mencatatkan antara 6 hingga 57.4 milimeter (7 hingga 10 malam).


"Secara keseluruhan, liputan hujan berjaya merangkumi kawasan tadahan utama dan operasi ini dikategorikan sebagai berjaya," ujarnya.


Tambah beliau, pelaksanaan OPA merupakan langkah intervensi bagi menangani kekurangan air susulan cuaca kering yang melanda sejak beberapa minggu lalu.


Operasi tersebut turut memberi tumpuan kepada 11 empangan utama berstatus waspada, amaran dan kritikal di Perak, Kedah, Perlis serta Johor bagi tempoh 6 hingga 8 April lalu.


Dalam pada itu, operasi akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak.


"Pendekatan berasaskan sains dan kesiapsiagaan seperti ini penting sebagai benteng menghadapi cabaran perubahan iklim serta memastikan bekalan air dan sektor pertanian negara terus terjamin," katanya.

Rabu, 18 Mac 2026

Kehadiran kapal perang Amerika Syarikat di Pulau Pinang cetus persoalan, PN gesa kerajaan beri penjelasan

Kehadiran kapal perang Amerika Syarikat di Pulau Pinang cetus persoalan, PN gesa kerajaan beri penjelasan


Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat (AS) di perairan negara yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.


Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pendirian Malaysia yang tidak terlibat dalam sebarang bentuk konflik antara kuasa besar.


Menurutnya, pendirian tersebut selaras dengan komitmen negara terhadap prinsip berkecuali, keamanan dan kestabilan serantau.


"Namun begitu, PN memandang serius laporan media mengenai kehadiran aset tentera laut AS di perairan Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.


"Aset yang dilaporkan termasuk kapal pemusnah periuk api (MCMV) yang lazimnya digunakan untuk mengesan dan meneutralkan periuk api di laluan maritim strategik," katanya dalam satu kenyataan semalam.



Sebelum ini media melaporkan, kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut AS, USS Tulsa dan USS Santa Barbara dilaporkan berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.


Menurut portal berita pertahanan, The War Zone (TWZ), kedua-dua kapal yang digunakan bagi operasi penyapuan ranjau itu sebelum ini ditempatkan di Asia Barat selepas tiba di Bahrain sekitar tahun lalu.


Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, aset seumpama itu sering dikaitkan dengan operasi di laluan kritikal seperti Selat Hormuz yang kini menjadi antara titik panas konflik ketenteraan melibatkan AS dan Iran.


Sehubungan itu ujarnya, kehadiran aset berkenaan menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan memudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkait konflik luar.


"Keadaan ini berpotensi menimbulkan persepsi yang bercanggah dengan pendirian berkecuali Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat dan imej negara di peringkat antarabangsa.


"Penjelasan itu termasuk sama ada ia sekadar dalam transit atau dari penugasan operasi di kawasan seperti Selat Hormuz serta bagaimana perkara tersebut selaras dengan dasar berkecuali negara.


"Kredibiliti Malaysia amat bergantung pada keselarasan antara prinsip yang disuarakan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan," ujarnya.

Rabu, 11 Mac 2026

Bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 - PM

Bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 - PM


Keterjaminan bekalan produk petroleum negara ketika ini mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga Mei depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata biarpun ketegangan di Asia Barat masih berterusan, ia menunjukkan keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal.


"Kita dalam keadaan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah. Bila kita semak dengan PETRONAS terutamanya, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.


"Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain. Sebab itu, saya selalu tekankan mengenai isu tatakelola pengurusan yang cekap, beramanah dan profesional," katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.


Anwar berkata, dalam mendepani keadaan berkenaan, tumpuan Kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat termasuk mengekalkan harga BUDI95 pada paras RM1.99 setiap liter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi.


"Saya sudah minta Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) mempengerusikan jawatankuasa berhubung dengan penguatkuasaan.


"Umpamanya diesel lebih terkawal di Semenanjung, tidak naik di Sabah dan Sarawak. Ini memungkinkan penyeludupan besar-besaran.


"Jadi, saya tugaskan TPM bersama KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan yang lebih tegas terhadap kalangan yang cuba mengambil kesempatan dan menyeludup," katanya.

Isnin, 9 Mac 2026

125,000 pembantu tadbir Gred 1 akan naik ke Gred 5 mulai Januari depan

125,000 pembantu tadbir Gred 1 akan naik ke Gred 5 mulai Januari depan


Seramai 125,000 pembantu tadbir yang kini berada pada Gred 1 akan menikmati kenaikan ke Gred 5 mulai Januari 2027. Ia membabitkan 106,722 jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan 20,106 jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan).


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kenaikan gred perkhidmatan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.


Perkara itu yang dibincangkan dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz mengenai pelaksanaan SSPA.


"Bagi menambah baik peluang laluan kerja, saya telah minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 naik ke Gred 5.


"Ini untuk 125,000 orang Pembantu Tadbir Pengkeranian dan Kewangan," katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya hari ini.


Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.


Perdana Menteri berkata, walaupun ada kenaikan mengikut SSPA tetapi ada keperluan untuk menjaga kategori yang terlalu rendah itu dengan meningkatkan gred mereka.


Anwar berkata, kumpulan berkenaan juga perlu mengikuti kursus pendek selama dua minggu.


"Itu JPA sedang uruskan cadangan ini. Syaratnya itu supaya kita nak pastikan dia ikuti perkembangan kelayakannya sedikit pendedahan tentang Teknologi Maklumat (IT), itu saja.


"Jadi saya ucap tahniah kepada mereka dan kita cuba jalankan dan laksanakan pada tahun ini juga.


"Maknanya dalam tempoh enam bulan, KSN maklumkan kita boleh selesaikan kursus bagi 125,000 ini dan supaya kita laksanakan selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan kenaikan pangkat ini," katanya.


Sementara itu, Shamsul Azri yang ditemui selepas majlis, berkata inisiatif kerajaan itu adalah usaha menambah baik SSPA dengan mengambil kira pelbagai pandangan.


"Syarat utama mereka perlu menjalani kursus... adalah syarat dia nanti. Kita akan mulakan Januari 2027 jadi dalam tempoh enam bulan ini kita akan memperincikan syarat-syarat mengikut keperluannya," katanya.

Khamis, 26 Februari 2026

Pusat data sulung Google di Malaysia dijangka jana lebih RM12 bilion, wujud 26,500 peluang kerja - PM Anwar

Pusat data sulung Google di Malaysia dijangka jana lebih RM12 bilion, wujud 26,500 peluang kerja - PM Anwar


Pusat data pertama Google di Malaysia yang sedang dibangunkan di Taman Perniagaan Elmina (EBP) di Selangor, dijangka membawa pulangan ekonomi AS$3.2 bilion (RM12.43 bilion) dengan 26,500 peluang pekerjaan diwujudkan menjelang 2030.


Perkembangan itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memberitahu, kemajuan projek pelaburan Google bernilai AS$2 bilion (RM7.06 bilion) itu berada pada tahap memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal.


"Pagi ini saya mengadakan panggilan sidang video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet & Google, Ruth Porat, serta pasukannya.


"Antara yang dibicarakan ialah perkembangan pelaburan AS$2 bilion oleh Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024.


"Alhamdulillah, saya dimaklumkan pelaburan ini bergerak dengan kemajuan yang memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal," katanya menerusi Facebook hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan strategik terbabit adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara.


Jelasnya, ia selari aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).


"Pelaburan ini merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia.


"Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka menyokong penghasilan kesan ekonomi berjumlah AS$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030," katanya.


Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan.


Malah, katanya kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.


Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu, Anwar menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia.


Pusat data terbabit akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.


Fasa pembinaan pusat data Google itu dijangka selesai dibangunkan pada suku ketiga tahun ini.


Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat bersama Google secara dalam talian di Perdana Putra. - Foto PMO.

Rabu, 4 Februari 2026

Kerjasama DRB-HICOM, Geely terbukti langkah penting selamatkan PROTON

Kerjasama DRB-HICOM, Geely terbukti langkah penting selamatkan PROTON


Kerjasama strategik antara DRB-HICOM Bhd dan Geely Holding yang dimeterai pada Mei 2017 terbukti menjadi langkah penting dalam menyelamatkan dan memulihkan hala tuju Proton Holdings Bhd (PROTON) sebagai jenama kereta nasional, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Beliau berkata, perjanjian pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan PROTON oleh Geely Holding itu dibuat dalam keadaan yang mencabar serta menerima pelbagai pandangan berbeza.


"Pada Mei 2017, semasa saya menjawat jawatan Menteri Kewangan II, saya menyaksikan pemeteraian perjanjian antara DRB-HICOM dan Geely Holding bagi pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON.


"Pada ketika itu, keputusan ini menimbulkan pelbagai pandangan yang berbeza, namun ia adalah satu intervensi yang perlu bagi melindungi jenama kereta nasional tanpa membebankan pembayar cukai," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Proton e.MAS 7 PHEV di Kuala Lumpur hari ini.


Johari berkata, sembilan tahun selepas kerjasama strategik itu dimeterai, kesannya kini jelas apabila PROTON berjaya membalikkan kerugian kewangan bertahun-tahun dan memulihkan keyakinan orang ramai melalui pengenalan model yang mendapat sambutan pasaran, termasuk PROTON X70.


Beliau berkata, pemulihan itu turut diterjemahkan melalui peningkatan penguasaan pasaran PROTON, yang meningkat daripada 11 peratus pada 2018 kepada 19 peratus tahun lalu, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik berkenaan.


Katanya, PROTON kini mengekalkan kehadiran kukuh dalam sektor automotif negara dengan menggajikan lebih 55,000 tenaga kerja, disokong rangkaian vendor tempatan yang luas merentasi rantaian bekalan industri.


"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, PROTON turut meningkatkan tahap lokalisasi apabila nilai perolehan tempatan meningkat daripada 53 peratus pada 2021 kepada 67 peratus pada 2025, selari usaha memperkukuh ekosistem industri automotif domestik," katanya.


Beliau berkata, transformasi PROTON melalui kerjasama DRB-HICOM dan Geely juga berlaku seiring perubahan struktur pasaran, apabila jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) mencatat pertumbuhan 52 peratus pada 2025.


"Perkembangan ini menyaksikan xEV merangkumi 8.5 peratus jualan kenderaan baharu, manakala kenderaan hibrid dan elektrik membentuk 8.7 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta pada tahun berkenaan," katanya.


Dalam konteks lebih luas, Johari berkata, sektor automotif kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan sumbangan dianggarkan lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kira-kira RM82 bilion, selain menyokong lebih 700,000 peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan berteknologi tinggi.


"Industri itu turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Malaysia merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) tertinggi dalam sejarah pada 2025 sebanyak 820,752 unit, disokong purata pengeluaran melebihi 750,000 unit setahun bagi tempoh 2022 hingga 2025," katanya.

Isnin, 26 Januari 2026

Ekonomi digital sumbang RM451.3 bilion KDNK negara pada 2024

Ekonomi digital sumbang RM451.3 bilion KDNK negara pada 2024


Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang menyumbang sebanyak 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dengan nilai RM451.3 bilion.


Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata angka itu antara metrik utama yang digunakan kerajaan bagi mengukur kemajuan Ekonomi Digital Malaysia bagi tempoh 2025 hingga 2030 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2026–2030.


"Sehingga Jun 2024, jumlah pelaburan digital negara mencatatkan nilai kumulatif RM589.9 bilion dengan sektor itu sudah mewujudkan sebanyak 245,602 peluang pekerjaan.


"Bagi tempoh sama, jumlah pendapatan kumulatif ekonomi digital direkodkan sebanyak RM845.6 bilion," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan mengenai sistem metrik yang digunapakai Kementerian Digital bagi mengukur kemajuan Ekonomi Digital Malaysia untuk tahun 2025-2030 dan usaha kementerian memastikan usaha digitalisasi tidak melebarkan ketidaksamaan sosial terutama dari segi akses kemampuan.


Gobind berkata, selain sumbangan kepada KDNK, pelaburan dan pekerjaan, kemajuan ekonomi digital turut diukur berdasarkan prestasi eksport, kadar adaptasi e-dagang, jumlah syarikat Malaysia Digital yang diluluskan serta kedudukan negara dalam penarafan global.


"Justeru, komitmen kerajaan untuk memastikan usaha pendigitalan tidak melebarkan jurang ketidaksamaan sosial dengan menjadikan keterangkuman digital sebagai prinsip teras pelaksanaan dasar.


"Sehubungan itu, Kementerian Digital melaksanakan pelbagai program peningkatan literasi dan kemahiran digital yang bersifat terbuka dan mudah diakses, termasuk untuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta komuniti luar bandar," katanya.


Menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman berkaitan pembangunan kecerdasan buatan (AI), Gobind berkata kerajaan mengakui keperluan mendesak untuk melahirkan lebih ramai pakar AI tempatan serta memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D).


"Penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan penggubalan Akta Perkongsian Data 2025 antara langkah awal penting bagi menyokong pembangunan ekosistem AI negara termasuk penggunaan data secara beretika dan berkesan.


"Kita memerlukan kepakaran, dana mencukupi dan kerjasama rapat dengan industri bagi memastikan Malaysia dapat merealisasikan aspirasi menjadi negara AI menjelang 2030," katanya.


Sementara itu, menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), Gobind menjelaskan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) dibangunkan bagi mengukur keberkesanan impak digitalisasi dan AI terhadap masyarakat serta pembangunan sosioekonomi negara.


"MyIKD menilai lima aspek utama iaitu kebolehcapaian (accessibility), kemampuan (affordability), keupayaan (ability), kerelevanan (relevance) serta tahap kesiapsiagaan dan adaptasi masyarakat terhadap teknologi digital.


"Indeks ini akan menjadi mekanisme penting untuk menilai sama ada pelaburan dan teknologi baharu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta membantu kerajaan menambah baik dasar secara berterusan," katanya.


Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama.

Khamis, 22 Januari 2026

Ada ganjaran lapor cubaan sogok libatkan penjawat awam

Ada ganjaran lapor cubaan sogok libatkan penjawat awam


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mempergiat usaha memerangi rasuah menerusi pendekatan digital apabila melancarkan inisiatif e-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang.


Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, menerusi usaha itu, penjawat awam digesa tampil melaporkan sebarang cubaan rasuah termasuk dengan tawaran ganjaran tunai.


Katanya, inisiatif itu diperkenalkan menerusi program kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) khusus melibatkan unit penguatkuasaan dan pelesenan.


Menurutnya, langkah berkenaan selari dengan usaha SPRM untuk memperkasa pegawai penguat kuasa agar berintegriti serta berani mengambil tindakan sekiranya berdepan tawaran sogokan ketika menjalankan tugas.


"Kita mahu pegawai di lapangan tampil melaporkan jika ditawarkan rasuah. Kerajaan telah menyediakan garis panduan yang membolehkan penjawat awam menerima ganjaran berdasarkan nilai sogokan yang dilaporkan.


"Insentif ini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi membanteras rasuah dari peringkat awal," katanya kepada media selepas Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di Komtar, George Town pada Rabu.


E-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang merupakan bahan kesedaran digital yang dilengkapi kod QR bagi memudahkan akses dan perkongsian maklumat oleh ketua jabatan serta pegawai.


Karunanithy berkata, e-flyer berkenaan akan menampilkan tema berbeza setiap bulan antaranya cara membuat laporan kepada SPRM, kaedah menyalurkan maklumat berkualiti serta tip pencegahan rasuah secara praktikal.


"Bahan ini direka supaya mudah dikongsi melalui platform seperti WhatsApp dan boleh dimanfaatkan oleh penjawat awam serta orang awam.


"Pendekatan ini pernah dilaksanakan di Sabah ketika saya bertugas di sana dan terbukti berkesan," katanya.


Beliau berkata, kebanyakan laporan yang diterima sebelum ini banyak melibatkan warga asing yang cuba menyogok pegawai penguat kuasa.


Katanya, siasatan sedang dijalankan dan kes akan dibawa ke mahkamah sekiranya bukti mencukupi.


"Sementara itu, kita menerima kurang daripada lima laporan berkaitan tawaran rasuah daripada penjawat awam di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan SPRM Pulau Pinang menerima sebanyak 37 maklumat risikan berkaitan MBPP sepanjang tahun lalu melibatkan pelbagai entiti dan isu penguatkuasaan.


"Daripada jumlah itu, lima tangkapan telah dibuat namun kes berkenaan masih dalam proses penelitian dan belum dibawa ke peringkat pendakwaan kerana sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara," ujarnya.


Karunanithy (dua dari kiri) ketika menghadiri Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di George Town, Semalam. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 7 Januari 2026

Kecurian kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel - Anthony Loke

Kecurian kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel - Anthony Loke


Kecurian kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel yang berlaku di beberapa laluan pengangkutan awam, selain faktor teknikal dan cuaca, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Loke berkata, dakwaan mengenai keadaan semakin meruncing adalah tidak tepat berdasarkan statistik, memandangkan jumlah gangguan menunjukkan trend penurunan sejak tiga tahun kebelakangan ini.


"Tidak dinafikan bahawa gangguan masih berlaku, tetapi daripada segi angka, jumlah gangguan sebenarnya sudah menurun.


"Ada gangguan mekanikal, ada gangguan sistem dan ada juga gangguan yang di luar jangkaan seperti kecurian kabel. Apabila kabel dipotong, sistem isyarat akan terjejas dan tren akan berhenti serta-merta atas faktor keselamatan," katanya pada sidang media Pembentangan Laporan Prestasi PRASARANA 2025 dan Pelan 2026 di Menara PRASARANA, Kuala Lumpur hari ini.


Beliau berkata, kebanyakan sistem rel termasuk Transit Aliran Massa (MRT) dan beberapa laluan Transit Aliran Ringan (LRT) beroperasi tanpa pemandu dan dikawal sepenuhnya melalui Pusat Kawalan Operasi (OCC), justeru sebarang gangguan pada sistem kabel akan menyebabkan tren berhenti secara automatik.


"Selain kecurian kabel itu, gangguan juga boleh berlaku akibat cuaca buruk, termasuk hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan dahan pokok atau objek asing seperti papan iklan jatuh ke atas landasan.


"Reka bentuk sistem rel di negara ini mengutamakan keselamatan penumpang, menyebabkan tren tidak dibenarkan bergerak sekiranya terdapat sebarang halangan di laluan," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) terus memperkukuh langkah penyelenggaraan termasuk penggunaan pendekatan penyelenggaraan berdasarkan ramalan berasaskan data bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal.


"Kita sedang menambah baik dari segi penyelenggaraan dan penggantian alat ganti secara lebih sistematik. Namun, ada insiden yang di luar kawalan seperti cuaca dan kecurian kabel. Ini yang kita harap orang ramai dapat memahami," katanya.


Mengulas penambahbaikan perkhidmatan, beliau memaklumkan kerajaan sudah menganugerahkan perolehan 26 set tren baharu kepada ZELC-CRM-CLM Consortium (CRRC), selain perancangan menambah tiga set tren monorel serta kerja baik pulih melibatkan 50 set tren sedia ada.


"Fokus utama Kementerian Pengangkutan (MOT) ketika ini adalah meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel dan bas, termasuk penambahbaikan perkhidmatan first mile dan last mile menerusi pengembangan Rapid On-Demand (ROD) serta penggunaan kenderaan elektrik.


"Usaha berterusan itu penting bagi memastikan pengangkutan awam kekal sebagai pilihan utama rakyat, khususnya pengguna harian yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan berkenaan," katanya.

Jumaat, 12 Disember 2025

Melaka kaji bina jambatan hubungkan Pengkalan Balak-Indonesia dengan jarak 47.7 km

Melaka kaji bina jambatan hubungkan Pengkalan Balak-Indonesia dengan jarak 47.7 km


Kerajaan negeri akan membentangkan kajian pembinaan jambatan menghubungkan Malaysia dan Indonesia dengan anggaran masa perjalanan 40 minit kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dalam masa terdekat.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kajian dijadual bermula Januari depan itu membabitkan cadangan pembinaan jambatan dari Pengkalan Balak di Masjid Tanah ke Indonesia dengan jarak 47.7 kilometer (km).


Menurutnya, kajian projek berskala besar itu akan diperhalusi sebelum dibawa ke MPFN untuk penelitian dan penilaian lanjut.


"Selepas itu, kita akan membawa cadangan ini kepada pihak Indonesia bagi membincangkan pelaksanaan projek secara bersama.


"Kami yakin jika direalisasikan, jambatan ini akan memberi impak ekonomi besar kepada Melaka," katanya selepas merasmikan Kilang Kedua EP Manufacturing Berhad (EPMB) dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, Alor Gajah semalam.


Ab Rauf berkata, kerajaan negeri melaburkan kira-kira RM500,000 bagi perkhidmatan syarikat perunding untuk menilai aspek teknikal, ekonomi dan logistik projek berkenaan.


Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri bercadang mengambil alih 5,000 hektar tanah di Masjid Tanah sebagai kawasan perindustrian baharu yang akan menyokong pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) serta aktiviti ekonomi biru di Melaka.


"Jambatan ini akan menjadi 'the world gateway' terakhir menghubungkan Malaysia dan Indonesia, serta membuka peluang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata kewujudan EPMB menjadikan Melaka destinasi pelaburan automotif bernilai, berdaya saing dan semakin diyakini pemain industri antarabangsa.


"Ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi bersejarah, tetapi turut melonjakkan negeri sebagai hab pembuatan bertaraf global selari dengan agenda mobiliti hijau negara," katanya.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyempurnakan perasmian Kilang EPMB dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh pada Khamis. - Foto NSTP.

Ahad, 7 Disember 2025

Indonesia akan beli sehingga 200 helikopter tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana alam

Indonesia akan beli sehingga 200 helikopter tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana alam


Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan rancangan memperoleh sehingga 200 helikopter tahun depan bagi memperkukuh posisi pertahanan negara dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana alam, lapor Agensi Berita Indonesia (ANTARA).


Beliau berkata, risiko bencana di Indonesia adalah tinggi berikutan kedudukannya dalam Lingkaran Api Pasifik, merujuk kepada respons kecemasan yang sedang berlangsung terhadap banjir dan tanah runtuh di Sumatera.


"Kami baharu sahaja menerima lima helikopter baharu minggu ini, dan bilangannya akan terus meningkat. Saya sudah mengarahkan pembantu saya untuk memperoleh 200 helikopter bermula Januari tahun depan," kata Prabowo semasa acara ulang tahun ke-61 Parti Golkar di Jakarta, semalam.


Beliau merakamkan ucapan takziah kepada penduduk yang terjejas akibat bencana itu dan berkata Indonesia kekal sebagai negara yang tabah serta mampu mengatasi krisis melalui tindakan bersama dan mobilisasi pantas.


Prabowo memberi jaminan bahawa kerajaan bertindak segera untuk memberi respons, termasuk menggerakkan 50 helikopter bagi menghantar bantuan serta menyokong operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas.


Beliau mempertahankan rancangan perolehan itu dengan berkata Indonesia perlu memperkukuh keupayaan bukan sahaja untuk menangkis ancaman ketenteraan, tetapi juga untuk bertindak balas secara berkesan sebagai negara yang terdedah kepada bencana.


Menjawab kritikan terhadap pembelian pertahanan berskala besar, beliau berkata, pemimpin negara mesti menjangka keperluan pada masa depan bagi memastikan negara bersedia menghadapi senario terburuk.


"Kita tidak mampu untuk tergesa-gesa mencari helikopter tambahan apabila bencana atau perang sudah berlaku," katanya.


Prabowo turut menegaskan komitmen kerajaan menggerakkan semua sumber yang ada, termasuk pesawat pengangkut tentera, bagi memastikan respons bencana yang pantas di seluruh negara.


Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika meninjau operasi penyediaan makanan kepada mangsa banjir di pusat evakuasi di Pandan, Tapanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara. - Foto AFP.

Selasa, 2 Disember 2025

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta - PM Anwar

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta - PM Anwar


Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, pelaburan ini berdasarkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.


"Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap," kata beliau dalam catatan di laman media sosial semalam.


Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan perisian di persada global.


"Dalam pertemuan tersebut, kami membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi," kata beliau.


Anwar turut menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan yang telah menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.


"Segala pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia," kata beliau.

Ahad, 16 November 2025

Temui cinta baharu ketika isteri masih dibekukan tunggu untuk 'dihidupkan semula'

Temui cinta baharu ketika isteri masih dibekukan tunggu untuk 'dihidupkan semula'


Suami kepada wanita pertama di China yang dibekukan secara kriogenik akibat kanser paru-paru mencetuskan perdebatan moral selepas memulakan hubungan baharu ketika isterinya masih disimpan dalam keadaan beku, lapor South China Morning Post.


Gui Junmin, 57, membuat keputusan membekukan isterinya, Zhan Wenlian, pada 2017 selepas doktor memaklumkan bahawa hayat wanita itu hanya berbaki beberapa bulan dengan harapan penawar kanser dapat ditemukan pada masa depan.


Zhan, 48, menjadi individu pertama di China yang diawet secara kriogenik selepas Gui menandatangani perjanjian selama 30 tahun dengan Institut Penyelidikan Sains Hayat Shandong Yinfeng yang bekerjasama dengan Hospital Qilu Universiti Shandong.


Selepas dua tahun hidup bersendirian, Gui menyedari risiko hidup tanpa peneman apabila serangan gout pada 2020 menyebabkannya terlantar tidak bermaya selama dua hari sebelum pintu rumahnya terpaksa dipecahkan oleh saudara-mara.


Lelaki itu kemudian diperkenalkan kepada wanita yang kini menjadi pasangannya, Wang Chunxia yang bekerja sebagai ejen insurans menerusi seorang rakan sebelum hubungan mereka berkembang menjadi lebih serius.



Walaupun Wang menjaganya dengan penuh perhatian, Gui mengakui bahawa hubungan mereka lebih bersifat 'utilitarian' atau atas dasar keperluan kerana wanita itu belum dapat menggantikan tempat isterinya di dalam hati.


"Saya rasa bertanggungjawab terhadapnya tetapi dia tidak akan dapat menggantikan isteri saya. Saya tidak boleh melupakan masa lalu, namun perlu meneruskan hidup," katanya kepada media.


Terdapat perbezaan latar belakang yang ketara antara mereka apabila Gui stabil daripada segi kewangan dan bergaul dalam lingkungan dihormati manakala Wang berasal dari luar bandar serta pernah bekerja sebagai buruh kilang dan pelayan.


Walaupun menegaskan Zhan tidak boleh diganti, Gui mengakui dia kini bergantung kepada Wang untuk urusan harian terutamanya selepas menjalani pembedahan jantung yang menjejaskan pergerakannya.


Gui kini berdepan dilema sama ada perkahwinan dengan Wang akan dianggap sebagai bigami pada masa depan selain persoalan rumit mengenai pengurusan aset sekiranya Zhan berjaya dihidupkan semula.


Kisah itu mencetuskan kontroversi dalam talian apabila ada netizen menyifatkan tindakan itu sebagai 'poligami emosi' dan mengkritik Gui kerana bersikap mementingkan diri sendiri dalam perhubungan.


Gui bersama pasangan baharunya Wang (tengah). - Foto infzm.com.

Gambar kenangan Gui bersama isterinya, Zhan. - Foto infzm.com.

Jumaat, 24 Oktober 2025

Whoosh terus-menerus catat kerugian operasi kerana jumlah penumpang rendah

Whoosh terus-menerus catat kerugian operasi kerana jumlah penumpang rendah


Projek Kereta Cepat Jakarta–Bandung (KCJB) atau Whoosh dilaporkan terus menanggung kerugian operasi susulan jumlah penumpang yang masih rendah sejak mula beroperasi, lapor Kompas.com.


Pemerhati pengangkutan, Muhamad Akbar berkata, keadaan itu berpotensi memberi kesan kepada masyarakat walaupun kerajaan menegaskan beban kewangan tidak akan ditanggung oleh Belanjawan Negara (APBN).


"Kesannya boleh menyebabkan penangguhan projek strategik lain yang lebih mendesak, termasuk kemungkinan memerlukan suntikan modal kerajaan (PMN) untuk menampung defisit," katanya dalam kenyataan, kelmarin.


Beliau berkata, jika keadaan itu berlanjutan, kesan jangka panjangnya boleh menjejaskan pelbagai aspek termasuk tahap kualiti perkhidmatan, pelaburan baharu dan kepercayaan awam terhadap projek pengangkutan besar.


"Dengan kata lain, meskipun kerajaan cuba menjaga jarak, kesan kewangan Whoosh akhirnya tetap akan dirasai masyarakat, secara langsung atau tidak," katanya.


Dalam pada itu, PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) pula dilapor tidak pernah menerbitkan laporan kewangannya secara terbuka kepada umum.


Bagaimanapun, laporan kewangan PT Kereta Api Indonesia (KAI) selaku syarikat induk menunjukkan, kerugian besar yang perlu ditanggung bersama tiga lagi syarikat milik kerajaan (BUMN) lain mengikut kadar pegangan saham masing-masing.


Difahamkan, keempat-empat syarikat itu memegang saham dalam PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PT PSBI), iaitu konsortium yang ditubuhkan pada era Menteri BUMN, Rini Soemarno.


Berdasarkan laporan kewangan tidak diaudit setakat 30 Jun 2025, PT PSBI direkodkan mengalami kerugian sebanyak 4.195 trilion rupiah (kira-kira RM1.22 bilion) sepanjang 2024.


Media melaporkan, KCJB itu dirasmikan oleh Presiden Indonesia ke-7, Joko Widodo, di Stesen Halim, Jakarta Timur, pada 2 Oktober 2023.


Projek sepanjang 142 kilometer (km) itu menghubungkan empat stesen utama termasuk Halim, Karawang, Padalarang dan Tegalluar, dengan masa perjalanan hanya 45 minit.


Harga tiket kini pula antara 250,000 rupiah (kira-kira RM73) hingga 350,000 rupiah (kira-kira RM102) bergantung kepada kelas, namun kadar penggunaan penumpang masih rendah.


Meskipun menawarkan kemudahan moden dan kelajuan tinggi, Whoosh gagal menarik minat besar masyarakat sekali gus menjejaskan harapan untuk menjadi simbol kemajuan teknologi Indonesia.

Sabtu, 20 September 2025

Lapangan terbang utama Eropah lumpuh akibat serangan siber

Lapangan terbang utama Eropah lumpuh akibat serangan siber


Beberapa lapangan terbang utama di Eropah termasuk Heathrow, Brussels dan Berlin mengalami gangguan besar pada hari ini (Sabtu) selepas serangan siber menyasarkan penyedia sistem daftar masuk dan pelepasan penumpang, menurut kenyataan rasmi operator lapangan terbang.


Serangan tersebut menyebabkan sistem automatik tidak dapat berfungsi, memaksa kakitangan lapangan terbang beralih kepada kaedah manual untuk proses daftar masuk dan pelepasan.


Brussels Airport dalam kenyataan berkata gangguan telah memberi kesan besar kepada jadual penerbangan dan menyebabkan kelewatan serta pembatalan penerbangan secara meluas.


Lapangan Terbang Heathrow turut mengesahkan gangguan teknikal yang berpunca daripada pembekal sistem pihak ketiga, dipercayai melibatkan Collins Aerospace, yang menyediakan sistem daftar masuk kepada pelbagai syarikat penerbangan global.


Penumpang dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan dengan syarikat masing-masing sebelum ke lapangan terbang.


Lapangan Terbang Berlin pula memaklumkan bahawa masa menunggu di kaunter daftar masuk menjadi lebih lama dan pihaknya sedang berusaha mencari penyelesaian segera.


Frankfurt Airport dilaporkan tidak terjejas oleh serangan tersebut.


Setakat ini, nama penyedia sistem yang menjadi sasaran serangan belum didedahkan secara rasmi. Pihak berkuasa keselamatan siber Eropah sedang menyiasat insiden ini dan belum mengesahkan sama ada ia melibatkan kumpulan penggodam tertentu atau serangan berasaskan negara.


Gangguan berlaku ketika musim perjalanan hujung minggu, menyebabkan ribuan penumpang terkandas dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur digital penerbangan awam di rantau Eropah.


Beberapa lapangan terbang utama di Eropah termasuk Heathrow, Brussels dan Berlin mengalami gangguan besar pada Sabtu selepas serangan siber.