Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Jumaat, 16 Oktober 2026

Jerebu: Tiada syarikat ladang sawit Malaysia terbabit aktiviti pembakaran di Indonesia

Jerebu: Tiada syarikat ladang sawit Malaysia terbabit aktiviti pembakaran di Indonesia


Tiada syarikat perladangan Malaysia dikenal pasti terbabit aktiviti pembakaran yang mencetuskan masalah jerebu di Indonesia, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.


Katanya, ia berdasarkan hasil semakan silang dengan syarikat tempatan yang mempunyai konsesi sawit di negara itu.


Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati kebanyakan aktiviti pembakaran berkenaan berlaku di luar kawasan konsesi sawit milik syarikat Malaysia.


"Hari ini, Jemaah Menteri membincangkan beberapa perkara berkait isu jerebu yang melanda dan terus memberi kesan kepada rakyat Malaysia.


"Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Menteri Perladangan dan Komoditi) memaklumkan bahawa hasil semakan silang dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan kebanyakan daripada apa disaksikan, aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media pascamesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya hari ini.


Selain itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai keadaan cuaca kering di Kalimantan yang tiada menerima hujan lebih 100 hari lalu, sekali gus menjadi antara faktor memburukkan situasi kebakaran.


Dalam pada itu, katanya, sebuah ladang milik Genting Plantations seluas lima hektar dilaporkan terjejas berikutan api merebak dari kawasan luar ke dalam ladang berkenaan.


Beliau berkata, kebakaran itu sudah dipadamkan dan bukan berpunca daripada aktiviti pembakaran di dalam ladang terbabit.


"Api dikatakan marak dari luar, namun berjaya dipadamkan dan saiz ladang itu ialah kira-kira lima hektar... tetapi (punca kebakaran) bukan berlaku dari dalam (ladang), cuma api (merebak) dari luar," katanya.


Justeru, beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus khas dengan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia bagi menangani isu berkenaan.

Ahad, 11 Oktober 2026

'Bukan sekadar hantar asap, kami juga bekalkan oksigen kepada negara jiran' - Pegawai Pemerintah Indonesia

'Bukan sekadar hantar asap, kami juga bekalkan oksigen kepada negara jiran' - Pegawai Pemerintah Indonesia


Indonesia meminta Malaysia dan Singapura memahami bahawa kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan ketika ini didakwa berpunca daripada fenomena alam, bukannya kesilapan manusia.


Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan berkata, kerajaan memahami kebimbangan kedua-dua negara berhubung pencemaran udara akibat asap kebakaran hutan yang melanda beberapa wilayah republik itu.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejadian berkenaan berlaku di luar kawalan manusia dan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada fenomena alam.


"Jadi, kami juga meminta semua negara jiran memahami bahawa perkara ini berlaku di luar faktor kesilapan manusia. Ini benar-benar fenomena alam," katanya di pejabat Institut Ketahanan Nasional (Lemhannas), Jakarta pada Sabtu.


Menurut laporan Kompas.com, Syahganda berkata, hubungan diplomatik antara Indonesia dengan Malaysia kekal baik meskipun kedua-dua negara kini berdepan isu pencemaran udara rentas sempadan.


Beliau berkata, kerajaan Indonesia terus memberikan penjelasan kepada Malaysia dan Singapura mengenai situasi kebakaran hutan serta usaha yang sedang dilaksanakan untuk menanganinya.


Malah, Syahganda turut mengeluarkan kenyataan bahawa Indonesia bukan sahaja menyumbang kepada penyebaran asap, malah turut membekalkan oksigen kepada negara jirannya melalui kawasan hutan yang luas.


"Kami bukan sekadar menghantar asap, tetapi apabila tiada asap, kami menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia juga datang daripada hutan-hutan kami," katanya.


Syahganda turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar wakil menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan isu kebakaran hutan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia.


Menurutnya, perbincangan antara kedua-dua negara sedang diperincikan bagi mencari pendekatan bersama dalam menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi punca jerebu.


"Kami sedang memperincikan perbincangan supaya masalah kebakaran hutan ini dapat ditangani secara bersama," ujarnya.


Sementara itu, kerajaan Malaysia sebelum ini berharap rundingan teknikal dengan Indonesia berhubung operasi memadamkan kebakaran hutan dapat diselesaikan segera bagi membolehkan pasukan bantuan negara dihantar ke kawasan terjejas.

Sabtu, 10 Oktober 2026

Tsunami matahari: Bumi berdepan risiko gangguan satelit, navigasi dan komunikasi radio hujung minggu ini

Tsunami matahari: Bumi berdepan risiko gangguan satelit, navigasi dan komunikasi radio hujung minggu ini


Bumi berpotensi dilanda siri ribut suria susulan letusan berkuasa di matahari termasuk gelombang besar plasma panas yang dikenali sebagai tsunami suria.


Fenomena cuaca angkasa itu boleh mencetuskan ribut geomagnet daripada tahap lemah hingga kuat, sekali gus meningkatkan peluang kemunculan aurora yang memukau di beberapa kawasan sepanjang hujung minggu ini.


Menurut ramalan cuaca angkasa, ramalan cuaca angkasa menjangkakan sehingga tiga lontaran jisim korona (CME) melanda bumi pada 9 dan 11 Oktober. Fenomena itu melibatkan pelepasan berbilion tan zarah bercas dan medan magnet ke angkasa lepas yang boleh mencetuskan ribut geomagnet apabila berinteraksi dengan medan magnet bumi.


Ribut yang dijangka berlaku berada pada tahap G1 iaitu kategori kecil hingga G3 yang diklasifikasikan sebagai kuat.


Ia juga berpotensi meningkatkan kemungkinan aurora muncul di kawasan yang lazimnya tidak mengalami fenomena cahaya berwarna-warni itu. Namun, kemunculannya bergantung pada kekuatan dan orientasi medan magnet yang dibawa oleh lontaran berkenaan.


Aktiviti terbaharu itu bermula apabila tompok matahari 4549 kembali meletus pada 8 Oktober menghasilkan suar suria kelas M6.7.


Suar kelas M dikategorikan sebagai letusan berkekuatan sederhana yang berpotensi mengganggu komunikasi radio dan meningkatkan kesan cuaca angkasa yang lain.


Letusan itu turut mencetuskan tsunami suria yang secara saintifik dikenali sebagai gelombang Moreton di atmosfera matahari. Gelombang besar plasma panas dan tenaga magnet itu bergerak pantas merentasi atmosfera matahari susulan letusan kuat.


Bahagian hadapan gelombang kejutan berkenaan boleh menjangkau kawasan yang jauh lebih luas daripada saiz bumi dan bergerak pada kelajuan melebihi 1.6 juta kilometer sejam.


Selain mencetuskan aurora, ribut geomagnet juga berpotensi menjejaskan satelit, sistem navigasi, komunikasi radio frekuensi tinggi dan, dalam keadaan lebih serius, rangkaian bekalan elektrik.

Indonesia kenal pasti 198 suspek kes bakar hutan - Duta

Indonesia kenal pasti 198 suspek kes bakar hutan - Duta


Indonesia mengenal pasti 198 suspek individu dalam siasatan kes kebakaran hutan dan tanah, selain memproses 97 laporan polis melibatkan syarikat sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani kebakaran yang turut menyebabkan jerebu di Malaysia.


Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur dalam kenyataannya, memaklumkan Polis Republik Indonesia mengendalikan 247 laporan polis melibatkan individu, manakala Kementerian Alam Sekitar Indonesia merekodkan 57 entiti perniagaan dengan kawasan konsesi yang terbakar di lapan wilayah.


Kawasan konsesi yang terbakar itu meliputi 33,514.01 hektar, membabitkan 16 entiti perniagaan di Sumatera dengan keluasan 3,813.85 hektar dan 41 di Kalimantan meliputi 29,700.16 hektar.


Menurut kenyataan itu, Kementerian Kehutanan Indonesia turut mengenakan tindakan pentadbiran terhadap 26 pihak, merangkumi pembatalan lima permit perniagaan, penggantungan 13 permit serta lapan amaran bertulis atau arahan pemulihan.


Sebanyak 46 subjek undang-undang juga dilaporkan terlibat dalam pengendalian kes jenayah, dengan 17 berada pada peringkat siasatan awal dan 27 lagi pada peringkat penyiasatan, termasuk lima syarikat dan 22 individu.


Ia menambah bahawa kerajaan Indonesia terus mempergiat operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah untuk meminimumkan kesan jerebu rentas sempadan.


Katanya, kerajaan Indonesia menggerakkan anggota tentera, polis, pasukan pemadam kebakaran hutan Manggala Agni, agensi pengurusan bencana serta sukarelawan masyarakat.


Selain itu, operasi modifikasi cuaca, 'water bombing' dan pembasahan semula tanah gambut dan penyediaan tanah tanpa pembakaran juga dilaksanakan untuk tujuan itu.


KBRI berkata Indonesia mengalu-alukan usaha memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan negara sahabat dalam menangani kebakaran hutan dan tanah serta jerebu rentas sempadan.


Perwakilan Indonesia di Malaysia juga akan terus membantu melancarkan komunikasi dan pertukaran maklumat berkaitan usaha menangani kebakaran berkenaan.

Khamis, 8 Oktober 2026

Kerajaan Indonesia disaman, didakwa cuai akibatkan jerebu

Kerajaan Indonesia disaman, didakwa cuai akibatkan jerebu


Kerajaan Indonesia dituduh melakukan ‘kecuaian besar’ berhubung jerebu beracun akibat kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian Pulau Borneo dalam kes mahkamah yang bermula di Pontianak, Kalimantan Barat, Rabu lalu.


Empat plaintif, termasuk cawangan tempatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asal AMAN, memfailkan saman tindakan kelas itu bulan lalu di sebuah mahkamah di Pontianak, dengan Presiden, Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat antara 10 defendan.


Wilayah itu terjejas teruk akibat kebakaran dan asap yang menyebabkan sekolah ditutup, selain memaksa ratusan orang mendapatkan rawatan perubatan akibat masalah berkaitan pernafasan.


Peguam plaintif, Glorio Sanen berkata, selepas pendengaran pertama, kes itu adalah satu langkah untuk menangani masalah kebakaran tahunan yang sebahagian besarnya dipersalahkan terhadap kemusnahan hutan dan didorong tahun ini oleh episod fenomena cuaca El Nino yang sangat kuat sehingga menyebabkan kemarau.


Indonesia selama beberapa minggu bergelut untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan kawasan luas di Sumatera, Papua dan Borneo, menyebabkan jerebu tebal sehingga sampai ke Malaysia dan Singapura.


Menurut wartawan AFP yang berada di mahkamah, tiada seorang pun defendan hadir pada pendengaran itu.


Dalam pada itu, Glorio berkata, pihaknya sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka, namun memahami keadaan jerebu itu mungkin menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak.


Ratusan penerbangan turut terjejas akibat asap berbau busuk berkenaan.


Sementara itu, menurut dokumen mahkamah yang dilihat AFP, plaintif menuduh kerajaan melakukan ‘kecuaian besar’ kerana gagal menangani masalah yang berulang setiap tahun itu.


Mereka mahu kerajaan mengisytiharkan keadaan itu sebagai bencana nasional bagi membolehkan langkah pemulihan dan rehabilitasi secara menyeluruh dilaksanakan, termasuk menanggung kos penjagaan kesihatan penduduk yang terjejas.


Difahamkan juga, saman serupa yang difailkan tahun lalu di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan sebelum ini ditolak.

Jumaat, 5 Jun 2026

Tragedi di Gurun Sahara: 49 maut akibat kehausan selepas lori rosak

Tragedi di Gurun Sahara: 49 maut akibat kehausan selepas lori rosak

(Foto dijana AI)

Sekurang-kurangnya 49 orang disahkan maut akibat kehausan di kawasan terpencil Gurun Sahara di utara Niger selepas lori yang membawa mereka mengalami kerosakan, lapor BBC.


Pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi kecemasan selepas kumpulan berkenaan dilaporkan terperangkap tanpa bekalan air pada jarak lebih 80 kilometer di barat Assamaka, pintu sempadan utama antara Niger dan Algeria.


Gabenor Wilayah Agadez mengesahkan kumpulan itu dalam perjalanan pulang dari Mali selepas menghadiri upacara keagamaan sebelum kenderaan mereka tersadai di tengah gurun.


"Para pengembara ini terperangkap dalam persekitaran ekstrem dengan suhu yang sangat tinggi serta ketiadaan sumber air, sekali gus menyukarkan mereka untuk terus hidup," menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa.


Siasatan awal mendapati lori berkenaan berlepas dari bandar Telhandek di Mali sebelum tersasar daripada laluan asal dan mengalami kerosakan mekanikal.


Pemandu dan penumpang dilaporkan cuba membaiki kenderaan tersebut selama beberapa hari, namun gagal, menyebabkan ramai daripada mereka maut akibat kehausan.


Dalam insiden itu, hanya dua individu dilaporkan terselamat selepas berjalan kaki merentasi gurun untuk menuju ke Assamaka bagi mendapatkan bantuan dan memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.


Dalam insiden itu, hanya dua individu dilaporkan terselamat selepas berjalan kaki merentasi gurun untuk menuju ke Assamaka bagi mendapatkan bantuan dan memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa. - Foto Facebook.

Jumaat, 24 April 2026

Krisis bekalan global: Kerajaan pertimbang hadkan pergerakan jemaah menteri - Anwar

Krisis bekalan global: Kerajaan pertimbang hadkan pergerakan jemaah menteri - Anwar


Kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global termasuk mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan segera itu perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus ke dalam situasi catuan tenaga seperti yang sedang dihadapi beberapa negara lain.


Beliau berkata keputusan muktamad mengenai perkara itu akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).


"Kita nak elak (isu kekurangan bekalan) itu. Jadi kita perlu cari jalan untuk kurangkan penggunaan tenaga, seperti kerja dari rumah serta langkah-langkah lain yang dirasakan perlu.


"Kita bersyukur kepada Allah SWT setakat ini bekalan minyak masih mencukupi sehingga penghujung Jun, namun bekalan diesel sudah mula menghadapi masalah. Justeru, beberapa langkah akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, Johor Bahru hari ini.


Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata MTEN kini bermesyuarat setiap dua hari bersama kementerian serta pihak berkaitan bagi memantau situasi bekalan tenaga secara menyeluruh.


Beliau menegaskan keadaan semasa tidak lagi memberi ruang untuk sebarang kelewatan dalam membuat keputusan.


"Langkah ini sudah sampai ke tahap kritikal. Kita tidak boleh tangguh lagi kerana sebarang kelewatan akan menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian rakyat sekiranya berlaku kekurangan bekalan," katanya.


Ditanya sama ada krisis tenaga global akan memberi kesan terhadap jadual Pilihan Raya Negeri (PRN), Perdana Menteri berkata perkara itu belum dibincangkan setakat ini.