Seorang guru maut selepas kereta dipandu melanggar belakang sebuah treler yang berada di tepi jalan di Jalan Kuantan Bypass berhampiran Kampung Pandan, Kuantan hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa, Mohd Heikal Hafiz Mohd Annuar, 39, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Isap, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Preve dan treler jenis Howo Sinotruk yang dipercayai berlaku pada jam 1.30 tengah hari.
"Siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Airport menuju ke Permatang Badak.
"Apabila tiba di tempat kejadian, ketika kereta sedang bergerak lurus di lorong kiri, tiba-tiba dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar treler yang berada di tepi jalan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat. Pemandu treler berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.


EmoticonEmoticon