Sabtu, 29 Ogos 2026

Serangan dua anjing ketika joging, pemilik diperintah bayar RM248,457


Seorang pemilik dua anjing German Shepherd diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam supaya membayar RM178,457.60 ganti rugi khas dan RM70,000 ganti rugi am berhubung serangan haiwan itu sehingga menyebabkan jirannya mengalami patah tulang belakang, lima tahun lalu.


Hakim, Zawiyah Saad memutuskan demikian selepas mendapati defendan, Datuk Seri Ong Thiam Boon, bertanggungjawab terhadap kejadian menimpa plaintif, Datuk Mohd Kamal Abdullah pada 10 Februari 2021.


Beliau membenarkan tuntutan Mohd Kamal selepas mempertimbangkan keterangan saksi, dokumen yang dikemukakan serta hujahan bertulis kedua-dua pihak selepas perbicaraan penuh.


Thiam Boon turut diarahkan membayar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah berkenaan bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.


Mahkamah turut menolak tuntutan balas defendan dengan kos serta memerintahkannya membayar kos global RM15,000 kepada plaintif.


Dalam saman itu, Mohd Kamal mendakwa dua anjing milik jirannya menyerangnya ketika berjoging di Taman Anjung Tiara, Segambut.


Plaintif mendakwa kejadian itu menyebabkannya terjatuh ketika cuba melindungi diri daripada serangan berkenaan seterusnya mengalami patah tulang belakang yang memerlukan pembedahan dan rawatan susulan.


Beliau mendakwa kejadian itu berpunca daripada kegagalan defendan mengawal anjing berkenaan dengan baik selain memastikan pintu pagar kediamannya sentiasa tertutup.


Bagaimanapun, Thiam Boon menafikan dakwaan bahawa anjing terbabit menyerang atau bersentuhan dengan plaintif.


Menurut pembelaannya, Mohd Kamal hilang keseimbangan lalu terjatuh ketika bergerak ke belakang di jalan yang curam dan tidak rata selepas mengayunkan tongkat ke arah kedua-dua anjing berkenaan.


Defendan turut mendakwa kecederaan yang dialami plaintif berpunca atau disumbangkan oleh kecuaian dirinya sendiri.


Dalam tuntutan balas, Thiam Boon mendakwa plaintif mengugutnya sehingga menyebabkan beliau mengalami ketakutan, penghinaan dan tekanan mental.


Dalam prosiding itu, Mohd Kamal diwakili peguam, Shahril Madisa daripada Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq manakala Ong diwakili Tan Shao Jia dan Wong Win Xien daripada Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohammad Radzi & Partners.


EmoticonEmoticon