Seorang lelaki yang membuat lebih 1,000 panggilan senyap kepada polis untuk suka-suka dan keseronokan dijatuhi hukuman penjara 23 hari pada Rabu, lapor portal CNA.
Foo Jia Hong, 37, warga Singapura, mengaku bersalah atas satu pertuduhan menghalang secara sengaja pegawai yang bertugas di kaunter Pusat Polis Kejiranan (NPC) Yishun dengan membuat 425 panggilan senyap ke talian tetap pusat berkenaan.
Tiga lagi pertuduhan membabitkan panggilan selebihnya yang dibuat kepada pusat polis di Ang Mo Kio North, Bedok dan Geylang turut diambil kira oleh mahkamah.
Antara 21 hingga 29 April tahun ini, NPC Ang Mo Kio North, NPC Bedok, NPC Geylang dan NPC Yishun menerima banyak panggilan ke talian tetap mereka daripada nombor tidak dikenali dengan pemanggil tidak berkata apa-apa.
Nombor berkenaan didaftarkan atas nama seorang pekerja asing yang kemudiannya disiasat dan mendakwa bahawa dia sudah membuang kad SIM yang dikaitkan dengan nombor itu.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Foo membeli sarung telefon bimbit terpakai di sebuah pasar malam di Ang Mo Kio pada awal tahun ini.
Dia menemukan kad SIM daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Simba di dalam sarung telefon itu dan memutuskan untuk menggunakannya.
Polis mendapati bahawa dia menggunakan nombor berkenaan untuk menghubungi pusat-pusat polis.
Foo mengakui menggunakan direktori panggilan atau risalah daripada NPC untuk mendapatkan nombor talian tetap berkenaan sambil berkata bahawa dia membuat panggilan itu untuk suka-suka dan keseronokan.
Daripada 425 panggilan yang dibuat kepada NPC Yishun, sebanyak 330 panggilan dijawab oleh empat pegawai, manakala selebihnya tidak dijawab.
Menurut pihak pendakwaan, panggilan yang tidak dijawab turut menyebabkan gangguan kepada talian telefon kerana panggilan berikutnya terpaksa menunggu dalam barisan, sekali gus menghalang panggilan lain daripada dijawab dengan segera.
Foo ditahan pada Mei dan kemudiannya ditempatkan di Institut Kesihatan Mental untuk penilaian psikiatri.
Dia didapati mempunyai ketidakupayaan intelek ringan, namun laporan institut mendapati keadaan itu tidak mempunyai kaitan yang menyumbang kepada kesalahan yang dilakukan.
Timbalan Pendakwa Raya Ng Jun Kai memohon hukuman penjara antara tiga hingga lima minggu terhadap Foo sambil menyatakan bahawa dia pernah disabitkan kesalahan pada Januari 2025 kerana menyampaikan mesej palsu tetapi tidak memberikan perincian lanjut.
Ng turut berkata tiada kes terdahulu yang serupa bagi kesalahan khusus ini, namun jumlah panggilan yang banyak dibuat kepada NPC mengganggu talian bukan kecemasan.
Peguam bela Daniel Atticus Xu memohon hukuman penjara dua minggu dan menegaskan bahawa membuat panggilan kepada NPC tidak sama dengan menghubungi talian kecemasan 999.
Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Koo Zhi Xuan berkata, mahkamah perlu mengambil kira dan menangani hakikat bahawa Foo mempunyai ketidakupayaan intelek ringan, manakala pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman adalah untuk memberi kesan pencegahan.
Bagi kesalahan menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi awamnya, Foo boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$6,500 (RM20,528) atau kedua-duanya sekali.

EmoticonEmoticon