KUALA LUMPUR - Mengalami kelumpuhan tangan kiri akibat kemalangan dua tahun lalu tidak menghalang seorang pemuda berusia 21 tahun daripada terus menunggang motosikal tanpa lesen.
Pemuda terbabit antara lebih 800 penunggang dan pengguna jalan raya yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Ampang, awal pagi tadi.
Ketika disoal polis, dia mengakui masih menunggang motosikal kerana minat, malah sering membantu rakannya membaiki motosikal walaupun belum mempunyai pekerjaan tetap.
Dalam operasi bermula jam 3 hingga 5.30 pagi itu, lebih 60 motosikal disita dan kira-kira 300 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Dua rakannya yang berusia 21 tahun turut berdepan tindakan selepas motosikal masing-masing didapati diubah suai, termasuk membuang brek belakang.
Seorang daripada mereka, Putra dari Nilai, Negeri Sembilan, mengakui membelanjakan kira-kira RM5,000 untuk mengubah suai motosikal Yamaha 125ZR miliknya bagi kepuasan diri dan menghasilkan kandungan media sosial.
Rakannya, Hakim, dari Bangi, Selangor pula mengaku menunggang motosikal tanpa lesen dan sengaja mencuba motosikal yang baru diubah suai tanpa brek belakang selepas terpengaruh dengan trend dalam kalangan peminat motosikal.
Hakim berkata, dia mula berasa takut apabila mendapati motosikal itu sukar dikendalikan seperti biasa dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata hampir 90 peratus kesalahan yang dikesan membabitkan pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi, termasuk sistem brek, enjin dan ekzos.
Beliau berkata, seorang individu turut ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan identiti motosikal.
Operasi itu melibatkan 80 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur dengan bantuan 12 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta lima anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menurutnya, masih ramai penunggang memandang ringan risiko kemalangan maut, termasuk mereka yang tidak mempunyai lesen sah dan remaja bawah umur.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih tegas memantau kegiatan anak-anak bagi mengelakkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen atau melakukan pengubahsuaian berbahaya.
Semua motosikal yang disita dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk pemeriksaan lanjut, termasuk ujian bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

EmoticonEmoticon