Khamis, 12 November 2026

Murid tahun enam hamil, buruh ladang kelapa sawit ditahan polis


KABONG - Seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam berusia 12 tahun yang disahkan hamil.


Kes berkenaan terbongkar selepas ibu mangsa membawa anaknya ke sekolah pada 12 November lalu untuk memaklumkan mengenai kehamilan itu. Ibu mangsa turut menyatakan hasrat supaya anaknya berhenti sekolah dan berkahwin dengan lelaki terbabit.


Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie, berkata guru besar sekolah berkenaan kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok sebelum diarahkan membuat laporan polis kerana mangsa masih di bawah umur.


Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit mula berkenalan dengan mangsa sejak pertengahan 2025 sebelum mereka dipercayai menjalinkan hubungan cinta pada awal tahun ini.


"Mangsa mengaku melakukan hubungan seksual bersama suspek sebanyak tiga kali pada pertengahan Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan.


Mangsa dipercayai menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya pada 11 November.


Susulan laporan polis diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji menjalankan operasi mengesan lelaki berkenaan.


Suspek akhirnya ditahan di sebuah rumah panjang di Kabong untuk membantu siasatan. Ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon