Memaparkan catatan dengan label Cabul. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cabul. Papar semua catatan

Isnin, 14 September 2026

Lelaki 51 tahun ditahan selepas lakukan perbuatan seksual terhadap ikan koi di Bangkok

Lelaki 51 tahun ditahan selepas lakukan perbuatan seksual terhadap ikan koi di Bangkok


Polis Thailand menahan seorang lelaki berusia 51 tahun yang didakwa memasuki kolam ikan persendirian sebelum melakukan perbuatan seksual terhadap ikan koi di Bangkok.


Ketua Balai Polis Thung Song Hong, Pol Kol Yutthasilp Karin, mengarahkan anggotanya menjejaki suspek yang dikenal pasti sebagai Suchitchai, atau dikenali sebagai Tong.


Kejadian dilaporkan berlaku di luar sebuah rumah di Soi Vibhavadi Rangsit 66 sekitar jam 8 malam waktu tempatan pada 7 September lalu.


Berdasarkan rakaman CCTV, suspek dipercayai tiba dengan basikal kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan sebelum meletakkannya berhampiran kolam ikan.


Dia kemudian dilihat berjalan di sekitar kolam sebelum membuka pakaian dan cuba menangkap seekor ikan koi.


Kira-kira lapan minit kemudian, suspek didakwa menanggalkan semua pakaian, masuk ke dalam kolam dan menangkap seekor ikan koi sebelum melakukan perbuatan seksual terhadap ikan berkenaan. Dia kemudian melepaskan ikan itu kembali ke dalam kolam.


Seorang pembantu rumah dan pemilik ikan menyedari kehadiran suspek sebelum lelaki berkenaan melarikan diri dengan basikal.


Pemilik rumah cuba mengejarnya, namun terjatuh dan mengalami kecederaan. Laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Thung Song Hong.


Penyiasat percaya suspek tinggal berhampiran lokasi kejadian berdasarkan cara dia melarikan diri menggunakan basikal.


Pada petang 10 September, anggota polis mengesan suspek yang dipercayai memakai pakaian sama seperti kejadian, ketika berjalan berhampiran kawasan Siang Kong Lak Si.


Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya dikejar dan ditahan.


Dalam soal siasat, Suchitchai didakwa mengakui bahawa individu dalam rakaman CCTV itu ialah dirinya.


Menurut polis, suspek mendakwa pada awalnya dia pergi ke kawasan tersebut untuk mandi sebelum melihat ikan koi di dalam kolam dan terangsang secara seksual.


Dia didakwa memberitahu polis bahawa dia menangkap ikan itu dan melakukan perbuatan seksual terhadapnya sebanyak dua kali. Suspek turut didakwa mengakui pernah melakukan perbuatan sama terhadap ikan lain.


Polis berkata, suspek turut mengaku mengambil dadah, namun mendakwa tidak mempunyai wang untuk membelinya dan menggunakan dadah yang ditemuinya.


Menurut polis, suspek juga mendakwa pernah melakukan perbuatan seksual terhadap seekor anjing betina beberapa tahun lalu sebelum ditahan dan dipenjarakan oleh polis Bang Khen.


Dia turut didakwa mengakui pernah melakukan perbuatan seksual terhadap sebuah patung yang ditemuinya di tempat pembuangan sampah.


Pemilik ikan yang hanya dikenali sebagai Bobby memberitahu media bahawa dia telah memelihara ikan koi berkenaan selama kira-kira tujuh hingga lapan tahun.


Menurutnya, suspek merupakan individu yang sering dilihat di kawasan itu dan kadangkala berhenti untuk mandi.


Bobby berkata, sebelum ini dia tidak mengesyaki apa-apa kerana hanya melihat kesan lantai basah selepas lelaki itu berada di sekitar rumah.


Bagaimanapun, dia mula berasa curiga selepas ikan koi miliknya mati seekor demi seekor.


Ikan yang mati didapati dalam keadaan badan membengkok dan pada mulanya Bobby menyangka ia mungkin akibat ikan berkenaan berlawan atau terlanggar dinding kolam.


Rumah itu sudah dilengkapi kamera CCTV sejak sekian lama, namun Bobby jarang memeriksa rakamannya kerana tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian.


Polis masih menjalankan soal siasat terhadap suspek serta mengumpulkan bukti berkaitan kes berkenaan.


Pihak berkuasa sedang mempertimbangkan beberapa pertuduhan termasuk kekejaman terhadap haiwan, menyebabkan kerosakan harta benda, melakukan perbuatan tidak senonoh serta menceroboh pada waktu malam.

Selasa, 8 September 2026

Lelaki cabul anak saudara rayu kurang hukuman, mahkamah tambah kepada 20 tahun penjara

Lelaki cabul anak saudara rayu kurang hukuman, mahkamah tambah kepada 20 tahun penjara


Rayuan seorang lelaki supaya tempoh penjara kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia empat tahun diringankan tidak berjaya selepas Mahkamah Rayuan, hari ini menambah hukuman itu menjadi 20 tahun.


Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah, berkata mahkamah menggunakan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meningkatkan hukuman yang dikenakan terhadap lelaki berusia 45 tahun itu.


Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Azman berkata, peningkatan hukuman itu sebagai amaran kepada perayu dan masyarakat awam supaya tidak memandang ringan sebarang kesalahan, terutamanya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.


Bagi kesalahan amang seksual, panel terbabit menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 15 tahun.


Mahkamah juga menaikkan hukuman penjara dua tahun terhadap lelaki itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kepada 5 tahun.


Azman memerintahkan supaya dua hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan penjara lelaki itu kepada 20 tahun.


Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy juga mengekalkan hukuman lima sebatan terhadap perayu yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.


Mahkamah turut mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya lelaki itu menjalani sesi kaunseling dalam tempoh di penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.


Sebelum ini, lelaki itu dihukum penjara 12 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 22 Disember 2022 dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada 18 November tahun lalu.


Pada prosiding hari ini, peguam KA Ramu, memberitahu mahkamah anak guamnya meneruskan rayuan terhadap hukuman tetapi menarik balik rayuan terhadap sabitan.


Katanya, beliau sudah menasihatkan anak guamnya supaya tidak meneruskan rayuan itu, namun lelaki terbabit berkeras untuk berbuat demikian. Ramu memohon mahkamah untuk mengurangkan hukuman itu kepada antara tujuh dan lapan tahun.


Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail, menggambarkan kes itu seperti peribahasa "harapkan pegar, pegar makan padi" dan menyatakan perayu mengajak mangsa bermain permainan "jadi-jadi" di tempat letak kereta.


Beliau berkata, keputusan lelaki itu untuk meneruskan rayuan menunjukkan dia tidak kesal dengan perbuatannya dan memohon mahkamah menggunakan Seksyen 60 untuk meningkatkan hukuman terbabit.

Enam lelaki termasuk 5 remaja bawah umur didakwa rogol gadis 15 tahun

Enam lelaki termasuk 5 remaja bawah umur didakwa rogol gadis 15 tahun


Seorang lelaki bersama lima remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kangar, hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun dalam kejadian yang didakwa berlaku di sekitar Sanglang pada Julai lalu.


Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di kawasan Sanglang kira-kira jam 2 pagi pada 18 Julai lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dan Zuhair Ahmad Zakuan.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.


Tertuduh turut diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 9 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.


Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lima lagi remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor atas pertuduhan merogol mangsa yang sama secara berkumpulan.


Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam dua kejadian berasingan di lokasi yang sama.


Kejadian pertama melibatkan dua tertuduh berusia 15 dan 17 tahun yang didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 18 Julai lalu.


Bagi kejadian kedua, empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang sama antara jam 2 pagi hingga 5 pagi pada 19 Julai.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Wan Nursyaheedah Wan Najmi.


Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan. Seorang remaja berusia 15 tahun yang berdepan dua pertuduhan dikenakan jaminan keseluruhan RM1,000.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Oktober depan bagi mendapatkan laporan akhlak serta pembentangan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.

Peniaga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol anak tiri

Peniaga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol anak tiri


Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun pada Julai dan Disember 2013.


Tertuduh, Noor Sarkawi Saleh, 59, kemudian memohon pertuduhan terhadapnya dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa kira-kira jam 4.30 petang pada Julai 2013 di sebuah kedai di Jalan Mengabang Telipot, Kampung Gong Datuk, Kuala Terengganu.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa kira-kira jam 12 tengah hari pada Disember 2013 di sebuah kedai di Dataran Austin, Jalan Gong Badak, Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.


Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000 dengan seorang penjamin.


Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Oktober depan bagi urusan lantikan peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli.

Sabtu, 5 September 2026

'Saya hanya diam, bimbang diapa-apakan pemandu sembang lucah sepanjang perjalanan' - Penuntut kolej

'Saya hanya diam, bimbang diapa-apakan pemandu sembang lucah sepanjang perjalanan' - Penuntut kolej

(Foto dijana AI)

Perjalanan pulang ke asrama kolejnya di Setapak dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur membuatkan seorang penuntut trauma selepas pemandu e-hailing yang ditempahnya didakwa berbual lucah sepanjang perjalanan.


Mangsa yang mahu dikenali sebagai Putery, 19, sempat merakam video perbualan itu sebelum ia tular di media sosial.


Menurutnya, dia yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan menaiki bas ke Kuala Lumpur pada Rabu lalu dan sepatutnya tiba di TBS pada 9 malam, namun perjalanan bas mengalami kelewatan sebelum tiba pada 1.30 pagi.


"Saya sudah membuat tempahan perkhidmatan e-hailing ketika di Seremban lagi dan pada awalnya menerima seorang pemandu lain sebelum tempahan berkenaan dibatalkan susulan kelewatan bas.


"Selepas itu saya mendapat pemandu lelaki terbabit. Dia menghubungi nombor telefon saya dan memberitahu berada berhampiran TBS.


"Saya beritahu masih dalam perjalanan kerana bas mengalami kelewatan dan dia meminta saya menghubunginya apabila sudah tiba," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Putery berkata, selepas tiba di TBS, saya terus menghubunginya melalui nombor telefon yang digunakan untuk menghubunginya.


"Ketika dalam perjalanan ke hostel, pemandu terbabit bertanyakan mengenai kelewatan bas sebelum perbualan beralih kepada pengalaman peribadinya.


"Dia bertanya kenapa bas lambat dan saya ceritakan perkara yang berlaku. Kemudian dia bertanya sama ada saya mempunyai rancangan ketika cuti.


"Saya jawab tiada kerana kawan-kawan semuanya bercuti di Thailand dan saya hanya pulang ke rumah keluarga," katanya.


Katanya, selepas itu dia mula bercerita mengenai Thailand dan perkara berkaitan pelacur serta pengalaman peribadinya.


"Saya hanya memberi respons ringkas seperti 'oh', 'ye ke' dan 'faham' kerana berasa tidak selesa dengan topik perbualan itu, namun pemandu terbabit meneruskan perbualan.


"Pemandu itu memberi contoh tubuh badan saya ketika menceritakan perkara berunsur lucah itu," katanya.


Menurut Putery, sepanjang perjalanan, dia hanya bercakap mengenai perkara lucah.


"Apabila sampai di hostel, dia masih bercakap mengenai perkara sama dan turut menunjukkan sejenis pil yang didakwa diambilnya sebelum melakukan hubungan seks.


"Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira 20 minit menjadi lebih lama kerana keadaan jalan pada awal pagi tidak sesak, namun kenderaan dipandunya bergerak perlahan.


"Saya bukan tidak mahu menegur, tetapi saya seorang perempuan dan ketika itu hanya berdua dengannya. Saya bimbang jika berlaku sesuatu, saya mungkin tidak dapat berbuat apa-apa. Sebab itu saya memilih untuk diam sehingga tiba di destinasi," katanya.


Dia yang bimbang dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Setapak.

Jumaat, 4 September 2026

Pesara tentera pangkat 'Datuk' didakwa cabul gadis kedi berusia 20 tahun

Pesara tentera pangkat 'Datuk' didakwa cabul gadis kedi berusia 20 tahun


Seorang pesara tentera berpangkat 'Datuk' didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang gadis kedi bulan lalu.


Bagaimanapun tertuduh Yahya Hashim, 68, mengaku tidak bersalah selepa pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 20 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di Padang Golf Tiara Melaka Golf & Country Club, Jalan Gapam, Bukit Katil, Ayer Keroh, antara 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 25 Ogos lalu.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa berikutan lokasi kejadian adalah tempat mangsa bekerja.


Peguam Melvin Tay yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya adalah pesara, tidak mempunyai pendapatan tetap dan tinggal bersama isterinya.


Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh mempunyai masalah kesihatan berkaitan prostat yang memerlukan rawatan.


Majistret Uthman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.


Mahkamah turut menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.

Sabtu, 29 Ogos 2026

Baru bebas dari Henry Gurney kes rogol adik, pemuda didakwa noda adiknya yang lain

Baru bebas dari Henry Gurney kes rogol adik, pemuda didakwa noda adiknya yang lain


Belum sempat memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney, seorang pemuda berusia 21 tahun kembali berdepan pertuduhan apabila didakwa melakukan amang seksual fizikal dan cubaan merogol adik perempuannya yang lain.


Tertuduh yang juga anak sulung daripada empat beradik didakwa melakukan kesalahan terhadap adiknya yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Umbai, Merlimau, Jasin.


Tertuduh yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.


Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa. Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama.


Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 1 tengah hari pada 6 Jun lalu dan jam 9.30 malam pada 20 Ogos lalu di lokasi sama.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Difahamkan, tertuduh yang merupakan anak sulung daripada empat beradik terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan, sebelum ini pernah disabitkan atas kesalahan merogol seorang lagi adiknya yang ketika itu berusia 15 tahun. Tertuduh menjalani hukuman lebih dua tahun di Sekolah Henry Gurney.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu atau mendekati mangsa serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan baru sahaja keluar dari pusat pemulihan selain mahu membantu meningkatkan ekonomi keluarga.


Hakim Raja Noor Adilla membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta bersetuju dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.


Mahkamah turut menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes selain serahan dokumen.