Perjalanan pulang ke asrama kolejnya di Setapak dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur membuatkan seorang penuntut trauma selepas pemandu e-hailing yang ditempahnya didakwa berbual lucah sepanjang perjalanan.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Putery, 19, sempat merakam video perbualan itu sebelum ia tular di media sosial.
Menurutnya, dia yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan menaiki bas ke Kuala Lumpur pada Rabu lalu dan sepatutnya tiba di TBS pada 9 malam, namun perjalanan bas mengalami kelewatan sebelum tiba pada 1.30 pagi.
"Saya sudah membuat tempahan perkhidmatan e-hailing ketika di Seremban lagi dan pada awalnya menerima seorang pemandu lain sebelum tempahan berkenaan dibatalkan susulan kelewatan bas.
"Selepas itu saya mendapat pemandu lelaki terbabit. Dia menghubungi nombor telefon saya dan memberitahu berada berhampiran TBS.
"Saya beritahu masih dalam perjalanan kerana bas mengalami kelewatan dan dia meminta saya menghubunginya apabila sudah tiba," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Putery berkata, selepas tiba di TBS, saya terus menghubunginya melalui nombor telefon yang digunakan untuk menghubunginya.
"Ketika dalam perjalanan ke hostel, pemandu terbabit bertanyakan mengenai kelewatan bas sebelum perbualan beralih kepada pengalaman peribadinya.
"Dia bertanya kenapa bas lambat dan saya ceritakan perkara yang berlaku. Kemudian dia bertanya sama ada saya mempunyai rancangan ketika cuti.
"Saya jawab tiada kerana kawan-kawan semuanya bercuti di Thailand dan saya hanya pulang ke rumah keluarga," katanya.
Katanya, selepas itu dia mula bercerita mengenai Thailand dan perkara berkaitan pelacur serta pengalaman peribadinya.
"Saya hanya memberi respons ringkas seperti 'oh', 'ye ke' dan 'faham' kerana berasa tidak selesa dengan topik perbualan itu, namun pemandu terbabit meneruskan perbualan.
"Pemandu itu memberi contoh tubuh badan saya ketika menceritakan perkara berunsur lucah itu," katanya.
Menurut Putery, sepanjang perjalanan, dia hanya bercakap mengenai perkara lucah.
"Apabila sampai di hostel, dia masih bercakap mengenai perkara sama dan turut menunjukkan sejenis pil yang didakwa diambilnya sebelum melakukan hubungan seks.
"Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira 20 minit menjadi lebih lama kerana keadaan jalan pada awal pagi tidak sesak, namun kenderaan dipandunya bergerak perlahan.
"Saya bukan tidak mahu menegur, tetapi saya seorang perempuan dan ketika itu hanya berdua dengannya. Saya bimbang jika berlaku sesuatu, saya mungkin tidak dapat berbuat apa-apa. Sebab itu saya memilih untuk diam sehingga tiba di destinasi," katanya.
Dia yang bimbang dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Setapak.

EmoticonEmoticon