Nyawa seorang anggota polis hampir melayang apabila seorang lelaki tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menikamnya ketika dia membuka pintu pagar Balai Polis Batu 9, Cheras.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam kelmarin, anggota terbabit yang sedang menjalankan tugas didatangi seorang lelaki menunggang motosikal untuk memasuki kawasan balai.
Anggota terbabit kemudian membuka pintu pagar sebelum menghampiri lelaki itu bagi bertanyakan tujuan kedatangannya.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak menjawab sebarang pertanyaan sebelum turun dari motosikal dan membuka kotak simpanan di bahagian belakang.
Tanpa diduga, suspek mengeluarkan sebilah pisau sebelum cuba menikam anggota terbabit tepat ke bahagian kanan perut.
Nasib menyebelahi anggota polis terbabit apabila tikaman itu terkena tali pinggangnya, sekali gus mengelakkan kecederaan lebih serius.
Anggota polis terbabit kemudian bergelut dengan suspek sebelum dibantu dua lagi rakan setugas yang berada di kawasan balai sebelum berjaya menahan suspek.
Dalam pergelutan itu, seorang anggota polis yang membantu menahan suspek turut mengalami luka pada kedua-dua tapak tangannya.
Pemeriksaan awal terhadap suspek berusia 54 tahun itu mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah dikehendaki polis.
Polis kemudian merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 20 sentimeter untuk tindakan lanjut.
Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Kes kini disiasat bagi mengetahui motif lelaki itu datang ke balai polis dan membawa senjata terbabit.

EmoticonEmoticon