Pegawai kanan polis bertindak pantas menahan lelaki yang disyaki mencabul anak lelakinya di dalam bilik sauna sebuah pusat gimnasium di sebuah pusat beli-belah Melawati Mall di Ampang Jaya, kelmarin.
Pegawai kanan berkenaan yang bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada anak lelakinya yang berusia 18 tahun berhubung insiden gangguan seksual berkenaan.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa pada mulanya ditemani seorang rakan di dalam bilik sauna berkenaan sebelum rakannya keluar, meninggalkan mangsa berdua bersama suspek yang berusia 61 tahun.
"Lelaki terbabit pada mulanya cuba beramah mesra dan mengajak mangsa berbual mengenai hal gimnasium. Namun secara tiba-tiba, lelaki terbabit memegang beberapa bahagian tubuh mangsa.
"Lelaki itu terus bertindak melampau dengan meramas mangsa. Mangsa kemudiannya melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada rakannya selain kepada kakitangan di kaunter," katanya.
Susulan kejadian, mangsa segera menghubungi bapanya, jam 7.25 malam.
Sumber berkata, Nik Ezanee yang tiba di lobi gimnasium, jam 7.45 malam mengarahkan kakitangan premis terbabit untuk menghubungi polis.
"Sejurus kemudian, lelaki terbabit turun ke tingkat bawah dan mangsa dapat mengecamnya sebagai individu yang melakukan perbuatan itu.
"Nik Ezanee segera mengarahkan lelaki terbabit duduk, memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa, dan terus membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan di lokasi kejadian," katanya.
Dalam tangkapan berkenaan, sebuah telefon pintar milik lelaki terbabit turut dirampas bagi membantu siasatan.
Lelaki itu kemudiannya diserah kepada polis untuk tindakan lanjut. Kes disusuli dengan dua laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Melawati pada malam kejadian.
Sementara itu, Nik Ezanee ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

EmoticonEmoticon