Sabtu, 12 September 2026

Pelajar Tingkatan Satu cedera digigit anjing liar ketika berbasikal ke sekolah


Pelajar Tingkatan Satu mengalami kecederaan selepas diserang dan digigit anjing liar ketika berbasikal ke sekolah di Krubong, Melaka, pagi semalam.


Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, Muhammad Anas Fakhry Mohamad Azdly Shah, 13, sedang berbasikal dari Taman Krubong Perdana menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong, sebelum dikejar sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing liar.


Bapanya, Mohamad Azdly Shah Jamaludin, 46, berkata, Muhammad Anas Fakhry luka di kaki akibat digigit haiwan berkenaan.


"Nasib baik doktor memaklumkan luka tidak begitu dalam dan tidak membabitkan taring bawah, jika tidak mungkin kecederaannya lebih teruk.


"Saya tidak menyalahkan sesiapa, tetapi berharap perkara ini diambil serius sebelum berlaku kejadian lebih buruk," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mohamad Azdly Shah berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa kerana kumpulan anjing liar terbabit didakwa sudah lama berkeliaran di sekitar Taman Krubong Perdana.


Katanya, laluan berkenaan sering digunakan sebagai jalan pintas ke sekolah terutama mereka yang berbasikal.


"Sebenarnya saya bimbang kejadian itu berulang lagi dan menjadi lebih buruk, terutama kepada kanak-kanak," katanya.


Sementara itu, Muhammad Anas berkata, dia mulanya tidak perasan ada sekumpulan anjing di situ, bagaimanapun ketika mengayuh menaiki kawasan berbukit, ada enam hingga tujuh ekor anjing menyalak.


"Tiba-tiba seekor daripadanya mengejar dan sempat menggigit kaki kiri saya ketika sedang mengayuh basikal.


"Selepas menyerang dan menggigit saya, anjing itu mengejar abang saya yang berada di belakang, tetapi dia tidak diserang," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon