PASIR MAS - Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) didenda antara RM6,000 hingga RM10,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Daripada jumlah itu, lapan wanita terdiri daripada empat warga Myanmar, tiga Indonesia dan seorang Vietnam, manakala baki 18 tertuduh ialah lelaki warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia.
Enam wanita didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, manakala dua lagi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
Enam wanita masing-masing dikenakan denda RM6,000, sementara dua lagi didenda RM10,000 seorang. Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Kesemua 26 tertuduh berusia antara 18 hingga 57 tahun dan ditahan dalam beberapa operasi berasingan Jabatan Imigresen negeri di Kubang Kerian, Kota Bharu serta Gua Musang antara 10 hingga 22 Oktober lalu.
Prosiding di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khaidijah Khairuddin. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala sebahagian daripada mereka membuat pengakuan melalui jurubahasa mahkamah.

EmoticonEmoticon