KUCHING - Helah dua beradik menjalankan kegiatan penipuan menerusi promosi permainan judi dalam talian tidak wujud membawa padah apabila masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Kedua-dua tertuduh berusia 26 dan 22 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan konspirasi jenayah selepas dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersubahat memperdaya mangsa supaya menyerahkan wang bagi menyertai aktiviti perjudian dalam talian yang sebenarnya tidak wujud.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Kalien, Padawan, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 23 Oktober lalu.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda.
Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu rumah berkenaan sebelum menahan kedua-dua wanita itu yang disyaki menjadikan kediaman tersebut sebagai pusat panggilan bagi menjalankan penipuan promosi judi dalam talian.
Sindiket terbabit dipercayai menawarkan ganjaran lumayan menerusi laman web perjudian palsu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Filipina dan China.
Dalam serbuan itu, polis merampas tiga telefon pintar dan dua komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.
Hasil analisis peranti turut menemukan petunjuk kewujudan aktiviti pengehosan laman web penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan mangsa dari kedua-dua negara berkenaan.
Kes dikendalikan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama.

EmoticonEmoticon