Ahad, 25 Oktober 2026

Sewa tayar RM100 hingga RM250 untuk 'lepas' pemeriksaan Puspakom


KUANTAN - Menyewa tayar lori pada kadar RM100 hingga RM250 semata-mata untuk melepasi pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dipercayai menjadi antara taktik segelintir pengusaha lori bagi mengelakkan kos penyelenggaraan yang tinggi.


Amalan itu dikatakan sudah lama berlaku dengan bantuan sesetengah bengkel atau kedai tayar yang menawarkan perkhidmatan sewaan tayar untuk digunakan ketika pemeriksaan.


Selepas pemeriksaan selesai, tayar sewaan bersama rim akan dipulangkan sebelum tayar lama yang tidak memenuhi syarat dipasang semula pada lori berkenaan.


Seorang pemilik lori yang enggan dikenali berkata, kos tayar baharu yang tinggi serta keadaan perniagaan tidak menentu menyebabkan segelintir pengusaha mengambil jalan mudah untuk menjimatkan perbelanjaan.


Katanya, ada lori yang jarang digunakan atau hanya melakukan kerja kampung, namun tetap perlu menjalani pemeriksaan berkala Puspakom.


Seorang lagi pemilik lori dikenali sebagai Bob berkata, perkhidmatan menyewa tayar itu mudah diperoleh dengan kadar sekitar RM200 bagi satu set tayar bersama rim, berbanding harga tayar baharu yang mencecah sekurang-kurangnya RM400 sebiji.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.


Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap sebuah premis tayar lori di kawasan Gebeng dan hasil awal mendapati terdapat maklumat mengenai perkhidmatan sewaan tayar bagi tujuan pemeriksaan Puspakom pada kadar RM100 hingga RM150 bagi sebuah lori.


Beliau menegaskan, JPJ Pahang akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan peraturan serta aspek keselamatan kenderaan berat.


Amalan berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana penggunaan tayar lama yang tidak memenuhi tahap keselamatan boleh meningkatkan risiko kemalangan, sekali gus mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon