Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Gegar di sekitar bandar raya Ipoh, termasuk di Pasar Borong Ipoh, awal pagi hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 75 lelaki dan 34 wanita berusia antara 19 hingga 59 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di sekitar bandar raya Ipoh kira-kira jam 9 malam tadi, manakala operasi kedua di Pasar Borong Ipoh bermula jam 1.30 pagi.
"Ketika serbuan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri, namun hasil kecekapan pegawai dan anggota penguat kuasa, kesemua mereka berjaya ditahan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Thailand, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh," katanya ketika ditemui selepas operasi di Pasar Borong Ipoh, hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan.
Semua tahanan dibawa ke pejabat JIM negeri untuk proses dokumentasi dan semakan lanjut sebelum ditempatkan di depoh tahanan imigresen.
Dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan lima saman terhadap majikan dan pemilik premis bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam perkembangan lain, Lokman Effendi berkata, lebih 11,000 operasi penguatkuasaan dilaksanakan sejak 1 Januari lalu, membabitkan pemeriksaan terhadap hampir 150,000 warga asing.
Antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di Pasar Borong Ipo. - Foto NSTP.
EmoticonEmoticon